Skip to content

Cara Tanam Kacang Panjang yang Betul

cara tanam kacang panjang

Bagaimanakah cara tanam kacang panjang yang betul dan mendatangkan hasil? Artikel ini akan membincangkan berkenaan cara tanam kacang panjang yang betul, penjagaan penyakit dan sebagainnya.

Kacang panjang atau nama saintifiknya Vigna sesquapedalis L. merupakan sayuran jenis kekacang yang menjalar. Kacang panjang amat kaya dengan nutrisi-nutrisi berkhasiat seperti protein, fosforus, kalsium dan pelbagai jenis vitamin. Ianya sesuai ditanam di kawasan tanah rendah seperti yang terdapat di seluruh Malaysia. Untuk pengetahuan umum, tanaman ini juga merupakan sayuran yang ke-2 menjadi pilihan dan digemari oleh rakyat Malaysia selepas cili.

Selain itu, tanaman ini juga cepat mendatangkan hasil dan menguntungkan untuk diusahakan. Mengikut harga pasaran runcit yang terkini, harga kacang panjang adalah sekitar harga RM9-10 sekilo. Disebabkan permintaan terhadapnya yang konsisten, tanaman ini masih wajar untuk diusahakan bagi menampung bekalan yang stabil dalam negara dan pada masa yang sama, ianya diperbanyakkan bagi membantu meningkatkan ekonomi negara di peringkat global melalui aktiviti import dan eksport. Melalui artikel hari ini, saya akan mendedahkan tentang cara-cara penanaman kacang panjang dengan betul dan berkesan.

Varieti

Terdapat 2 jenis varieti kacang panjang iaitu biji putih dan biji hitam. Kedua-duanya mempunyai ciri luaran yang sama dan yang cuma membezakannya adalah warna biji benihnya.

Keperluan Asas Tanaman

Beberapa syarat asas perlu dipenuhi bagi memastikan tanaman ini mendapat pertumbuhan yang baik dan sekata. Suhu yang ideal untuk kacang panjang adalah dalam lingkungan 20 – 30°C. Selain itu, kawasan penanaman hendaklah menerima taburan hujan 138 – 168mm setiap bulan.

Tanaman ini merupakan tanaman jangka masa pendek yang cepat mengeluarkan hasil. Untuk pengurusan air yang efisien, kawasan penanaman terlebih dahulu hendaklah mempunyai saliran yang baik bagi mengelakkan tanaman tenggelam akibat hujan lebat.

Manakala untuk jenis tanah pula, ianya sesuai ditanam pada berbagai jenis tanah termasuk tanah gambut, BRIS dan tanah bekas lombong. Akhir sekali, untuk keperluan pH pula, tanah hendaklah mencapai nilai pH sekitar 5.5-6.5. Sebagai langkah penambahbaikan, laksanakan kerja pengapuran sebelum penanaman dijalankan.

Penyediaan Tanah

Sebelum melakukan penanaman, anda perlu menentukan skala penanaman terlebih dahulu. Sekiranya anda hendak menanam pada skala yang besar, anda boleh menanamnya dengan banyak di ladang dengan penggunaan batas sebagai media penanaman.

Manakala untuk skala yang lebih kecil, anda boleh memilih opsyen menggunakan pasu untuk menanamnya. Untuk penyediaan tanah yang lebih terperinci di ladang, perkara pertama yang anda perlu lakukan adalah dengan melakukan pembajakan dan pengemburan tanah menggunakan mekanisasi ladang yang bersesuaian.

Untuk mendapatkan hasil yang memuaskan semasa penuaian, pembajakan dan pengemburan pada kedalaman 15-22cm bagi meransang pertumbuhan akar yang baik. Kemudian, sediakan batas berukuran 1.2m lebar x 25cm tinggi manakala untuk panjangnya pula, ianya bergantung kepada keadaan kawasan. Jarak antara batas pula adalah berukuran 60cm.

Kerja-kerja tersebut boleh dilaksanakan menggunakan bajak putar atau piring. Semasa melaksanakan kerja tersebut, anda boleh melaksanakan kerja pra-pembajaan secara serentak menggunakan baja kompos ataupun tahi ayam ke dalam tanah bagi meningkatkan kandungan organik dalam tanah.

Manakala untuk penanaman di dalam pasu pula, anda perlu mengikuti beberapa langkah mudah iaitu dengan menyediakan tanah campuran yang mengandungi 3 bahagian tanah, 2 bahagian bahan kompos atau tahi ayam dan dan 1 bahagian pasir sebagai media tanaman. Akhir sekali, anda boleh mengisinya ke dalam pasu sehingga 5cm dari permukaan pasu.

Penanaman

Ianya perlu ditanam menggunakan biji benih. Untuk penanaman di ladang, tanam 2 biji benih pada setiap lubang dalam 2 barisan dengan jarak 60cm antara barisan dan 45cm antara pokok. Setelah benihnya bercambah, lakukan perpindahan salah satu daripada anak benih ke lubang yang baru sekiranya kedua-dua anak benih pada lubang sama tumbuh.

Manakala untuk penanaman di dalam pasu, masih menggunakan kaedah yang sama iaitu 2 biji benih pada satu lubang tapi pada kedalaman 2.5cm lalu dipindahkan semula sekiranya kedua-dua anak benih tersebut tumbuh.

Perlu diingatkan semula bahwa tanaman ini adalah sejenis sayuran yang menjalar, oleh itu penyediaan junjung adalah wajib bagi memastikan pertumbuhan kacang panjang yang baik dan stabil. Bagi anak pokok yang sudah berumur 3 minggu, kayu sokongan perlu disediakan. Kacang panjang yang semakin membesar akan melilit junjung tersebut.

Pengairan

Penyiraman kebiasaannya dilakukan pada waktu pagi dan petang setiap hari kecuali pada waktu hujan.

Pembajaan

Untuk tanaman di ladang, ianya akan dilakukan sebanyak 3 kali iaitu pada minggu 2, 4, dan 7 selepas penanaman menggunakan baja NPK Blue (12:12:17:2). Manakala untuk tanaman di dalam pasu pula, masih menggunakan jenis baja yang sama. Cuma yang membezakannya adalah cara pembajaan iaitu pembajaan pada setiap minggu selepas minggu ke-2 sehingga penuaian.

Kawalan Rumpai, Serangga dan Penyakit

Secara umumnya, mana-mana tanaman tidak akan terlepas daripada pertumbuhan rumpai di dalam kawasan penanaman. Bagi tanaman ini, kawalan rumpai perlu dilakukan sepanjang masa untuk mengelakkan persaingan. Cara yang paling mudah mengatasinya adalah dengan merumput secara intensif. Serangga yang sering menjejaskan tanaman kacang panjang adalah ulat pengorek buah.

Untuk kawalan serangga tersebut, semburan racun serangga seperti cypermethrin, deltamethrin dan flufenuxuron boleh digunakan mengikut kadar yang disyorkan. Akhir sekali, penyakit yang umum menyerang kacang panjang adalah antraknos. Dengan penggunaan racun kulat seperti mancozeb, carbendazim dan maneb pada kadar yang disyorkan, ianya mampu mengatasi gejala penyakit tersebut.

Penuaian Hasil

Hasil boleh mula dituai setelah 6 minggu selepas penanaman dijalankan. Kebiasaannya buah yang kelihatan muda dan bijinya belom terbonjol yang sesuai untuk dituai. Ini kerana buah yang tua akan menjadi liat dan rasanya kurang ranggup untuk konsumer. Selain itu, hasil tuaian kacang panjang boleh dikutip setiap 2 hari dalam tempoh masa yang dinyatakan. Anggaran hasil yang boleh dituai ialah 500g sepokok.  

Penutup

Kepada sesiapa yang ingin mengusahakan tanaman ini, usaha penanaman tanaman ini amatlah digalakkan berikutan daripada permintaannya yang tinggi dan tempoh tuaian yang singkat. Pada pendapat saya, dengan pengurusan tanaman yang teratur dan cekap nescaya ianya membawa pulangan yang lumayan kepada pengusaha. Dengan kaedah penanaman berperingkat, hasil tuaian mampu diraih setiap bulan secara konsisten. Oleh itu, saya menyeru kepada yang berminat, marilah kita memulakan penanaman kacang panjang dan raih keuntungan bersama.

Diharapkan artikel cara tanam kacang panjang ini dapat membantu para pembaca untuk berkebun dengan cara yang lebih berkesan

Artikel Berkaitan: 10 khasiat kacang panjang

Rujukan

  1. Jabatan Pertanian Malaysia (2008). Infotani: Panduan Menanam Kacang Panjang. No. IT: 24/10.08/55R (5).
  2. Sunarjono, H. (2011). Bertanam 30 jenis sayur. Penebar Swadaya. Jakarta.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

1 × four =