Skip to content

Cara-Cara Membeli Rumah dengan Betul

cara membeli rumah

Bagaimana cara untuk membeli rumah dengan betul? Artikel kali ini kita akan mengupas secara umum cara-cara untuk membeli rumah, terutamanya untuk pembeli rumah pertama.

Siapa yang tidak teringin untuk memiliki sebuah rumah sendiri? Ianya adalah impian setiap individu, bukan sekadar mahu memiliki sebuah rumah, tetapi satu tempat yang boleh diduduki sepanjang hayat dan boleh direka mengikut citarasa hati. Jika menyewa, pasti tidak boleh mengikut kehendak hati dan haruslah mengikut perjanjian di antara penyewa dan pemilik. Itu adalah normal.

1. Kemampuan Kewangan

Pertama sekali, kita mestilah melihat kemampuan kita untuk membeli rumah. Adakah simpanan kita cukup untuk membayar wang pendahuluan rumah? Adakah kemampuan kita cukup untuk membayar ansuran bulanan? Dan kita akan selalu tertanya-tanya, adakah gaji sekian sekian dapat melayakkan kita untuk membeli rumah?

Jawapannya, YA. Adakah anda pernah mendengar Skim MyDeposit? Skim MyDeposit ialah satu insentif dari kerajaan untuk membantu golongan yang tidak mampu untuk menyediakan deposit untuk membeli rumah. Insentif bantuan deposit ini hanya menyediakan 10% daripada harga jualan rumah yang bernilai di bawah RM500,000 sahaja.

Selain itu, pinjaman kewangan untuk membeli rumah nanti mestilah tidak melebihi satu pertiga gaji kasar anda. Jika anda mahu berjimat lagi, pastikan anda membuat banyak kajian sebelum membeli rumah. Ada banyak platform di Malaysia ini yang membantu anda untuk memiliki rumah pertama. Contohnya, inisiatif kerajaan bagi membantu rakyat memilik rumah seperti PPR, RUMAWIP dan Rumah Selangorku. Anda juga boleh melayari portal TEDUH untuk mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai bantuan membeli rumah.

2. Pinjaman Kewangan untuk Perumahan (Pembiayaan Kewangan)

Anda juga mesti terfikir, macam mana nak membuat pinjaman perumahan bukan? Kita bukan boleh membeli dengan harga langsai. Jadi, kita juga mestilah membuat kajian mengenai pinjaman perumahan. Pinjaman perumahan boleh dibuat di bank, badan-badan swasta atau jika anda seorang penjawat awam, anda boleh membuat pinjaman di Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA).

Terdapat beberapa jenis pinjaman perumahan yang disediakan oleh bank, antaranya;

  1. Pinjaman Perumahan Konvensional;
  2. Pinjaman Perumahan Fleksi – anda boleh membuat pembayaran lebih jika anda mahu terutamanya apabila kadar faedah menurun.
  3. Pembiayaan Perumahan Islamik.

Berikut adalah antara dokumen yang anda perlu sediakan, mengikut bank yang anda pilih untuk membuat pinjaman perumahan ini:

  1. Resit tempahan;
  2. Kad pengenalan/pasport;
  3. Slip gaji;
  4. Penyata bank;
  5. Resit cukai pendapatan
  6. Penyata EPF;
  7. Dan lain-lain dokumen yang berkenaan.

Anda mempunyai pilihan untuk menentukan pilihan pinjaman anda. Pastikan anda menyemak semua perkara dan dokumen yang anda perlukan sebelum membuat permohonan pinjaman perumahan. Jika anda tidak pasti, anda boleh meminta bantuan peguam anda.

3. Membuat tinjauan rumah

Selepas kita fikir urusan wang, tentunya kita akan mula merancang, rumah apa yang kita mahukan sebagai rumah pertama? Rumah semi-D, rumah kondominium atau teres?

Kita juga harus mempertimbangkan faktor-faktor lain sebelum membeli rumah seperti:

  1. Jarak rumah dengan tempat kerja kita, sekolah anak dan juga mungkin pasar raya;
  2. Fasiliti yang disediakan oleh pemaju seperti kolam renang, taman permainan, surau, tempat letak kereta dan sebagainya;
  3. Berapa buah bilik kita mahukan?;
  4. Kawasan kejiranan yang bagaimana kita mahukan? Sunyi, mesra atau meriah?

Ya, ini semua antara faktor yang kita harus fikirkan sebelum membeli rumah. Apabila kita sudah merancang perkara-perkara diatas, lebih mudah jika kita ingin mencari ejen hartanah yang mempunyai rekod yang baik. Bagaimana untuk mendapatkan ejen hartanah yang mempunyai reputasi baik? Kita boleh menghubungi adalah Lembaga Penilai, Pentaksir dan Ejen Harta Tanah Malaysia (LPPEH) untuk mendapatkan ejen hartanah yang berkelayakan di bawah Lembaga ini. Kita juga boleh…

4. Pemaju

Ini adalah bahagian paling penting. Pernah anda mendengar, pemaju lesap dan pembeli ditipu? Rumah terbengkalai 10 tahun? Ya, ini adalah kesan apabila anda membeli rumah tanpa membuat kajian yang teliti mengenai pemaju perumahan.

Penting untuk kita menyelidiki tentang syarikat pemaju yang bakal membina rumah ini. Sebelum kita membeli rumah, carian pemaju adalah antara yang terpenting sebelum kita memutuskan untuk membeli rumah dengan pemaju. Reputasi pemaju adalah yang paling utama anda ketahui supaya anda tidak ditipu. Antara platform yang anda boleh rujuk ialah Persatuan Pembeli Rumah Kebangasaan (NBHA) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Dari sini, anda boleh periksa kualiti kerja pemaju dan juga projek-projek terdahulu yang disiapkan oleh mereka.

5. Peguam

Perlu ke peguam jika mahu membeli rumah? Ya, semestinya. Peguam hartanah adalah amat penting untuk anda yang ingin membeli rumah. Perjanjian antara anda dan pemaju serta anda dengan bank, kebanyakannya diuruskan oleh peguam hartanah. Kadang-kala, khidmat peguam disediakan oleh pemaju, tetapi tidak salah jika anda melantik peguam sendiri. Mereka akan lebih menjaga kepentingan anda berbanding pemaju.

Fungsi peguam juga adalah untuk:

  1. Membantu anda memahami proses pembelian hartanah;
  2. Membantu anda memahami regulasi dan undang-undang sebelum membeli rumah seperti yang tertakluk di dalam Akta Pembangunan Perumahan;
  3. Menyemak dokumen-dokumen yang terbabit semasa pembelian perumahan seperti perjanjian yang perlu anda tandatangani;
  4. Menyemak status pegangan hak milik – samada pegangan             bebas atau pajak.

6. Teliti Dokumen Jual Beli Rumah

Ini juga adalah bahagian yang sangat penting untuk anda sebagai pembeli dan juga kepada pemaju. Ini adalah hitam putih bahawa anda telah bersetuju dengan semua terma dan syarat di dalam perjanjian jual beli rumah.

Tetapi sebelum itu, anda haruslah membuat pembayaran yuran tempahan yang diisi sekali dengan Letter of Offer to Purchase – dokumen rasmi yang menyatakan hasrat anda untuk membeli rumah. Di dalam dokumen tersebut, antara maklumat penting yang anda harus semak adalah, maklumat anda sebagai pembeli dan juga penjual, tempoh bayaran wang pendahuluan dan juga tempoh membayar baki harga rumah.

Antara perkara yang perlu diteliti di dalam perjanjian jual beli rumah ini adalah”

  1. Maklumat terperinci mengenai rumah yang bakal anda beli, ini termasuklah keluasan rumah, jumlah bilik dan ruang dan juga yang penting, alamat rumah anda;
  2. Jenis hakmilik dan anda boleh mendapatkan bantuan peguam anda untuk info lebih mendalam;
  3. Tempoh rumah bakal disiapkan dan jangkaan masa bila anda boleh berpindah.

Perkara ini tidak terhad dan peguam anda akan bersama-sama anda membaca setiap terma dan syarat di dalam perjanjian tersebut untuk memastikan anda memahami perjanjian tersebut. Jika ada sebahagian terma yang anda tidak bersetuju, elok jika anda menguruskannya bersama pemaju sebelum anda menandatangani perjanjian.

Kesimpulan

Jika anda benar-benar berminat dan juga yakin yang anda sudah layak untuk membeli rumah, anda boleh mengunjungi Ekspo Perumahan yang diadakan oleh Persatuan Harta Tanah dan Pemaju Perumahan Malaysia (REHDA) yang menggalakkan pembelian rumah serta membuat kempen pemilikan rumah. Ini dapat memberikan gambaran mudah kepada anda serba sedikit tentang ilmu hartanah dan pemilikan perumahan sebelum membeli rumah.

Perkara diatas adalah serba sedikit mengenai cara-cara membeli rumah. Semoga anda mempunyai idea awal bagaimana prosedur untuk memiliki sebuah rumah idaman. Jika anda ragu-ragu, hubungi terus mana-mana ejen hartanah yang berkelayakan atau kunjungi laman sesawang Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan atau propertyguru.com yang memberikan lebih banyak info daripada pelbagai sudut.

Diharapkan artikel cara-cara membeli rumah ini dapat memberi sedikit sebanyak idea untuk anda membeli rumah.

Rujukan

  1. FMT Reporters Nak Beli Rumah Pertama Tapi Tiada Deposit, Ini Cara Dapatkan Insentif RM30,000. (10 Ogos 2020). Akbar FMT
  2. Panduan Dan Cara Beli Rumah Baru Di Malaysia. (6 Feb 2020). Laman sesawang propertyguru.com
  3. Panduan dan Cara Beli Rumah Pada Tahun 2020. Laman Sesawang Arif Hussin, Perunding Hartanah
  4. Norafizah Torimi. Tips Membeli Rumah. Laman Sesawang Mohd Elam & Partners:
  5. Laman Sesawang Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah dan Pengurus Harta
  6. Apa Itu Ejen Hartanah Berdaftar. Laman Sesawang Asyran Laidin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

eight + 5 =