Skip to content

Cara Solat Duduk Atas Kerusi Dan Solat Baring

cara solat duduk dan solat baring

Bagaimanakah melakukan solat duduk di atas kerusi atau solat baring ?

Artikel ini akan menerangkan secara mudah cara-cara dan panduan untuk melakukan solat secara duduk atau baring


Secara asasnya, solat wajib mestilah didirikan secara berdiri. Walaubagaimanapun, Islam memberikan rukhsah  (kemudahan) kepada orang yang sakit untuk mengerjakan solat mengikut apa cara yang termampu.

Sekiranya pesakit itu tidak mampu berdiri, maka dibolehkan baginya untuk solat secara duduk. Sekiranya pesakit tidak mampu duduk, dibolehkan baginya solat secara mengiring di atas rusuk kanan atau kiri dan menghadapkan dada dan mukanya ke arah kiblat.

Sekiranya pesakit tidak mampu mengiring, dibolehkan baginya solat secara melentang dengan kakinya menghadap kiblat dan kepala diangkat sedikit. Solat dilakukan secara isyarat kepala sahaja atau dengan mata apabila tidak mampu dengan kepala.  Sekiranya tidak mampu, memadai bagi pesakit untuk menunaikan solat dengan hati sahaja.

DALIL


Asas pensyariatannya  ini berdasarkan hadis Imran bin Husain RA yang berkata:

كَانَتْ بِي بَوَاسِيرُ ، فَسَأَلْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الصَّلاَةِ ، فَقَالَ : صَلِّ قَائِمًا ، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا ، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ

Maksud: Aku terkena penyakit buasir, lalu aku bertanya kepada Nabi SAW tentang solat. Baginda bersabda: “ Solatlah dalam keadaan berdiri sekiranya tidak mampu dalam keadaan duduk, sekiranya tidak mampu solatlah di atas lambung” (Riwayat al-Bukhari).

SOLAT DUDUK ATAS KERUSI


Bagi yang tidak mampu solat secara berdiri,  dibolehkan baginya solat secara duduk di atas sesuatu seperti kerusi. Walaubagaimanapun, terdapat beberapa perkara yang mesti diikuti:

  • Bagi yang mampu berdiri seketika, hendaklah melakukan takbiratul ihram dan membaca al-fatihah dalam keadaan berdiri dan duduk di atas kerusi sekiranya tidak mampu lagi
  • Tidak dibenarkan solat secara bersandar ke kerusi tanpa sebarang keuzuran.
  • Sekiranya berjemaah di masjid, bahagian belakang kaki kerusi perlulah selari dengan kedudukan kaki jemaah yang berada di sebelah.
  • Dibenarkan bagi seseorang yang berada di atas kapal yang takut akan tenggelam sekiranya dia melakukan solat secara berdiri di atas kenderaan tersebut.

Cara Solat Duduk Atas Kerusi

  1. Duduk tegak dengan meluruskan badan dan tangan.
  2. Berniat solat ketika melafazkan Takbiratul Ihram dengan mengangkat tangan.
  3. Membaca surah al-Fatihah dan Surah dalam keadaan duduk dan tangan kanan diletakkan di atas tangan kiri.
  4. Rukuk dengan menundukkan kepala sehingga separas dengan lutut atau sekadar yang termampu.
  5. Iktidal dengan mengangkat semula kepala dan meluruskan badan serta tangan.
  6. Bagi solat Subuh, doa Qunut dibaca dengan mengangkat tangan sekiranya mampu.
  7. Sujud dengan menundukkan kepala melebihi paras lutut sekiranya mampu. Sujud dan Rukuk mestilah ada perbezaan.
  8. Duduk antara dua sujud dengan meletakkan tangan di atas paha.
  9. Membaca Tahiyyat  dalam keadaan meletakkan tangan di atas paha.
  10. Melafazkan salam dengan memaling muka ke kanan dan ke kiri.

SOLAT BARING


Bagi yang tidak mampu  solat secara duduk, maka dia boleh solat secara baring iaitu sama ada solat secara mengiring atau solat secara melentang.

Solat Secara Mengiring

Sebaik-baik solat ini ialah secara mengiring atas rusuk kanan dengan menghadapkan dada dan muka kearah kiblat.

  1. Berniat ketika Takbiratul Ihram dan mengangkat tangan sekiranya mampu. Kemudian, hendaklah membaca surah al Fatihah.
  2. Rukuk dengan menundukkan sedikit kepala mengikut kemampuan atau menutup kelopak mata apabila kepala tidak boleh digerakkan lagi.
  3. Iktidal dengan mengangkat semula kepala atau buka kembali kelopak mata.
  4. Bagi solat Subuh, doa Qunut dibaca dengan mengangkat tangan sekiranya mampu.
  5. Sujud dengan menundukkan kepala melebihi rukuk sekiranya mampu atau menutup kembali kelopak mata
  6. Duduk antara dua sujud dengan mengangkat semula kepala seperti keadaan asal atau membuka kelopak mata.
  7. Membaca Tahiyyat dan memberi Salam.

Solat Secara Melentang

  1. Orang yang solat secara melentang dikehendaki meluruskan kedua-dua kakinya ke arah kiblat dan meninggikan kepala supaya terangkat sedikit untuk menghadap kiblat.
  2. Semua pergerakan solat itu dilakukan secara isyarat kepala sama seperti dalam solat mengiring.
  3. Sekiranya tidak mampu dengan kepala, maka dilakukan dengan isyarat mata.
  4. Sekiranya tidak mampu dengan isyarat mata, hendaklah dilakukan dengan isyarat hati. 

KESIMPULAN


Pensyariatan solat duduk atas kerusi dan solat baring menunjukkan bahawa:

1. Islam itu mudah dan tidak menyusahkan.

Allah SWT berfirman:

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ

Maksud: Dan Allah tidak menjadikan ke atas kalian kepayahan di dalam agama. (Surah al-Hajj 22:78)

2. Kita disuruh untuk taat akan segala perintah Allah mengikut kadar kemampuan diri.

Allah SWT berfirman:

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksud: Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya kemampuan kamu. (Surah al-Taghabun 64: 16)

3. Allah tidak akan membebankan sesuatu ke atas  hambanya melebihi had kemampuan .

لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِلَّا وُسۡعَهَا

Maksudnya: Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. (Surah al-Baqarah 2: 286)

Semoga Allah menerima segala amal ibadah yang kita  kerjakan sepajang hayat dan  memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama.

Wallahualam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

fifteen + nineteen =