barang gym yang perlu ada di rumah

15 Barang Gym Yang Perlu Ada di Rumah

Apakah barang gym yang perlu ada di rumah supaya kita boleh bersenam dengan mudah? Artikel ini akan menyenaraikan barang gym yang sesuai untuk anda beli dan pakai di rumah anda.


Ingin dapatkan berat yang ideal? Azam nak turun berat badan tu dah ada, bagus, tapi asyik bertangguh je. Nak jejakkan kaki ke luar rumah ketika kes meningkat dan musim penyakit Covid-19 ni pun risau. Tidak semua berpeluang untuk bersenam di gym kerana adakalanya masa atau wang merupakan penghalang. Nak harung trafik yang sesak semata-mata nak ke gym pun satu hal, dah tentu anda tak mahu buang masa tambahan pula sibuk dengan rutin harian. Berikut merupakan senarai 15 barang gym yang perlu ada di rumah supaya anda tidak perlu bersusah payah untuk ke tempat gym di luar :

1. Tikar Yoga

Biasanya orang buat yoga atau meditasi atas tikar yoga tapi kegunaannya bukan sahaja untuk senaman yoga, malah boleh melindungi sendi dan tulang belakang dari tercedera ketika bersenam di atas lantai yang keras. Selain itu, tikar yoga berfungsi memberi keselesaan, menjaga kedudukan anda dan melindungi tubuh anda jika anda terjatuh atas permukaan keras atau licin. Tikar yoga boleh digulung untuk disimpan dan berfungsi untuk apa jua latihan ketika berbaring.

2. Dumbbell dan barbell

Bila anda masuk dalam gym, dumbbell adalah alat pertama yang anda akan pegang. Dumbbell dan barbell ialah alat pemberat bersaiz mini yang digunakan dalam latihan angkat berat. Berat dumbbell berbeza, dari yang sangat ringan iaitu 0.5 kilogram hingga berat mencecah sepuluh kilogram. Ianya bebas digunakan sebagai pemberat tambahan ketika melakukan senaman squat dan lunges untuk kaki dan punggung. Dumbbell lebih sesuai untuk membentuk otot lengan, bahu dan menguatkan otot dada. Pilih dumbbell yang boleh ditukar bentuk menjadi barbell ketika membeli untuk meluaskan jenis latihan yang boleh dilakukan.

3. Tali skipping

Tahukah anda, senaman menggunakan tali skipping lebih praktikal berbanding jogging? Degupan jantung akan dua hingga tiga kali lebih cepat berbanding jogging bila anda melompat dengan tali skipping. Tali skipping antara peralatan senaman dengan manik bebola bearing di dalam pemegangnya bertujuan untuk memastikan langkah lompatan seiring dan sama dengan gerakan badan. Ia murah dan sesuai digunakan di dalam rumah serta boleh dibawa ke mana sahaja serta membolehkan anda melakukan senaman kardio dalam keadaan selesa dan selamat dengan teknik yang betul. Lompat tali juga dapat meningkatkan kekuatan jantung dan tumbesaran otot pada abdomen dan lengan dengan gerakan tangan yang berbeza ketika melompat. Nampak senang, kan? Gunakan tali skipping jika hendak hasil yang lebih cepat.

4. Bola yoga anti-burst

Bola ini dikenali dengan banyak nama seperti Swiss Ball, Exercise Ball atau Core Ball. Bolanya bulat, elastik, lembut dan berisi udara. Bola yoga alat senaman yang ringkas, selamat dan efektif untuk menguatkan dan mencergaskan badan. Ramai yang beli bola senaman ini tetapi tidak tahu fungsinya. Senaman ringan dengan hanya duduk di atas bola membuatkan otot abdomen mula bekerja untuk mengimbangi badan secara automatik. Ia juga dapat membakar kalori dan lemak di bahagian lengan dan kaki, juga menguatkan abdomen, obliques dan pinggang. Anda boleh guna untuk senaman perut, belakang, yoga, memperbaiki keseimbangan tubuh dan menjadikan bentuk badan lebih menarik. Bola yoga selalu digunakan dalam terapi fizikal, latihan olahraga dan senaman serta untuk latihan angkat berat. Ia sesuai untuk semua peringkat umur termasuk ibu mengandung juga menggunakannya ketika bersenam bagi melancarkan proses bersalin. Harganya tidak mahal tapi beli bola yang material tahan lasak dan tak mudah pecah (non-burstible).

5. Push Up Board

Bosan dengan senaman push up cara lama? Cubalah push up board. Push pup board dibina untuk membentuk otot dada, bahu dan belakang. Ia merupakan set lengkap yang menyeluruh khas untuk senaman dada & tangan. Ada sembilan posisi push up yang boleh dilakukan di lokasi tertentu untuk otot.

6. Medicine ball

Medicine ball sudah wujud sekurang-kurangnya ketika 1000 sebelum masihi. Ia juga membolehkan anda melakukan pelbagai senaman untuk seluruh anggota badan. Harganya bergantung kepada saiz. Medicine ball ni berat. Untuk weight training, ia membantu menguatkan bahagian otot tangan. Hanya lambung dan jatuhkan bola ke bawah. Boleh cuba medicine ball jika inginkan senaman yang ringkas dan efektif untuk memperbaiki otot, membina kekuatan, keseimbangan, koordinasi dan daya tahan tubuh.

7. Resistance Band

Resistance band diperbuat dari getah elastik yang amat lasak, sesuai untuk senaman “rintangan” atau pemberat (buat regangan). Ada pelbagai saiz mengikut berat badan dan kekuatan seseorang individu.

8. Doorway Pull Up Bar / Chin Up Bar

Doorway pull up bar atau chin up bar dipasang di pintu rumah. Doorway pull up bar atau chin up bar lebih sesuai untuk lelaki tapi membolehkan anda membina otot belakang dengan mudah. Cuba beli doorway pull up bar atau chin up bar yang dipasang untuk tekanan udara. Kalau nak buat senaman pull up ini, tak perlu beli set besi yang besar atau susah-susah nak bina struktur kekal kat rumah.

9. Wheel Abs Roller

Wheel Abs Roller sesuai untuk dibawa travelling. Alat ini juga dikatakan lebih baik berbanding senaman biasa untuk perut kerana anda boleh dapatkan bentuk abs yang lebih menarik. Alat senaman ringkas ini menguatkan otot badan seperti bahagian perut dan juga belakang. Ia juga membantu mereka yang mempunyai masalah perut buncit di mana latihan sokongan memberikan tekanan di bahagian abdomen. Anda perlu mengawal nafas dengan baik semasa menggerakkan roda menggunakan tangan anda untuk menolak keseluruhan bahagian badan anda ke depan dan ke atas. Senaman dengan Wheel Abs Roller mengambil masa hanya beberapa minit dalam sehari. Anda akan merasai perubahan yang berlaku selepas melakukan beberapa sesi senaman.

10. Treadmill

Terdapat treadmill yang boleh dilipat untuk ruangan rumah yang kecil. Treadmill merupakan mesin larian yang menjadi pilihan terbaik iika tidak ada track jogging yang berdekatan. Treadmill amat sesuai bagi yang tidak sukakan aktiviti luar rumah. Berjalan atau berlari di atas treadmill adalah salah satu senaman yang baik kerana ianya lebih selamat dan kurang stress pada badan. Mesin ini digunakan untuk berjalan, berjoging atau berlari di dalam rumah. Treadmill merangsang otot seluruh badan untuk menurunkan berat badan, menguatkan otot jantung dan menurunkan kadar kolestrol pada jantung. Berlari merupakan cara terbaik untuk membakar kalori dan lemak dengan cepat. Penggunaan treadmill menggalakkan anda untuk lari pada kelajuan dan masa larian yang ditetapkan. Kelajuan boleh dilaras menurut keinginan anda seperti simulasi aras bukit dengan hanya menekan butang untuk latihan senaman yang mencabar. Lihat berat muatan maksima agar bersesuaian dengan berat badan anda ketika memilih treadmill.

11. Basikal gym

Basikal gym merupakan alat senaman khas yang menyerupai basikal tanpa roda. Ia sering digunakan untuk memanaskan badan sebelum melakukan aktiviti senaman yang lain. Basikal ini lebih ringan bagi mereka yang mahukan ketenangan ketika bersenam tanpa merasa tertekan, tidak seperti berjogging atas treadmill. Anda boleh sesuaikan kadar kayuhan dengan tahap kecergasan diri. Basikal gym sesuai untuk mereka yang mengalami masalah berat badan berlebihan. Ia mengurangkan tekanan untuk memulakan senaman menurunkan berat badan melalui kaedah yang tidak membebankan tubuh terutama yang melibatkan tulang belakang, pinggul, lutut dan tumit. Berbasikal juga dapat memelihara sendi-sendi badan serta menguatkan jantung, paru-paru dan otot kaki. Latihan silang atau cross training adalah latihan yang terlibat lebih daripada dua jenis sukan atau latihan untuk meningkatkan prestasi dan kecergasan seorang atlet. Sebanyak 250 kalori dapat dibakar dengan meluangkan masa sekurang-kurangnya 30 minit kayuhan di rumah. Tak perlu risau lagi tentang cuaca, trafik yang berbahaya dan juga masalah pada basikal.

12. Elliptical Trainer

Elliptical Trainer merupakan alat senaman yang menggabungkan pergerakan naik tangga, berbasikal dan juga ski. Ia altenatif lain selepas treadmill dan basikal serta dikelaskan sebagai alat senaman dengan impak rendah yang baik untuk sendi lutut dan juga agak mudah digunakan.

13. Sit Up Bench

Tujuan utama mengapa perlunya Sit Up Bench ialah mengurangkan risiko kecederaan dan menjadikan anda lebih bersemangat untuk melakukan Sit Up untuk mendapatkan six pack abs. Sit Up Bench juga boleh digunakan untuk buat senaman lain seperti senaman kaki, tangan dan dada.

14. Hand Power Grip

Hand Power Grip sangat sesuai untuk ahli bina badan, pendaki gunung, pemain tenis, golf, badminton dan pemain drum untuk menguatkan jari dan tangan. Saiznya yang kecil membolehkan ia dibawa dan digunakan bila-bila masa di mana sahaja anda berada.

15. Twister Board

Twister board merupakan alat yang digunakan untuk meningkatkan rutin senaman sedia ada. Fungsinya adalah mengurangkan lemak di bahagian abdomen, punggung dan kaki dengan hanya memusingkan badan ke kiri dan ke kanan mengikut kelajuan yang anda mahukan. Otot betis bekerja dengan lebih banyak untuk menahan badan dari terjatuh kerana posisi kaki kekal tidak bergerak. Otot kaki akan lebih kuat serta dapat mengimbang badan dengan baik melalui gaya senaman yang berbeza.

Penutup

Pilih peralatan senaman yang tidak perlukan kos tinggi serta tak makan banyak ruang. Peralatan senaman yang terdapat di gym tu boleh dibeli secara atas talian (online) atau dapatkan di kedai gym yang terdekat. Memiliki peralatan senaman di rumah memudahkan mereka yang sentiasa kekal aktif dalam bersenam. Anda tidak perlu risau lagi jika tidak mempunyai masa mengunjungi gym kerana di rumah anda sudah tersedia beberapa jenis peralatan senaman percuma yang dibeli sesuai mengikut keperluan dan perbelanjaan anda. Sentiasa konsisten apabila bersenam setiap hari. Bila badan cerdas, otak pun cergas.

Artikel Berkaitan: Barang Keperluan Dapur

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

17 + 6 =

Scroll to Top