Skip to content

10 Amalan Malam Lailatul Qadar yang Anda Perlu Tahu

amalan malam lailatul qadar

Apakah amalan malam lailatul qadar yang perlu anda tahu dan bagaimana menjemputnya dengan penuh pengharapan? Artikel pada kali ini akan berkongsi kepada anda secara mendalam aspek-aspek yang ditekankan dalam amalan malam lailatul qadar dan kelebihan yang ada padanya namun tidak ramai orang tahu.

Apakah itu malam lailatul qadar?

Perkataan (لیلة القدر‎) sudah tidak asing lagi dikenali sebagai malam yang sangat ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam setiap kali menjelma bulan Ramadhan. Dua pecahan perkataan yang boleh kita ambil adalah “Laila” iaitu tenggelamanya matahari sehingga terbitnya fajar (malam). Dan Al-Qadar yang bermaksud kemuliaan atau hukum dan ketepatan.

Namun demikian, para ulama berbeza pendapat apabila Qadar disandarkan kepada malam. Ada ulama berpendapat ianya kerana kemuliaan dan terdapat juga beberapa pendapat lain.

Menurut Ibn Qudamah pula, malam qadar adalah malam mulia, diberkati, diagungkan dan mempunyai banyak kelebihannya. 

Allah SWT ada berfirman dalam Surah Al-Qadr ayat 1 hingga 3:


إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ

وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ

لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya kami telah menurunkan (Al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.” 

Dikatakan ketika tiba 10 malam terakhir, Rasulullah juga menunjukkan kesungguhan yang lebih luar biasa sebagaimana yang diceritakan oleh Aisyah RA, beliau menceritakan:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ العَشْرُ الأوَاخِرُ مِنْ رَمَضَانَ أَيْقَظَ أَهْلَهُ وَشَدَّ المِئْزَرَ وَأَحْيَا اللَّيْلَ

Maksudnya: “Adapun Rasulullah SAW apabila tiba 10 hari terakhir bulan Ramadhan, Baginda SAW membangunka. Ahli rumahnya, mengikat kainnya (menjauhi isteri-isterinya) serta menghidupnya malam tersebut.” – (Riwayat Ibn Hibban, no 3436)

Amalan malam lailatul qadar

Dalam menentukan bilakah berlakunya malam lailatul qadar itu, sebenarnya mempunyai banyak pendapat. Namun kesemua pendapat yang ada ini mengatakan ia berlaku di dalam 10 malam terakhir di bulan Ramadhan. 

Oleh yang demikian, dalam melalui fasa akhir bulan Ramadhan yang semakin hampir kita sewajarnya perlu lebih meningkatkan amalan malam lailatul qadar sebagai pecutan terakhir. Antara amalan yang boleh dilakukan adalah sepeti yang berikut:

1. Tunaikan solat fardhu pada awal waktu

Solat adalah rukun islam kedua selepas mengucap dua kalimah syahadah. Setiap umat Islam diwajibkan untuk mendirikan solat 5 waktu sehari. Melatih diri sejak kecil untuk peka dengan bunyi azan dan mendirikan solat adalah perkara yang biasa kita diajarkan kepada anak-anak. 

Kerana pentingnya solat ini ia adalah paksi kepada keimanan seorang Muslim yang mengaku beriman kepada Allah SWT. Ini dinyatakan sendiri dalam Surah Al-Baqarah, ayat 277:

Maksudnya: Sesungguhnya orang yang beriman dan beramal soleh dan mengerjakan solat serta memberikan zakat, mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka tidak pula berdukacita.”

Bertepatan dengan firman Allah SWT tentang kepentingan solat, umat Islam turut digalakkan untuk menunaikan solat di awal waktu. Nabi Muhammad SAW menyatakan dalam sabdanya:

Maksudnya: “Apakah amalan yang paling dicintai di sisi Allah SWT? Nabi menjawab; Solat pada waktunya”. Dia (perawi) bertanya lagi kemudian apa, jawab Baginda “berbuat baik kepada kedua ibu bapa”. Dia bertanya lagi kemudian apa, jawab baginda “Jihad pada jalan Allah SWT.” – (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Dengan menunaikan solat di awal waktu ini, kita akan mendapat kekhusyukkan dan ketenangan yang lebih di dalam hati. Terasa begitu dekat kedudukan Allah itu disisi kita dan seterusnya menebalkan lagi iman di jiwa. 

2. Solat tarawih pada setiap malam 

Setiap kali menjelang Ramadhan, solat tarawih pastinya menjadi amalan yang biasa dilaksanakan. Sungguhpun solat tarawih ini adalah sunat muakkad, namun demikian ia sangat dituntut untuk dikerjakan oleh orang-orang Islam lelaki dan perempuan pada tiap-tiap malam Ramadhan.

Banyak kelebihan solat sunat tarawih yang ada disebutkan hadis Nabi SAW:

Maksudnya: “Barangsiapa yang mendirikan solat (tarawih) pada malam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan maka Allah ampunkan segala dosanya yang telah lalu.” – (Hadis Riwayat Muslim)

3. Berqiamulail

Rasulullah SAW mengimarahkan amalan malam lailatul qadar dengan menghidupkan malam hari. Yang dimaksudkan dengan menghidupkan malam, ini ada dua kemungkinan.

Pertama, menghidpkan keseluruhan malam dengan ibadah. Manakala yang kedua, adalah menghidupkan majoriti atau kebanykkan malam dengan ibadah. 

Hal ini dikeranakan untuk menghidupkan separuh malam juga adalah dianggap sebagai menghidupkan malam sebagaimana yang dikatakan oleh Imam Rajab Al-Hanbali. – (Lathaif Al-Ma’arif, Ibn Rajab, Halaman 329)

4. Bersedekah

Dermawan adalah sikap mulia bagi seorang Muslim. Kedermawanan juga merupakan salah sau dari sifat Allah SWT, sebagaimana hadis:

‏إن الله تعالى جواد يحب الجود ويحب معالي الأخلاق ويكره سفسافها

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Ta’ala itu Maha Memberi, Ia mencintai kedermawanan serta akhlak yang mulia, Ia membenci akhlak yang buruk.” – (Hadis Riwayat Al Baihaqi, di sahihkan Al Albani dalam Shahihul Jami’, 1744)

Keistimewaan mereka yang bersedakah bukan sahaja memberi kebaikan kepada penerima tetapi juga kepada pemberi. Terdapat ratusan dalil yang menceritakan keberuntungan, keutamaan, kemuliaan orang-orang yang bersedekah.

Ibnu Hajar Al Haitami mengumpulkan ratusan hadits mengenai keutamaan sedekah dalam sebuah kitab yang berjudul Al Inaafah Fimaa Ja’a Fis Shadaqah Wad Dhiyaafah, meskipun hampir sebagiannya perlu disemak keshahihannya.

5. Membaca Al-Quran

Allah SWT ada berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 183:

Maksudnya: “Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.”

Dapat mengkhatamkan Al-Quran sekurang-kurangnya sekali di bulan Ramadhan adalah sunnah Rasulullah SAW dan para salafussoleh. Tidak mustahil untuk menghabiskan baca 30 juzuk Al-Quran dalam masa 30 hari apabila kita mempunyai sasaran setiap hari.

Walau bagaimanapun, tiada perintah atau arahan yang khusus daripada syarak yang berbentuk wajib untuk kita mengkhatamkan al-Quran di bulan Ramadan. Justeru itu, galakan dan saranan tersebut berbentuk sunat dan bukannya wajib.

6. Berbuat bakti dan menyemai bakti

Menyemai nilai-nilai murni dalam berbuat sesuatu kebaikan tidak memilih dengan siapa dan untuk apa hanya ikhlas semata-mata kerana Allah SWT sangat dianjurkan dalam kehidupan seharian. Contoh amalan yang boleh dilakukan adalah seperti berbagi juadah berbuka puasa, membantu ibu bapa menyediakan juadah sahur atau berbuka, bergotong-royong atau sebagainya.

Konsepnya mudah, apabila kita memudahkan urusan orang lain, maka Allah juga akan memudahkan urusan hidup kita. 

7. Berzikir dan beristighfar 

Dalam keadaan apa pun termasuklah berhadas, kita sebenarnya tidak mempunyai halangan untuk berzikir dan beristighfar. Ini termasuklah juga amalan malam lailatul qadar bagi wanita yang kedatangan haid atau keuzuran. 

Sebuah riwayat daripada Aisyah R.Anha berliay berkata maksudnya:

Wahai Rasulullah, apakah pandangan kamu sekiranya aku bertemu dengan lailatul qadar apakah yang patut aku berdoa?”

Maka kata Nabi SAW:

Ucapkanlah: Ya Allah, sesungguhnya Kau maha Pengampun, dan Kau sukakan pengampunan, maka ampunkanlah aku.”

8. Banyakkan berdoa

Amalan malam lailatul qadar yang paling mujarab adalah untuk memperbanyakkan doa. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasululalh (Nabi Muhammad) bersabda:

Maksudnya: “Sesiapa yang melakukan qiamullail pada Ramadhan kerana keimanan dan mengharapkan pahala akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu.” – (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Antara doa yang biasa diajarkan oleh Nabi kepada Aisyah adalah seperti yang berikut:

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan amat sika akan keampunan, maka berikanlah keampunan kepadaku.”

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon perlindungan dengan redhaMu daripada kemarahanMu dan aku berlindung dengan kemaafan Mu daripada kemurkaan Mu.”  – (Hadis Riwayat Muslim, no 486)

Maksudnya: “Ya Allah, dosa-dosaku terlalu banyak tidak terkira. Tidak mampu aku sifatkan, namun ia terlalu kecil di sisi kemaafan Mu, ampunilah aku”.

9. Memberi makan kepada orang berbuka

Sikap suka memberi makan kepada orang berbuka adalah sikap terpuji yang perlu menjadi amalan setiap masa. Hal ini disebabkan banyak kebaikan yang boleh kita semai dari sikap tersebut.

Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid al-Juhani RA bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya:

Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa dalam keadaan pahala orang tersebut tidak berkurangan sedikit pun.” – (Hadis Riwayat Al-Tirmizi, no 807)

10. Menjauhkan diri daripada perkara yang sia-sia dan membuang masa

Jika kita tahu akan berharganya sebuah masa, maka tidak akan sesekali kita mensia-siakan masa dan peluang yang ada. Bayangkan jika Ramadhan ini adalah Ramadhan yang terakhir kita jalani.

Pastinya, penantian malam lailatul qadar juga adalah yang terakhir boleh kita nantikan. Beribadahlah seakan-akan ini adalah ibadah terakhir yang kita buat agar ibadah yang dibuat ikhlas kerana Allah dan meninggalkan keindahan dalam penghambaan kita kepada Allah SWT. 

Doa bertemu malam lailatul qadar

Antara doa yang boleh diamalkan untuk mendapat malam Lailatul Qadar di sepanjang Ramadhan adalah:

Bacaan rumi: Allahummar zuqna lailatul qodri fii hazihis sanati wa fii kulli sanati, wa a ‘in naa ‘alaa ihyaa ihaa qiyaa mihaa, birahmatika yaa arhamarrohimin 

Maksudnya: “Ya Allah, rezekikan kami Lailatul Qadar pada tahun ini dan juga pada setiap tahun. Dan bantulah kami untuk menghidupkan dan membangunkan malamnya Dengan RahmatMu, Wahai yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.”

Diharapkan artikel berkenaan dengan amalan malam lailatul qadar ini dapat memberikan anda informasi yang bermanfaat dan ilmu pengetahuan yang berguna untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian dan dikongsikan bersama.

Rujukan

  1. Irsyad Al-Hadith Siri Ke-96: Memburu Lailatul Qadar (Malam Al-Qadar). Mufti Wilayah Persekutuan
  2. Menggapai Malam Lailatul Qadar (18 April, 2022). Harakah Daily
  3. Dua Amalan Doa Disarankan Buat Supaya Dapat Bertemu Malam Lailatul Qadar. Sirap Limau

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

nineteen − five =