Apakah amalan bulan Zulhijjah? Artikel pada kali ini akan membincangkan mengenai beberapa amalan yang amat digalakkan dibuat dalam bulan Zulhijjah berpandukan dalil dari Al-Quran dan As-Sunnah.
Pengenalan
Ibadah haji dan korban adalah peristiwa besar yang berlaku pada bulan Zulhijjah. Ia disyariatkan ke atas semua umat Islam terutamanya bagi mereka yang berkemampuan. Ibadah ini adalah simbolik kepada ketaatan yang diperintahkan oleh Allah SWT.
Dikatakan ada satu tarikh dalam bulan ini yang menjanjikan pelbagai kelebihan untuk beramal. Ibadah pada 10 hari Zulhijjah antara yang paling afdal dan disukai oleh Allah SWT.
Al-Bukhari meriwayatkan sebuah hadis daripada Ibnu Abbas RA. Daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:
مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهَا أَحَبُّ إِلَى اللهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ يَعْنِي أَيَّامَ الْعَشْرِ ، قَالُوا : يَا رَسُولَ اللهِ ، وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ ؟ قَالَ : وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ ، إِلاَّ رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ ، فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ.
Maksudnya: “Tiada hari-hari yang amalan soleh yang paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini-baginda memasukkan: 10 hari terawal Zulhijjah. “Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya? ”Baginda bersabda,”Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali.” – [(Hadis Riwayat al-Bukhari (969), Abu Daud (2438), Ibn Majah (1727), al-Tirmizi (757)]
Amalan di bulan Zulhijjah yang boleh lakukan
Menurut Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam kitabnya Fath al-Bari:
“Sebab yang menjadikan istimewanya sepuluh hari (pertama) bulan Zulhijah adalah kerana padanya terkumpul ibadat-ibadat besar (dalam Islam) seperti solat, puasa, sedekah dan haji, yang (semua) ini tidak terdapat pada hari-hari yang lain.”
Justeru itu, kumpul sebanyak yang boleh amalan bulan Zulhijjah untuk dilakukan bagi menambahkan pahala. Antaranya seperti:
1. Membaca Al-Quran
Selalu membaca Al-Quran, mempelajari dan mengamalkan. Kitab agung bagi seluruh umat Islam ini adalah jalan yang memandu manusia menjalani kehidupan ini demi mendapat keredhaan Allah SWT.
Selain membaca, kita juga boleh mendengar alunan ayat suci Al-Quran dibaca oleh para qari dan qariah terkenal. Hafal dan ulang kaji juga surah-surah dari Juz Amma (Juzuk 30). Jika selama ini kita hanya membaca teks Al-Quran dalam Bahasa Arab, kali ini baca juga terjemahannya dalam bahasa yang mudah kita fahami seperti Bahasa Melayu.
Mereka yang bersahabat dengan Al-Quran di dunia akan sentiasa bermuhasabah diri dan memgambil iktibar dari ayat-ayat Al-Quran ini. Junjung Al-Quran sepanjang kita hidup, moga ia menjadi pembela dan syafaat ketika di akhirat.
2. Mengerjakan solat fardhu dan melazimi solat sunat
Dari culas melaksanakan solat, ubah kepada rajin dan cukupkan 5 waktu setiap hari. Dari selalu lewat mengerjakan solat di akhir waktu, ubah di awal waktu. Tingkatkan fokus dan khusyuk dalam solat.
Lazimi juga solat-solat sunat yang lain yang membawa manfaat yang banyak dalam kehidupan kita seperti Solat Sunat Ishraq/ Dhuha, dan Solat Sunat Tahajud.
3. Melakukan amalan kebajikan
Dari Abu Hamzah, Anas bin Malik RA, pembantu Rasulullah SAW, dari Rasulullah SAW, beliau bersabda, “Tidak beriman salah seorang di antara kamu hingga dia mencintai untuk saudaranya apa yang dia cintai untuk dirinya sendiri. – (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Mengasihi dari konteks memberi dan menyayangi. Umat Islam boleh bersedekah, mengeluarkan zakat, atau memberikan sumbangan yang disukai kepada ibu bapa, pasangan, anak-anak, saudara-mara, rakan taulan, dan sesiapa sahaja yang memerlukan.
4. Berpuasa sunat
Puasa sunat bulan Zulhijjah boleh dilakukan pada 9 Zulhijjah (Hari Arafah). Puasa Hari Arafah ditekankan sebagai puasa yang menjadi penghapus dosa setahun sebelumnya dan dosa setahun selepasnya seperti mana yang diriwayatkan dalam Sahih Muslim.
Daripada Abu Qatadah bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
صِيَامٌ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللهِ أَن يُكَفِّرُ السَّنَّةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالَّتِي بَعْدَهُ
Maksudnya: “Berpuasa pada hari Arafah kerana mengharap pahala daripada Allah agar adalah sebagai penghapus dosa bagi setahun sebelum dan sesudahnya.” – (Hadis Muslim, hadis sahih)
5. Hari raya aidil adha dan ibadah korban
Pada hari raya Aidiladha, kita boleh menghidupkannya dengan takbir. Dua jenis takbir pada hari raya yang boleh dibaca adalah takbir mursal (muthlaq) dan takbir muqayyad.
Sedangkan ibadah korban pula merupakan sunat muakkad yang amat digalakkan bagi orang yang berkemampuan dan menepati syarat-syarat untuk berkorban.
Nabi SAW bersabda dalam sebuah hadis:
Maksudnya: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).” – [(Hadis Riwayat al-Tirmizi (1493)]
Imam al-Tirmizi menghukum hadis ini sebagai hasan gharib
6. Memperbanyakkan zikir dan doa
Amalan yang banyak pahalanya, ringin untuk dilakukan, tetapi amat sedikit yang melakukannya adalah berzikir dan berdoa. Zikir dan doa sememangnya boleh dilakukan pada bila-bila masa dan dalam keadaan apa jua.
Nabi Muhammad SAW bersabda:
خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ، وَخَيْرُ مَا قُلْتُ أَنَا وَالنَّبِيُّونَ مِنْ قَبْلِي: لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ، وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلَّ شَيْءٍ قَدِيْرُ
Maksudnya: “Sebaik-baik doa ialah doa yang dibaca pada hari Arafah dan sebaik-baik zikir yang aku ucapkan dan juga diucapkan para nabi sebelumku ialah, tidak ada yang berhak disembah selain Allah yang satu, tidak ada sekutu bagi-Nya, milik-Nya kekuasaan dan milik-Nya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.” – (Hadis Riwayat al-Tirmizi, hadis hasan)
Hadis yang lain, Nabi Muhammad SAW bersabda:
مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللَّهُ فِيهِ عَبْدًا مِنَ النَّارِ مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ وَإِنَّهُ لَيَدْنُو ثُمَّ يُبَاهِى بِهِمُ الْمَلاَئِكَةَ فَيَقُولُ مَا أَرَادَ هَؤُلاَءِ
Maksudnya: “Tidak ada hari di mana Allah membebaskan hamba dari neraka lebih banyak daripada hari Arafah, dan sungguh Dia mendekat lalu membanggakan mereka di depan para malaikat dan berkata: “Apa yang mereka inginkan?” – (Hadis Riwayat Muslim, hadis sahih)
7. Mengeratkan hubungan kemasyarakatan
Santuni saudara mara dengan mengeratkan tali silaturrahim dari melakukan aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong atau ziarah-menziarahi. Di kampung contohnya, aktiviti berkorban akan melibatkan ramai penduduk dan bermacam-macam tugas diberikan.
Ada yang menyembelih lembu, melapah, membahagikan daging, membungkus, membersihkan, dan memasak. Secara tidak langsung ia dapat melahirkan sebuah masyarakat majmuk yang penuh dengan nilai-nilai murni.
8. Menghadiri majlis ilmu
Betapa Allah amat memuliakan orang yang menghadiri majlis ilmu itu sehinggakan mereka dipayungi oleh malaikat. Sebagai seorang manusia, amatlah wajar kita sentiasa mencari ilmu selagi mana hidup di dunia, walaupun kita merasakan sudah tahu.
Hal ini kerana, mereka yang belajar dengan niat yang betul tidak akan sesekali merasakan ilmunya cukup. Malah semakin dia belajar, semakin banyak perkara yang dirasakan dia tidak tahu.
9. Bersedekah
Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Hajj, ayat 28:
فَكُلُوا۟ مِنْهَا وَأَطْعِمُوا۟ ٱلْبَآئِسَ ٱلْفَقِيرَ
Maksudnya: “Maka makanlah sebahagian daripadanya (haiwan korban) dan (sebahagian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara dan fakir.”
Jangan kedekut atau berasa berat hati untuk bersedekah kerana yakinlah setiap sedekah yang kita keluarkan itu mempunyai nilai ganjaran pahalanya yang tersendiri.
10. Beristighfar dan memperbaharui taubat
Seperti yang kita tahu, bulan Zulhijjah merupakan bulan terakhir dalam bulan Islam. Muharram menjadi pembuka lembara baru untuk umat Islam memulakan tahun baru. Ketika itu, kita sepatutnya lebih banyak bermuhasabah diri dan memperbaharui niat kerana Allah. Tahun baru ini, semoga Allah memberikan kita kekuatan untuk memulakannya dengan penuh kebaikan.
Kesimpulan
Diharapkan artikel berkenaan dengan amalan bulan zulhijjah ini dapat memberikan anda pendedahan dan perkongsian yang sarat dengan ilmu pengetahuan untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian.
Rujukan
- 7 Amalan Yang Digalakkan Pada 10 Hari Pertama Zulhijjah & Fadilatnya. Al-Huda Institute, Dr Zaharuddin Abd Rahman
- Amalan soleh mukmin di bulan Zulhijjah. Harakahdaily.net
- Kelebihan / Kesitimewaan Bulan Zulhijjah & Info Hilal Zulhijjah Mufti Wilayah Persekutuan