Apakah amalan bulan Muharram? Artikel pada kali ini akan membincangkan mengenai beberapa amalan yang amat digalakkan dibuat dalam bulan Muharram berpandukan dalil dari Al-Quran dan As-Sunnah.
Pengenalan
Bulan Muharram adalah bulan pertama dalam kalender bulan-bulan Islam. Maksud Muharram itu sendiri beerti diharamkan. Dari segi istilah yang lebih tepat, ketika bulan ini kita diharamkan untuk berperang atau dikenali dengan panggilan bulan haram.
Abi Bakrah RA meriwayatkan Nabi SAW bersabda: “Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang haram iaitu tiga daripadanya berturut-turut (Zulkaedah, Zulhijah dan Muharram) dan yang keempatnya adalah Rejab Mudhar yang terletak antara Jamadil Akhir dan Sya’ban.” – (Hadis Riwayat Bukhari)
Orang Arab zaman jahiliah dahulunya sangat membesar-besarkan kedatangan bulan Muharram ini. Selain daripada itu, bulan rebutan ini membuatkan seluruh umat Islam sentiasa berebut-rebut untuk melakukan pelbagai amalan dan ibadah lebih-lebih lagi menjelang tarikh 10 Muharram.
Amalan bulan Muharram yang boleh dilakukan
Banyak amalan bulan Muharram yang boleh kita lakukan sebenarnya untuk menambahkan pahala. Antaranya seperti:
1. Menunaikan solat yang wajib dan memperbanyakkan ibadah sunat termasuk selawat
Solat fardhu adalah amanah, tanggungjawab, dan sekaligus tuntutan yang wajib kita lakukan. Tidak boleh ditinggalkan dalam apa keadaan sekalipun melainkan ada keuzuran yang dibenarkan oleh syarak. Bagi yang masih culas mengerjakan solat fardhu maka bersegeralah kita melatih diri dan melaksanakannya sepanjang kehidupan seharian.
Dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya amal seseorang yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat adalah solat, jika solatnya baik (diterima), maka beruntung dan berbahagialah dia. Dan jika solatnya rosak (tidak diterima), maka kecewa dan rugilah dia. Kiranya terkurang sesuatu daripada solat fardunya, Allah berfirman: “Periksalah, adakah hamba Ku itu mempunyai solat sunat yang dapat menampung solat fardunya? ”Demikianlah keadaan semua amal yang lain dihisab.” – (Hadis Riwayat At-Tirmizi)
Dalam masa yang sama tidak dilupakan agar memperbanyakkan juga ibadah sunat yang lain seperti solat sunat, dan berselawat. Syaikhul Azhar, Syaikhul Islam Ibrahim al-Bajuri rahimahullah, iaitu dalam hasyiah beliau atas Qashidah al-Burdah, pada halaman 18 beliau menulis sebagai berikut:
“……Dan telah masyhur diketahui umum, bahawa amalan-amalan nafilah/sunnat itu boleh menampung atau menampal apa yang kurang dalam amalan-amalan fardu. Tetapi Imam Al-Qurthubi telah menukil dalam kitabnya At-Tadzkirah penjelasan daripada Imam asy-Syafi`i bahawa yang sedemikian itu adalah bagi kekurangan yang berlaku pada amalan fardu akibat lupa atau tidak sengaja. Ada pun kekurangan yang dilakukan dengan sengaja tidaklah dapat ditampal dengan amalan sunnat walau ianya amat banyak…..”
2. Berpuasa sunat
Amalan pertama yang direbutkan pada Hari Asyura iaitu 10 Muharram adalah berpuasa.
Daripada Abu Qatadah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:
“Berpuasa pada Hari Asyura’ sesungguhnya aku mengharapkan kepada Allah supaya ia dapat menghapuskan dosa -dosa setahun sebelumnya.” – (Hadis Riwayat Ibn Majah, 1738)
Para ulama menyimpulkan bahawa berpuasa sunat bulan Muharram ini boleh dilakukan pada hari yang ke 9 dan 11 Muharram. Ini bertujuan untuk mengelakkan persamaan ibadah dengan agama lain. Walau bagaimanapun, terdapat lagi tiga puasa sunat yang boelh diamalkan iaitu Hari Putih.
Sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Dzar RA:
إِذَا صُمْتَ مِنَ الشَّهْرِ ثَلاَثاً، فَصُمْ ثَلاَثَ عَشْرَةَ، وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ، وَخَمْسَ عَشْرَةَ
Maksudnya: “Sekiranya engkau berpuasa tiga hari dalam sebulan, puasalah pada 13, 14, dan 15 haribulan.” – (Hadis Riwayat at-Tirmizi)
3. Bersedekah
Salah satu amalan yang dianjurkan dalam bulan ini adalah bersedakah. Sedekah adalah amalan yang amat disukai oleh Allah SWT. Dalam Al-Quran, Allah berfirman maksudnya:
“Kamu sekali-kali tidak samapi kepada kebajikan (yang sempurna) sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa sahaja yang kamu nafkahkan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.” – (Surah Ali Imran, ayat 92)
4. Menyambung silaturahim
Banyak peristiwa bersejarah yang berlaku dalam Islam pada bulan Muharram ini. Menurut Kitab I’anah Ath-Thalibin jilid dua, Syeikh Muhammad Binyati berkata pada bulan Muharram, Allah:
- mengampunkan dosa Nabi Adam
- menyelamatkan Nabi Yunus daripada perut ikan paus
- memberikan tongkat kekuasaan kembali kepada Nabi Sulaiman
- Menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa
Oleh yang demikian, bagi memantapkan kerukunan dalam ummah, kita haruslah melazimi amalan menyambung silaturahim kerana dari situ maka terjalinlah segala hubungan persaudaraan yang jauh dan dekat.
5. Memotong kuku
Memotong kuku salah satu dari aspek penjagaan diri yang perlu dilakukan. Malah amalan ini juga boleh menjadi satu ibadah kerana Islam amat mementingkan perihal kebersihan.
Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 222:
Maksudnya: ““Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang-orang yang senantiasa mensucikan diri.”
6. Membaca doa akhir dan awal tahun
Maksudnya: “Dan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala pujian itu bagi Allah Tuhan pentadbir seluruh alam. Selawat dan salam ke atas penghulu kami Nabi Muhammad beserta keluarga dan sebahat-sahabat baginda.
Ya Allah! Apa yang telah kami lakukan pada tahun ini dari perkara-perkara yang Engkau larang dan kami belum bertaubat daripadanya padahal Engkau tidak meredhainya dan kami telah melupakannya sedang Engkau pula tidak melupakannya dan Engkau berlemah lembut kepad akami sedang Engkau berkuasa mengazab kami malah memberi kami peluang supaya kami bertaubat selepas kami mencerbur diri melakukan maksiat kepada Mu.
Oleh yang demikian, kami memohon keampunan Mu, maka ampunkanlah kami. Dan apa-apa yang telah kami lakukan sepanjang tahun ini dari perkara-perkara yang Engkau redhai dan Engkau telah menjanjikan ganjaran pahala kerananya, maka kami memohon kepada Mu Ya Allah. Tuhan Yang Maha Mulia, yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan. Semoga Engkau menerimanya (amal bakti) yang telah kami lakukan dan Engaku tidak menghampakan harapan kami, wahai Tuhan yang Maha Mulia.”
Maksudnya: “Dan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala pujian itu bagi Allah Tuhan pentadbir seluruh alam. Selawat dan salam ke atas penghulu kami Nabi Muhammad beserta keluarga dan sebahat-sahabat baginda.
Ya Allah! Engkaulah Tuhan yang kekal dan selama-lamanya sedia ada lagi tiada permulaan. Kelebihan Mu Maha Agung dan kemurahan Mu amat melimpah yang sangat-sangat diharapkan. Tibalah sudah tahun baru ke atas kami, kami mohon kepada Mu perlindungan pada tahun ini daripadanya syaitan yang direjam dan konco-konconya serta bala tenteranya, kami juga memohon kepada Mu pertolongan mengalahkan runtunan nafsu yang mendorong ke arah kejahatan, dan kami memohon kepada Mu kerja-kerja yang boleh mendampingi diri kami kepada Mu, wahai Tuhan yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan.
Selawat dan salam ke atas penghulu kami Nabi Muhammad berserta keluarga dan sahabat-sahabatnya, Dan segala pujian itu bagi Allah Tuhan pentadbir seluruh alam.”
7. Memperbanyakkan berzikir
Muharram bulan yang mensucikan dosa-dosa yang kita lakukan selama ini. Jangan dilupakan perbanyakkan berzikir kerana ia boleh dilakukan di mana-mana dan bila-bila masa sahaja. Zikir akan membersihkan dan menyucikan jiwa kita.
Perintah untuk melaksanakan zikir banyak ditemukan dalam ayat-ayat Al-Quran dan hadis baginda Rasulullah SAW.
Bahkan ia disebut juga sebagai rahsia dan penghubung secara langsung antara manusia dan Tuhannya. Ini jelas disebut Dari Abu Hurairah RA bahwa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Allah SWT berfirman: Aku selalu bersama hamba Ku selama ia mengingat Ku dan kedua bibirnya bergerak menyebut Ku.”
8. Menziarahi para ulama
Para ulama menjadi pewaris para Nabi yang bertanggungjawab untuk menyebarkan amar makruf nahi mungkar dan dakwah ke arah kebaikan. Mereka berilmu dengan Al-Quran dan As-Sunnah serta mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Ambil waktu penuh mulia ini untuk menziarahi dan bertanya khabar akan mereka.
9. Mengusap kepala anak yatim
Mencintai, menyantuni dan berbuat baik kepada anak yatim satu tuntutan dalam agama Islam. Sungguh pun ia kecil di mata manusia, namun sangat besar ganjarannya di sisi Allah.
10. Memakai celak mata
Celak mata boleh dipakai pada lelaki dan wanita walaupun ia bukan di bulan Muharram. Hal ini kerana, celak mempunyai kebaikannya dari segi kesihatan mata dan perhiasan diri.
Kesimpulan
Diharapkan artikel berkenaan dengan amalan bulan Muharram ini dapat memberikan anda pendedahan dan perkongsian yang sarat dengan ilmu pengetahuan untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Sambutlah kedatangan bulan Muharram dengan memperbanyakkan amalan soleh. Semoga Allah menerima segala amal kebajikan yang telah kita lakukan.
Rujukan
- Amalan Rasulullah SAW Di Bulan Muharram. Pusat Islam Universiti Kebangsaan Malaysia
- Al-Kafi #410: Amalan-Amalan Dalam Bulan Muharram. Mufti Wilayah Persekutuan
- Amalan Kejar Pahala Pada Hari Asyura’ (10 Muharram) Yang Boleh Dilakukan. Jentik Hati TV