Skip to content

10 Hadis Menuntut Ilmu yang Anda Perlu Tahu

hadis menuntut ilmu

Berikut merupakan pilihan hadis yang berkaitan dengan menuntut ilmu dan menyampaikannya. Hadis-hadis yang dipilih adalah dari kategori hadis yang Sahih mahupun Hasan. Terdapat sebahagian hadis disertakan keterangan agar kita dapat memahaminya dengan lebih baik.

Hadis 1: Jalan Menuntut Ilmu adalah Jalan Ke Syurga 

وَمَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا، سَهَّلَ اللهُ لَهُ طَرِيقًا إِلَى الجَنَّةِ

Maksudnya: Dan sesiapa yang menempuh jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah mudahkan baginya jalan menuju ke syurga. (Riwayat Muslim)

Keterangan: Hadis ini menerangkan kepada kita bahawa sesiapa yang berusaha ikhlas menuntut ilmu, maka Allah akan mudahkan bagi dia untuk masuk ke syurga.

Hadis 2: Ilmu yang Bermanfaat adalah Pahala yang Berterusan

إِذَا مَاتَ ابْنُ آدَمَ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلَاّ مِنْ ثَلاثٍ: صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Maksudnya: Jika telah mati seseorang anak Adam terputuslah segala kebaikan amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, atau ilmu yang bermanfaat baginya, atau anak soleh yang mendoakan untuk dirinya. (Riwayat Muslim) 

Keterangan: Hadis ini menerangkan bahawa apabila seseorang telah menemui ajalnya, maka tiada lagi bagi si mati itu pahala yang berterusan hasil dari amalannya, melainkan ada tiga perkara yang boleh memberikannya kebaikan dan pahala setelah kematiannya. Salah satu darinya adalah ilmu yang bermanfaat lalu ilmu itu dimanfaati oleh orang lain hasil dari tunjuk ajarnya.

Hadis 3: Faham Urusan Agama

مَنْ يُرِدِ اللهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ في الدِّينِ

Maksudnya: Sesiapa yang Allah kehendaki baginya kebaikan maka Allah akan beri kefahaman dalam urusan agama. (Disepakati riwayatnya oleh al-Bukhari dan Muslim)

Keterangan: Mereka yang beroleh kefahaman dalam urusan agama adalah mereka yang telah diberikan kebaikan dan keberkatan dari Allah swt.

Hadis 4:

لا حَسَدَ إِلَاّ في اثْنَتَيْنِ: رَجُلٌ آتَاهُ اللهُ مَالًا، فَسَلَّطَهُ عَلَى هَلَكَتِهِ فِي الحَقِّ، وَرَجُلٌ آتَاهُ اللهُ الحِكْمَةَ، فَهُوَ يَقْضِي بِهَا وَيُعَلِّمُهَا

Maksudnya: Tidak boleh mendengki melainkan terhadap dua perkara: seseorang yang Allah berikannya harta lalu dia gunakannya pada kebenaran, dan seseorang yang Allah berikannya hikmah lalu dia menyampaikannya kepada orang lain. (Disepakati riwayatnya oleh al-Bukhari dan Muslim)

Keterangan: Dua individu yang perlu kita ada rasa cemburu terhadap mereka. Mereka adalah memanfaatkan hartanya dengan menginfakkan di jalan Allah. Juga orang yang menyampaikan kebaikan dan mengajarkan ilmu.

Hadis 5: Menyampaikan Ilmu

بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً

Maksudnya: Sampaikan apa yang aku ajarkan walau satu ayat. (Riwayat al-Bukhari)

Keterangan: Suatu galakan dari Baginda SAW supaya menyampaikan ilmu walau sedikit atau kecil.

Hadis 6: Kelebihan Menyampaikan Ilmu

نَضَّرَ اللهُ امْرَأً سَمِعَ مِنَّا شَيْئًا، فَبَلَّغَهُ كَمَا سَمِعَهُ، فَرُبَّ مُبَلَّغٍ أوْعَى مِنْ سَامِعٍ 

Maksudnya: Allah akan memperindah seseorang yang mendengar hadis dari aku lalu menyampaikannya sepertimana didengarinya, sehinggakan terkadang yang menyampaikan lebih mahir berbanding yang mendengar sahaja. (Riwayat al-Tirmizi. Kata al-Tirmizi: Hadis ini Hasan Sahih)

Keterangan: Antara kelebihan orang yang menyampaikan ilmu adalah dia akan lebih faham dan mahir ilmu itu berbanding orang yang mempelajarinya sahaja.

Hadis 7: Tanda Akhir Zaman

إنَّ اللهَ لَا يَقْبِضُ العِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزعهُ مِنَ النَّاسِ، وَلكِنْ يَقْبِضُ العِلْمَ بِقَبْضِ العُلَمَاءِ، حَتَّى إِذَا لَمْ يُبْقِ عَالِمًا، اتَّخَذَ النَّاسُ رُؤُوسًا جُهَّالًا، فَسُئِلُوا فَأفْتوا بِغَيْرِ عِلْمٍ، فَضَلُّوا وَأضَلُّوا 

Maksudnya: Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu di dunia ini dengan menghilangkannya dari manusia, akan tetapi Allah mencabut ilmu dengan mencabut nyawa mereka yang berilmu, sehingga tiada lagi orang yang berilmu, manusia mengambil pemimpin yang jahil, lalu mereka para pemimpin jahil itu ditanya dan memberi fatwa tanpa landasan ilmu, maka sesungguhnya dia sesat lagi menyesatkan. (Disepakati riwayatnya oleh al-Bukhari dan Muslim)

Keterangan: Antara tanda akhir zaman adalah apabila orang ramai mengangkat orang jahil sebagai ikutan. Ini kerana pada masa itu orang-orang yang berilmu telah menghadap Allah swt.

Hadis 8: Usaha untuk Menuntut Ilmu

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَمَا هُوَ جَالِسٌ فِي الْمَسْجِدِ وَالنَّاسُ مَعَهُ، إِذْ أَقْبَلَ ثَلَاثَةُ نَفَرٍ، فَأَقْبَلَ اثْنَانِ إِلَى رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَذَهَبَ وَاحِدٌ، قَالَ: فَوَقَفَا عَلَى رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَمَّا أَحَدُهُمَا: فَرَأَى فُرْجَةً فِي الْحَلْقَةِ فَجَلَسَ فِيهَا، وَأَمَّا الْآخَرُ: فَجَلَسَ خَلْفَهُمْ، وَأَمَّا الثَّالِثُ: فَأَدْبَرَ ذَاهِبًا. فَلَمَّا فَرَغَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: أَلَا أُخْبِرُكُمْ عَنِ النَّفَرِ الثَّلَاثَةِ؟ أَمَّا أَحَدُهُمْ فَأَوَى إِلَى اللهِ فَآوَاهُ اللهُ، وَأَمَّا الْآخَرُ فَاسْتَحْيَا فَاسْتَحْيَا اللهُ مِنْهُ، وَأَمَّا الْآخَرُ فَأَعْرَضَ فَأَعْرَضَ اللهُ عَنْهُ

Maksudnya: Ketika mana Rasulullah SAW sedang duduk di dalam masjid dan para sahabat bersama dengannya, datang tiga orang individu, dua daripadanya menghadap Baginda SAW dan seorang lagi berlalu pergi. Dua orang tersebut berdiri seketika, kemudian salah seorang darinya mendapati tempat yang kosong lalu dia duduk di situ, manakala orang yang kedua duduk di belakang majlis baginda SAW, individu yang ketiga pula pergi meninggalkan majlis. Ketika Rasulullah beredar dari majlis tersebut, maka bersabda Baginda SAW: adakah kalian mahu aku beritahu sesuatu tentang tiga individu itu? Individu pertama adalah orang yang mendekatkan diri kepada Allah maka Allah mendekatkan dia kepadanya. Yang kedua pula adalah orang yang malu maka Allah malu kepadanya. Manakala yang ketiga berpaling dari Allah maka Allah berpaling darinya. (Disepakati riwayatnya oleh al-Bukhari dan Muslim)

Keterangan: Hadis ini memberitahu bahawasanya perlunya ada usaha untuk menuntut ilmu walaupun terdapat ramai orang di majlis tersebut. Sehingga mana Nabi SAW mengisyaratkan bahawa orang yang berlalu pergi itu adalah orang yang berpaling dari Allah SWT.

Hadis 9: Perbezaan Dua orang yang Menuntut Ilmu

مَثَلُ مَا بَعَثَنِي اللهُ بِهِ مِنَ الْهُدَى وَالْعِلْمِ كَمَثَلِ الْغَيْثِ الْكَثِيرِ أَصَابَ أَرْضًا، فَكَانَ مِنْهَا نَقِيَّةٌ، قَبِلَتِ الْمَاءَ، فَأَنْبَتَتِ الْكَلَأَ وَالْعُشْبَ الْكَثِيرَ، وَكَانَتْ مِنْهَا أَجَادِبُ، أَمْسَكَتِ الْمَاءَ، فَنَفَعَ اللهُ بِهَا النَّاسَ، فَشَرِبُوا وَسَقَوْا وَزَرَعُوا، وَأَصَابَتْ مِنْهَا طَائِفَةً أُخْرَى، إِنَّمَا هِيَ قِيعَانٌ، لَا تُمْسِكُ مَاءً، وَلَا تُنْبِتُ كَلَأً، فَذَلِكَ مَثَلُ مَنْ فَقُهَ فِي دِينِ اللهِ، وَنَفَعَهُ مَا بَعَثَنِي اللهُ بِهِ، فَعَلِمَ وَعَلَّمَ، وَمَثَلُ مَنْ لَمْ يَرْفَعْ بِذَلِكَ رَأْسًا، وَلَمْ يَقْبَلْ هُدَى اللهِ الَّذِي أُرْسِلْتُ بِهِ

Maksudnya: Diumpamakan petunjuk dan ilmu yang diutuskan oleh Allah seperti hujan yang lebat yang membasahi tanah. Ada diantara tanah itu yang dapat menyerap air sehingga dapat menumbuhkan tumbuh-tumbuhan dan rumput yang banyak. Dan ada diantara tanah itu yang keras lalu menadah air sehingga dapat diambil manfaat air itu oleh manusia, memberi minum ternakan dan menyiram tanaman. Dan ada juga tanah yang berbentuk lembah yang tidak dapat menadah air dan tidak dapat menumbuhkan tanaman. Perumpamaan itu adalah seperti orang yang faham agama Allah dan dapat memanfaatkan apa yang Allah utuskan, dengan mempelajarinya dan mengajarkannya. Juga perumpamaan orang yang tidak diangkat kedudukannya dan tidak menerima hidayah Allah. (Disepakati riwayatnya oleh al-Bukhari dan Muslim)

Keterangan: Nabi memberi perbezaan di antara 2 yang mempelajari sesuatu ilmu. Seorang itu dapat memberikan manfaat daripada ilmu itu kepada orang lain. Manakala lagi seorang tidak diangkat kedudukannya dan tidak menerima hidayah daripada Allah

Hadis 10:

وَإِنَّ أَبَا هُرَيْرَةَ كَانَ يَلْزَمُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِشِبَعِ بَطْنِهِ، وَيَحْضُرُ مَا لَا يَحْضُرُونَ، وَيَحْفَظُ مَا لَا يَحْفَظُونَ

Maksudnya: Sesungguhnya Abu Hurairah telah melazimi Rasulullah SAW dalam keadann perutnya lapar, dia hadir malis Baginda ketika yang lain tidak hadir, dan dia menghafaz apa yang sahabat lain tidak hafaz. (Riwayat al-Bukhari)

Keterangan: suatu pengajaran bagi kita apabila melihat semangat menuntut ilmu dari seorang sahabat Nabi SAW. Dalam apa keadaan sekalipun sanggup menunggu kehadiran Baginda SAW demi sebuah hadis.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

five × five =