Apakah kelebihan surah Ali-Imran yang perlu anda tahu dan kepentingannya dalam kehidupan manusia? Artikel pada kali ini akan berkongsi secara mendalam aspek-aspek yang ditekankan dalam Surah Ali-Imran dan kelebihan yang ada padanya namun tidak ramai orang tahu.
Apakah surah Ali-Imran?
Surah Ali-Imran mengandungi 200 ayat yang diturunkan di Madinah. Di dalam surah ini banyak diceritakan kisah mengenai keluarga Imran kerana itu nama surah ini diambil sebagai “Ali-Imran”.
Selain itu, ia turut menceritakan mengenai sejarah kelahiran Nabi Isa AS, persamaannya dengan Nabi Adam AS, kenabian dan beberapa mukjizatnya, serta disebutkan tentang kelahiran Maryam iaitu puteri kepada Imran, ibunda kepada Nabi Isa AS.
Nama lain bagi surah Ali-Imran adalah “Az-Zahrawaani” yang beerti dua yang cemerlang. Ini sama juga dengan nama yang diberikan kepada surah Al-Baqarah.
Abu Umamah RA berkata: “Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bacalah Al-Quran. Sesungguhnya ia akan memberi syafaat kepada pembacanya pada hari kiamat kelak.
“Dan bacalah Al-Zahrawain iaitu surah Al-Baqarah dan Ali-Imran. Kedua-duanya akan datang pada hari kiamat bagai tompokan awan atau benda yang menaugi atau dua kelompok burung yang mengembangkan sayapnya. Kedua-duanya akan membela pembacanya pada hari kiamat.” – (Hadis Riwayat Ahmad)
Hal ini disebabkan pada kedua-duanya terdapat banyak perkara yang disembunyikan oleh para Ahli Kitab. Contohnya seperti kejadian dan kelahiran Nabi Isa AS, kedatangan Nabi Muhamamd SAW, perang Uhud dan Badar, penjelasan tentang keimanan, hukum-hukum syariat dan sebagainya.
Inti sari surah Ali-Imran
Secara khususnya, surah Ali-Imran terbahagi kepada dua bahagian yang jelas:
- Ayat 1 – 92: bahagian pertama dan ia memperkatakan tentang tauhid dan risalah.
- Ayat 93 – 200: bahagian kedua dan ia mengandungi dalil-dalil tauhid serta jihad dan infak.
Kelebihan Surah Ali-Imran
Manfaat dan kelebihan surah Ali-Imran ini kebanyakkannya di ambil oleh perkongsian dari pelbagai orang yang telah mengamalkannya. Antara kelebihan yang dimaksudkan itu adalah:
1. Disegerakan membayar hutang
Ayat 26 dan 27 surah Ali-Imran merupakan amalan yang pernah diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada Saidina Muaz Bin Jabal RA untuk melunaskan hutang-hutang yang pernah ditanggungnya. Muaz adalah seorang sahabat Rasulullah SAW dan dikenali sebagai tokoh dalam kalangan Ansar yang turut serta dalam bai’ah Perjanjian Aqabah.
Menurut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al- Tabrani dengan sanad yang jayyid dalam Bab Doa, Muaz RA pernah mengadu kepada Nabi SAW tentang hutangnya kepada seorang Yahudi.
Nabi SAW lantas mengajarnya membaca ayat tersebut. Dipetik dari buku 101 Doa Para Nabi & Rasul Dalam Al-Quran Khasiat dan Kaifiat Beramal, Ustaz Hj Zahazan Mohamed berkata:
“Amalkan membaca ayat ini sebelum tidur. Mudah-mudahan mendapat jalan untuk menyelesaikan bebanan hutang.” – (Al Durrul Manthur, tafsir ayat 26-27, surah Ali-Imran)
2. Merawat rasa rindu dan cemburu
Bagi pasangan suami isteri, rasa rindu dan cemburu dalam rumah tangga pastinya wujud kerana setiap orang diuji dengan ujian yang berbeza-beza.
Membaca surah Ali-Imran ayat 41 iaitu “Ayatul Mahabbah” jika diamalkan ayat ini setiap hari selepas menunaikan solat fardhu boleh merapatkan hubungan dan menimbulkan kasih sayang antara suami isteri, anak-anak, kaum kerabat, jiran-jiran, rakan-rakan, orang bawahan, dan sebagainya.
3. Amalan Rasulullah sebelum tidur
Daripada Ibnu Abbas radliyallahu anhuma, bahawa ia telah mengkhabarkan bahawa dia pernah bermalam di rumah Maimunah isteri Nabi SAW (ibu saudaranya). Dia berkata, “Lalu aku tidur dengan meletakkan kepala di tepi bantal, sementara Rasulullah SAW dan isterinya berada di tengah-tengah bantal. Kemudian Rasulullah SAW tidur hingga ketika tengah malam (atau sebelum tengah malam kurang sedikit atau setelah tengah malam lewat sedikit).
اسْتَيْقَظَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه و سلم فَجَلَسَ يَمْسَحُ النَّوْمَ عَنْ وَجْهِهِ بَيَدِهِ ثُمَّ قَرَأَ اَلْعَشْرَ اْلآيَاتِ اْلخَوَاتِمَ مِنْ سُوْرَةِ آلِ عَمْرَانَ
Rasulullah SAW bangun lalu duduk sambil mengusap bekas kesan tidur daripada mukanya dengan tangannya. Kemudian membaca 10 ayat terakhir daripada surah Ali Imran sehingga selesai.” – (Hadis Riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud dan Ibnu Majah)
4. Menjadi syafaat di akhirat kelak
Nabi Muhammad SAW sangat menggalakkan umatnya untuk membaca Al-Quran kerana kelak ia akan menjadi syafaat kepada pembacanya pada hari kiamat.
Berdasarkan daripada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Umamah al-Bahili RA, katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
“Bacalah bait Al-Quran karena sesungguhnya pada hari kiamat nanti akan datang memberikan syafaat yang baik kepada pembacanya.” – (Hadis Riwayat Muslim)
5. Ganjaran pahala bagi setiap huruf
Daripada Ibnu Mas’ud RA ia berkata: “Barangsiapa yang membaca satu huruf daripada Al-Quran maka baginya satu kebaikan, satu kebaikan menyamai dengan sepuluh pahala, aku tidak bermaksud: Alif, Lam, Mim ialah satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.” – (Hadis Ibnu Mas’ud ini direkodkan oleh Ad-Darimi Tirmizi dalam Sunan Tirmizi, Kitab Abwab Fadhail Al-Quran, No hadis 2910, status hadis ini hasan sahih).
6. Mendapat pahala kebaikan
Setiap baris perkataan dan ayat dalam Al-Quran memberikan kita pahala dari setiap hurufnya. Bayangkan surah yang mempunyai 20 ayat ini, berapa hurufkah yang ada? Lantas berapa banyak pahala yang kita boleh peroleh?
7. Mendapat rahmat dan lindungan daripada malaikat
Para malaikat juga akan memberikan perlindungan daripada segala kejahatan yang dapat dilihat mahupun tidak kepada orang-orang yang membaca kitab Al-Quran.
8. Diberikan keteguhan hati
Surat Ali-Imran ayat 8 sangat sinonim menjadi doa minta diberi keteguhan hati. Allah SWT berfirman dalam ayat tersebut maksudnya:
رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوْبَنَا بَعْدَ اِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَّدُنْكَ رَحْمَةً ۚاِنَّكَ اَنْتَ الْوَهَّابُ
“(Mereka berdoa), “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau condongkan hati kami kepada kesesatan setelah Engkau berikan petunjuk kepada kami, dan karuniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Mu, sesungguhnya Engkau Maha Pemberi.”
9. Membentuk diri dengan sifat sabar
Allah SWT berfirman dalam surah Ali-Imran, ayat 200:
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu (lebih daripada kesabran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu Berjaya (mencapai kemenangan).”
Sabar dalam pelbagai konteks termasuklah sabar dalam mentaati perintah Allah, sabar dalam meninggalkan maksiat, dan sabar menerima ketentuan serta ujian Allah.
10. Perlindungan pada hari kiamat
Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bermaksud:
“Rasulullah SAW bersabda: “Bacalah Az-Zahrawayni (yakni) bacalah Surah Al Baqarah dan Surah Ali Imran, karena sesungguhnya kedua surah tersebut akan mendatangi kalian pada hari kiamat seperti dua buah awan yang menaungi.” (Diriwayatkan dari Abu Hurairah)
Ini jelas kerana Al-Quran itu sendiri adalah syafaat yang diberikan kepada mereka yang terpilih pada hari kiamat kelak.
Diharapkan artikel berkenaan dengan kelebihan Surah Ali-Imran ini dapat memberikan anda informasi yang bermanfaat dan ilmu pengetahuan yang berguna.
Rujukan
- Dua Intisari Ajaran Islam Dalam Surah Ali-Imran. Bincang Syariah
- Surah Ali Imran. Celik Tafsir
- 101 Doa Para Nabi & Rasul Dalam Al-Quran Khasiat dan Kaifiat Berama, Ustaz Hj Zahazan Mohamed. Telaga Biru