Skip to content

Hadis Perintah dan Larangan Allah – Hadis 40

hadis larangan dan perintah allah

Artikel ini membincangkan hadis ke 9 dari 40 hadis Arbain Imam Nawawi. Ia merupakan hadis yang amat penting kerana ia mengandungi faedah yang jelas. Ia merupakan asas Islam yang utama iaitu menjauhi larangan Rasul SAW serta mematuhi suruhannya. Ini adalah perkara yang menjadi hakikat dalam pengajaran agama.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ صَخْرٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: سَمِعْت رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه و سلم يَقُولُ: “مَا نَهَيْتُكُمْ عَنْهُ فَاجْتَنِبُوهُ، وَمَا أَمَرْتُكُمْ بِهِ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ، فَإِنَّمَا أَهْلَكَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ كَثْرَةُ مَسَائِلِهِمْ وَاخْتِلَافُهُمْ عَلَى أَنْبِيَائِهِمْ “.[رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ وَمُسْلِمٌ]

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah Abdul Rahman bin Sokhr RA. Katanya : Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “ Sesuatu yang aku larang kamu melakukannya maka hendaklah kamu jauhinya, dan apa yang aku perintahkan kepada kamu maka hendaklah kamu lakukan sekadar kemampuan. Sesungguhnya telah binasalah kaum sebelum kamu lantaran banyak bertanya dan mereka menyalahi para nabi”.

Sebab Hadis Dilafazkan

Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Muslim dalam sohihnya: “Daripada Abu Hurairah RA, kata beliau Rasulullah SAW berucap kepada kami:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: «خَطَبَنَا رَسُولُ اللَّهِ ﷺ فَقَالَ: يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ فَرَضَ اللَّهُ عَلَيْكُمْ الْحَجَّ فَحُجُّوا، فَقَالَ رَجُلٌ: أَكَلَّ عَامٍ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ فَسَكَتَ حَتَّى قَالَهَا ثَلَاثًا، فَقَالَ النَّبِيُّ ﷺ: لَوْ قُلْتُ نَعَمْ لَوَجَبَتْ وَلَمَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya : Wahai manusia, sesungguhnya Allah telah memfardukan ke atas kamu Haji, maka hendaklah kamu mengerjakannya, “ lantas seorang lelaki mencelah :  Apakah ianya setiap tahun wahai Rasulullah SAW ? Baginda diam sehingga lelaki tersebut mengulanginya sebanyak tiga kali, lalu Rasulullah SAW menjawab: “Kalau aku mengatakan ya nescaya wajiblah ia, dan kamu sekali-kali tidak akan mampu melaksanakannya.”

Berdasarkan riwayat, sahabat yang bertanya ialah Al Aqra bin Habis RA.

Perkara Larangan dan Suruhan Rasulullah SAW

Rasulullah SAW bersabda iaitu “Apa yang aku tegahkan kamu daripadanya maka hendaklah kamu menjauhi”

Ini menunjukkan bahawa apa-apa perkara yang dilarang, iaitu semua perkara yang haram dari pelbagai bentuk maksiat dan kejahatan, sama ada yang berhubung dengan diri dan masyarakat  hendaklah dijauhi. Kesemua larangan Rasulullah SAW adalah larangan Allah, dan disebalik setiap terdapat hikmahnya yang tersembunyi.

Larangan agama ialah larangan Allah dan RasulNya, larangan ini tidak terhad kepada agama sahaja seperti jangan meninggal ibadat dan taat kepada Allah. Namun ia juga mencakupi pelbagai aspek kehidupan seperti peibadi, harta dan masyarakat.

  • Peribadi – Kita dilarang sama sekali untuk minum apa-apa minuman yang memabukkan dan membunuh diri
  • Harta benda – Kita dilarang untuk mencuri dan membinasakan wang ringgit.
  • Masyarakat – Kita dilarang melakukan sesuatu yang menyebabkan permusuhan dan pergaduhan antara ahli masyarakat.

Demikianlah segala larangan itu ditegah oleh RasulullahSAW dan diwajibkan ke atas orang islam untuk menghormati sepenuh larangan tersebut.

Kemudian Rasulullah SAW menyatakan: “Apa yang aku perintahkan kepada, kamu maka hendaklah kamu lakukannya sekadar kemampuan”

Ini bererti setiap perkara yang diperintahkan hendaklah dikerjakan mengikut kemampuan diri, sesuai dengan kekuatan yang ada. Kita seharusnya tidak membantah dengan alasan yang bermacam-macam, tetapi sebaliknya kita menghormati dan berusaha untuk melaksanakan secara bersungguh-sungguh mengikut kemampuan diri. Firman Allah SWT dalam surah at-Taghabun ayat 16.

فَاتَّقُوا اللّٰهَ مَا اسۡتَطَعۡتُمۡ

Maksudnya: “Maka bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya upaya kamu

 Firman Allah lagi dalam surah al-Baqarah ayat 286

لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ

 Maksudnya: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya”

Oleh itu, takwa kepada Allah dan mengikut perintahNya, perintah Rasul-Nya adalah mengikut kemampuan diri sesuai dengan petunjuk dari ajaran agama.

Sebab-Sebab Kehancuran Umat

Sesungguhnya Rasulullah SAW telah menjelaskan bahawa di antara sebab kebinasaan umat ialah banyak bertanya dan berselisih pada beberapa perkara serta tidak beriltizam dengan syariat Allah. Apabila berlakunya perpecahan dalam kalangan umat, hilangnya kekuatan dan kadang-kadang melayakkan mereka menerima azab daripada Allah.

Dalam al-Quran ada diceritakan tentang umat terdahulu, antaranya ada yang meminta penjelasan atas sesuatu perintah, dan mereka tidak melakukan perintah itu selagi belum diberi penjelasan.  

Ini berlaku pada kisah lembu betina yang diperintahkan kepada Bani Israil untuk disembelih kerana suatu sebab yang tertentu. Menurut asal perintah, mereka boleh sembelih mana-mana lembu yang mereka kehendaki, tetapi mereka tidak mahu menurut perintah itu begitu saja, malahan mereka minta penjelasan tentang umurnya, warnanya dan hal keadaannya, sehingga menyusahkan mereka diri sendiri kerana lembu yang dikehendaki tidak mudah didapati.

Terdapat beberapa jenis pertanyaan antaranya:

  1. Pertanyaan orang yang tidak tahu tentang kewajipan agama, seperti berwuduk, sembahyang dan lain-lain.  Hukumnya wajib diketahui dan dipelajari untuk diamalkan
  2. Pertanyaan orang yang hendak menambahkan kefahaman dalam suatu masalah agama seperti jual beli, sewa menyewa dan lain-lain
  3. Pertanyaan dalam perkara yang tidak difardhukan oleh Allah, seperti yang dimaksudkan oleh hadis ini. Hal ini kerana pertanyaan seperti ini hanya mendatangkan kesukaran. Nabi Muhammad SAW pernah menyatakan bahawa: “Sesuatu yang didiamkan adalah rahmat untuk kamu maka janganlah bertanyakannya”

Firman Allah Dalam surah al-Maidah ayat 101

يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا لَا تَسْـَٔلُوْا عَنْ اَشْيَاۤءَ اِنْ تُبْدَ لَكُمْ تَسُؤْكُمْ ۚ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menanyakan (kepada Nabimu) hal-hal yang jika diterangkan kepadamu menyusahkan kamu”

Kesimpulan

Hadis ini menunjukkan tuntutan supaya meninggalkan apa yang ditegah dan mengerjakan apa yang diperintahkan mengikut kadar kemampuan seseorang. Selain itu, hadis ini juga menunjukkan larangan banyak pertanyaan atau menimbulkan masalah-masalah yang sukar difahami kadang-kadang menyulitkan hukum agama.

Diriwayatkan daripada Tsauban bahawa Nabi SAW bersabda:

 “Akan ada di kalangan umatku beberapa puak yang menyusahkan ulama mereka dengan persoalan-persoalan yang sukar, mereka Itulah seburuk-buruk manusia di kalangan umatku”

 Al-Hasan pernah berkata: “seburuk-buruk hamba Allah ialah orang yang mencari persoalan-persoalan yang buruk untuk menyusahkan hamba Allah”

Oleh itu, kita haruslah jelas mengapa pertanyaan itu mahu dilontarkan, samada untuk mendapat kefaham atau menyulitkan diri sendiri. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

14 − eleven =