Skip to content

7 Nama Syurga dan Tingkatan Syurga

nama syurga dan tingkatan

Apakah nama syurga dan tingkatnya? Artikel ini akan membincangkan tentang nama-nama syurga dan kedudukannya.

Pendahuluan

Allah S.W.T. telah mencipta syurga dan neraka. Syurga menjadi tempat tinggal kekal bagi orang-orang yang beriman manakala neraka menjadi tempat hukuman syaitan, orang-orang kafir dan jin yang kufur. Syurga merupakan tempat tinggal dan perhentian terakhir yang amat indah yang kekal abadi buat selama-lamanya. Hadis Rasulullah S.A.W. banyak menceritakan tentang syurga yang dikira bersifat Mutawatir oleh ulama ahli al-Sunnah. Bahasa Inggeris panggil syurga sebagai “paradise”. Dalam bahasa Arab, “Jannah” bererti syurga. Namun, tidak mudah untuk memasuki syurga Allah kerana pelbagai ujian dan dugaan hidup di muka bumi perlu dilepasi untuk merebut peluang menghuni syurga-syurga yang telah dijanjikan. Segala janji Allah itu pasti dan benar.

Ibn Kathir menjelaskan, setiap orang yang bertakwa akan menuju ke syurga bersama-sama dengan kelompok mereka seperti nabi bersama nabi, golongan syuhada bersama kumpulan syuhada, golongan ulama bersama kumpulan ulama, orang yang jujur bersama orang yang jujur dan begitulah seterusnya. Setiap orang dikumpulkan sesuai dengan kumpulan mereka.Rasulullah SAW adalah orang yang pertama sekali memasuki syurga. Selepas Rasulullah S.A.W. memasukinya, barulah kumpulan lain memasukinya mengikut pintu syurga yang ditentukan berdasarkan amalan masing-masing.

Tujuh (7) Nama dan Tingkat Syurga Beserta Penghuninya

Segala ciptaan termasuklah nama Allah adalah dalam bilangan nombor ganjil. Syurga juga mempunyai tingkat dan penghuni yang berbeza sama seperti pangkat, bermula dari tingkat tertinggi hinggalah tingkat yang terendah. Terdapat tujuh (7) nama syurga yang disebut di dalam al-Quran iaitu :

1. Syurga Firdaus

Syurga Firdaus dicipta oleh Allah dari emas yang merah. Dari syurga inilah mengalirnya sungai-sungai syurga. Syurga Firdaus ialah syurga paling masyhur yang mempunyai darjat tertinggi di antara syurga-syurga yang lain. Sebagaimana firman Allah S.W.T. yang bermaksud : “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, disediakan bagi mereka syurga Firdaus sebagai tempat tetamu (yang serba mewah)”. (Surah al-Kahfi, ayat 107)

Ciri-ciri penghuni Syurga Firdaus adalah :

  • Para syuhada’ yang mati syahid kerana berjuang ke jalan Allah, para nabi dan rasul
  • Orang yang membayar zakat
  • Orang yang memelihara amanah-amanah (yang dipikulnya) dan janjinya
  • Orang yang memelihara solat
  • Orang yang berpaling dari pekerjaan yang sia-sia
  • Orang yang menjaga kemaluannya, kecuali terhadap isteri-isteri mereka

2. Syurga Ma’wa

Syurga Ma’wa dicipta oleh Allah dari zamrud hijau. Sebagaimana firman Allah S.W.T. yang bermaksud : “Yang di sisinya terletak syurga al-Ma’wa”. (Surah al-Najm, ayat 15)

Ciri-ciri penghuni Syurga Ma’wa adalah :

  • Orang yang bertakwa kepada Allah S.W.T.
  • Orang yang benar-benar beriman dan beramal soleh
  • Orang yang takut kepada kebesaran Allah S.W.T. dan menahan diri dari menuruti hawa nafsu

3. Syurga ‘Adn

Syurga ‘Adn dicipta oleh Allah dari mutiara putih. Sebab itulah bahasa Inggeris sebut perkataan “Eden” yang maksudnya merujuk kepada “Taman Yang Cantik”. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud : “(Untuk mereka) syurga ‘And, yang mereka akan memasukinya, yang mengalir padanya beberapa sungai”. (Surah al-Nahl, ayat 31)

Ciri-ciri penghuni Syurga ‘Adn adalah :

  • Orang yang beriman dan beramal soleh
  • Orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Allah berikan kepada mereka secara bersembunyi atau terang-terangan serta menolak kejahatan dengan kebaikan
  • Orang yang bertaubat, beriman dan beramal soleh
  • Orang yang benar-benar bertakwa
  • Orang yang membalas kejahatan dengan kebaikan

4. Syurga Khuldi

Syurga Khuldi dicipta oleh Allah S.W.T. dari marjan merah dan kuning. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud : “Bertanyalah (kepada mereka) : Adakah (azab seksa neraka) yang demikian itu lebih baik atau syurga yang kekal, yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertaqwa?” (Surah al-Furqan, ayat 15)

Ciri-ciri penghuni Khuldi adalah :

  • Orang yang taat menjalankan perintah Allah dan menjauhi segala laranganNya

5. Syurga Na’im

Syurga Na’im dicipta oleh Allah S.W.T. dari perak putih. Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud : “Dan jadikanlah daku dari orang-orang yang mewarisi syurga al-Na’im”. (Surah al-Syu’ra , ayat 85)

Ciri-ciri penghuni Syurga Na’im adalah :

  • Orang yang beriman dan beramal soleh
  • Orang yang bertakwa

6. Syurga Dar al-Salam

Syurga Dar al-Salam dicipta oleh Allah dari yakut merah iaitu sejenis permata yang mahal. Perkataan “Dar al-Salam” bererti tempat yang penuh dengan kedamaian dan keselamatan, iaitu di rumah Allah dan juga merupakan salah satu dari 99 nama Allah. Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud : “Bagi merekalah syurga Dar al-Salam (tempat tinggal yang aman sejahtera) di sisi Tuhan mereka, dan Dialah Penolong mereka, disebabkan amal-amal (yang baik) yang mereka telah kerjakan.” (Surah al-An’am, ayat 127)

Ciri-ciri penghuni Syurga Dar al-Salam adalah :

  • Orang yang kuat iman dan Islamnya
  • Orang yang memerhatikan ayat-ayat al-Quran dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian kerana Allah S.W.T.

7. Syurga Dar al-Qarar

Syurga Dar al-Qarar diciptakan oleh Allah S.W.T. dari permata putih. Dinamakan Dar al-Qarar kerana orang-orangnya tidak mati dan akan tinggal di dalamnya buat selama-lamanya sebagaimana firman Allah S.W.T. yang bermaksud : “Wahai kaumku! Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (untuk sementara waktu sahaja), dan sesungguhnya hari Akhirat itu sahaja negeri yang kekal”. (Surah al-Mu’min, ayat 39)

Ciri-ciri penghuni syurga Dar al-Qarar adalah :

  • Penghuninya adalah orang-orang yang banyak melakukan kebaikan dan jarang berbuat kesilapan.

***Ada lapan (8) pintu syurga.Di syurga kelak ada satu pintu khas hanya untuk orang-orang yang berpuasa sahaja dapat memasukinya iaitu Pintu ar-Rayyan.

Apa yang ada di dalam syurga?

Antara sifat ahli syurga atau mereka yang dapat masuk syurga ialah orang yang bertaqwa, orang yang baik-baik, orang yang benar dan orang yang taat. Di dalam syurga, nikmatnya tidak terhingga, sehingga digambarkan kenikmatannya adalah sesuatu yang belum pernah terlihat oleh mata, belum pernah terdengar oleh telinga dan tidak pernah juga terlintas dalam fikiran manusia. Disebutkan di dalam kitab “KASYFUL GHAIBIAH” yang ditulis oleh Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad Al-Fathani menerangkan keadaan syurga dan penduduknya kelak, Ibnu Abbas berkata : Jarak antara tingkat syurga di antara satu sama lain diterangkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abi Said Al-Khudri : “Syurga itu terdiri dari seratus tingkat. Antara tingkat satu dengan yang lainnya berjarak seperti antara Bumi dan langit. Dan tingkat tertinggi adalah syurga Firdaus.”

Di dalam al-Quran, Allah menyifatkan syurga dengan beberapa keadaan seperti firmanNya : “Di dalamnya ada sungai-sungai daripada air yang tidak berubah rasa dan baunya, sungai-sungai daripada susu yang tidak berubah rasanya, sungai-sungai daripada khamar yang lazat rasanya bagi peminumnya dan sungai-sungai daripada madu yang disaring dan mereka di dalamnya memperoleh segala macam buah-buahan.” (Surah Muhammad, ayat 15)

Malah, penghuni syurga diberikan oleh Allah rumah yang diperbuat daripada mutiara dan ruangnya amat luas tidak terhingga. Penduduk syurga akan mendapat makanan dan minuman tanpa sebarang kesusahan. Rezeki akan datang sedang mereka duduk-duduk saja. Di dalam syurga terdapat banyak pohon kurma dan anggur. Batang pokok syurga diperbuat dari emas. Para penghuni syurga masing-masing mempunyai pelayan-pelayan yang tidak pernah berubah kerana perjalanan masa. Walaupun telah bertahun-tahun mereka hidup di syurga, mereka tetap muda dan bercahaya seperti mutiara yang bertaburan. Para pelayan itu berjalan-jalan mengelilingi penghuni syurga sambil membawa gelas-gelas perak berisi air, susu, arak atau madu yang berasal dari sungai-sungai yang sangat bersih dalam syurga. Bidadari syurga adalah makhluk yang sangat indah yang telah Allah ciptakan untuk hamba-hambaNya yang soleh dan berbuat kebaikan ketika di dunia. Para bidadari menjadi peneman dan pasangan setiap penghuni syurga.

Penutup

Pintu-pintu syurga sentiasa terbuka luas bagi orang-orang yang bertaubat seperti taubat nasuha. Buat amal kebajikan dengan penuh kesabaran di dunia untuk mendapatkan balasan dan nikmat syurga. Tinggalkan perkara yang dilarang oleh Allah dan lakukan perkara yang dituntut oleh agama Islam. Sentiasa berdoa memohon kepada Allah agar diri kita serta keluarga menjadi antara orang-orang yang terpilih mendapat tempat di syurga. Ganjaran terbesar adalah penghuni syurga dapat menemui Allah S.W.T. Semoga kita berusaha untuk mengejar ganjaran akhirat yang menanti serta sentiasa mengharapkan keredhaan dari Allah. 

Diharapkan artikel nama-nama syurga dan tingkatannya ini dapat memberi maklumat kepada para pembaca.

Artikel Berkaitan: Nama Neraka dan Tingkatannya

Sumber rujukan

  1. Dr. Ab. Latif Muda dan Dr. Rosmawati Ali @ Mat Zin. (2015). Rujukan pengajian
  2. Islam : Perbahasan akidah Islam. Pustaka Salam Sdn. Bhd., 369-375.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

four × 3 =