Kisah Nabi Musa membelah laut merupakan salah satu kisah yang besar dimana ia menunjukkan mukjizat yang Allah SWT kurniakan kepada nabi Musa.
Di dalam artikel ini, kami akan mengupas sedikit sebanyak berkenaan mukjizat Nabi Musa dalam membelah laut berserta tentera firaun yang ditenggelamkan dalam laut.
Kejayaan-kejayaan Nabi Musa dalam pertembungannya dengan Firaun pada peristiwa tukang sihir dan doa kemarau telah menyebabkan begitu ramai manusia yang menyambut dakwahnya.
Ini menyebabkan Firaun menjadi sangat rimas, dan risau akan kebangkitan perjuangan Nabi Musa. Setelah itulah berlakunya kisah yang sangat popular di dalam Alquran, iaitu kisah Nabi Musa membelah laut menggunakan tongkatnya.
Firaun Mengumpul Tentera
Firaun, apabila mengetahui mengenai berjayanya Musa di dalam dakwahnya, telah menggerakkan usaha untuk menghalang Musa dan membunuhnya. Dia telah mengumpulkan satu pasukan tertera khas, dan digabung bersama tentera Mesir untuk melawan Musa.
Nabi Musa Mendapat Wahyu
Sebelum kedatangan Firaun, Nabi Musa telah terlebih dahulu diberi wahyu oleh Allah supaya melarikan diri daripada serangan Firaun.
Allah memerintahkan Nabi Musa membawa orang beriman pada waktu malam kerana mereka akan dikejar oleh tentera Firaun.
وَأَوْحَيْنَا إِلَى مُوسَى أَنْ أَسْرِ بِعِبَادِي إِنَّكُم مُّتَّبَعُونَ
Maksudnya: (Allah berfirman): Dan Kami wahyukan kepada Nabi Musa: “Hendaklah engkau membawa hamba-hambaKu (kaummu) keluar pada waktu malam; sesungguhnya kamu akan dikejar (oleh Firaun dan tenteranya)“.(As-Syuara:52)
Mereka melarikan diri, namun berjaya dilihat oleh tentera Firaun.
“Sesungguhnya Mereka Itu Sedikit Sahaja,”
Apabila orang-orang beriman yang bersama Musa, yang hanya merupakan pengembala kambing dan petani-petani melarikan diri, mereka telah berjalan sehingga ke Laut Merah.
Tentera Firaun yang merupakan satu pasukan yang besar jumlahnya mengatakan, “sesungguhnya bilangan orang-orang bersama Musa itu sedikit sahaja, dan sesungguhnya mereka telah melakukan sesuatu yang menimbulkan kemarahan kita.” Padahal Musa dan pengikutnya hanya beriman kepada Allah tanpa apa-apa keinginan lain.
Allah menceritkan dialog mereka di dalam al-Quran
إِنَّ هَؤُلَاء لَشِرْذِمَةٌ قَلِيلُونَ
(Sambil berkata kepada mereka): “Sesungguhnya orang-orang (Musa) itu adalah segolongan kecil,(As-Syuara: 54)
وَإِنَّهُمْ لَنَا لَغَائِظُونَ
“Dan sesungguhnya mereka melakukan perkara yang menyebabkan kita marah;.(As-Syuara: 55)
Mereka mengejar golongan beriman sehingga matahari terbit, dan telah menemui orang-orang beriman itu di Laut Merah.
“Tuhanku Akan Menunjukkan Jalan”
Orang beriman yang melihat hebatnya dan ramainya tentera Firaun menjadi takut. Mereka merasakan mereka akan dikepung dan dibunuh oleh tentera Firaun.
Namun Nabi Musa mententeramkan mereka, dan mengatakan bahawa baginda tetap yakin bahawa Allah pasti akan membantu orang-orang yang beriman.
Ketika itu tentera Firaun sudah mengepung orang beriman dengan begitu hebat, di belakang orang beriman adalah Laut Merah, dan di hadapan mereka adalah tentera Firaun.
Allah berfirman:
فَلَمَّا تَرَاءى الْجَمْعَانِ قَالَ أَصْحَابُ مُوسَى إِنَّا لَمُدْرَكُونَ
Setelah kedua-dua kumpulan itu nampak satu sama lain, berkatalah orang-orang Nabi Musa: “Sesungguhnya kita akan dapat ditawan”.(As-Syuara: 61)
قَالَ كَلَّا إِنَّ مَعِيَ رَبِّي سَيَهْدِينِ
Nabi Musa menjawab: “Tidak! Jangan fikir (akan berlaku yang demikian)! Sesungguhnya aku sentiasa disertai oleh Tuhanku (dengan pemuliharaan dan pertolonganNya), Ia akan menunjuk jalan kepadaku”. (As-Syuara: 62)
Nabi Musa Membelah Laut
Lalu Allah mewahyukan Nabi Musa memukul laut itu dengan tongkat-nya. Dengan serta merta, laut itu terbelah menjadi seperti gunung yang besar bersebelahan, dan muncullah jalan untuk orang beriman menyelamatkan diri mereka.
فَأَوْحَيْنَا إِلَى مُوسَى أَنِ اضْرِب بِّعَصَاكَ الْبَحْرَ فَانفَلَقَ فَكَانَ كُلُّ فِرْقٍ كَالطَّوْدِ الْعَظِيمِ
Lalu Kami wahyukan kepada Nabi Musa: “Pukulah laut itu dengan tongkatmu”. (Setelah dipukul) maka terbelahlah laut itu (kepada beberapa bahagian), lalu menjadilah air tiap-tiap bahagian yang terbelah itu terangkat seperti gunung yang besar.(As-Syuara: 63)
Firaun Dan Tenteranya Ditenggelami
Firaun yang melihat Nabi Musa membelah laut itu tidak pula berhenti dari mengejar orang beriman. Firaun memberikan arahan untuk tenteranya pergi mengejar orang beriman melalui jalan yang dimunculkan setelah terbelahnya laut itu. Dia juga ikut bersama mengejar.
Sehinggalah apabila mereka berada di tengah-tengah jalan itu, maka Allah mengembalikan Laut Merah kepada bentuk asalnya dan menenggelamkan Firaun bersama tenteranya.
Allah berfirman:
ثُمَّ أَغْرَقْنَا الْآخَرِينَ
Kemudian Kami tenggelamkan golongan yang lain (yang mengejarnya).(AS-Syuara: 66)
Taubatnya Firaun Tidak Diterima
Ketika saat ditenggelami itulah, Firaun tiba-tiba sedar bahawa memang sebenarnya Nabi Musa itu membawa kebenaran. Dia mengatakan, “aku beriman pada tuhannya Bani Israel,” namun Allah menolak keimanannya.
Allah mengatakan “apakah sekarang baru kau,ahu beriman?” Dan Allah telah menjaga jasad Firaun supaya menjadi contoh untuk manusia sehingga ke hari ini.
Itulah peristiwa-peristiwa yang sepatutnya menyebabkan Firaun beriman, namun pada setiap peristiwa itulah Firaun telah menolaknya. Semoga Allah menjaga hati kita supaya sentiasa menerima kebenaran-kebenaran wahyuNya ketika hidayahNya hadir.
Pengajaran
Ketika Musa disuruh memukul laut dengan tongkatnya, Nabi Musa melakukannya tanpa banyak mempersoalkan hikmah apa yang ada pada arahan itu.
Begitulah para nabi. Nabi Ibrahim sahaja secara ikhlasnya meletakkan isteri dan anaknya di padang pasir kering kontang dan juga menyembelih anaknya (namun ditukar Allah dengan kibas) apabila Allah mewahyukan kepadanya.
Kita tidaklah sampai kepada arahan-arahan sukar sedemikian. Allah hanya memerintahkan agar kita menjaga amal-amal yang diwajibkan dan memperbanyak amal-amal yang disunatkan dan meninggalkan larangan-larangan agama ini.
Sepatutnya kita cuba mencontohi Nabi Musa dalam menerima arahan Allah, sentiasa taat dengan penuh yakin kepada apa yang Allah akan natijahkan kepadanya.
Rujukan:
Surah Asy- Syuara