Skip to content

20 Barang Keperluan Sekolah Yang Perlu Anak Anda Ada

barang keperluan sekolah

Apakah barang-barang keperluan sekolah yang boleh anda sediakan untuk anak-anak anda? Artikel pada kali ini akan menyenaraikan 20 barang keperluan sekolah bagi memudahkan anda membuat senarai semak dan pembelian dengan lebih efisien.

1. Baju uniform putih

Baju uniform sekolah menjadi perkara utama yang difikirkan ibu bapa. Terdapat bermacam jenama yang dijual dipasaran antaranya Jony & Jeny, Canggih, Falcon, Bijak, Hari-Hari dan bermacam lagi. Walau bagaimana pun ada juga jenama-jenama yang kurang terkenal tetapi mempunyai kualiti yang baik. Anda boleh membuat perbandingan harga, dan meneliti keperluan anak-anak.

Sebelum anda beli, pastikan anda periksa dengan betul material baju agar tidak terlalu tebal mengelakkan anak mudah panas, dan jangan terlalu nipis sehingga tidak menyerap peluh. Jahitan dan kualiti pada baju juga perlu dititikberatkan kerana kadang kala baju akan cepat koyak dan kusam kerana jahitan yang tidak kemas dan kualiti kainnya yang murah. Sebaik-baiknya di dalam melakukan ukuran baju anak, pilih baju yang ukurannya lebih sedikit berbanding saiz asal. Dalam usia seperti ini, anak akan cepat membesar jadi rugi jika baju yang baru dibeli tidak dapat digunakan lagi.

2. Kain / seluar

2 helai seluar atau kain perlu untuk pakaian harian anak-anak di sekolah.  Jenis kain licin memudahkan pergerakan anak dan tahan lama kerana ia menggunakan material kain yang boleh merenggang. Untuk sekolah rendah pula, jenis kain ini belum sesuai untuk dipakai kerana mereka lebih sesuai untuk kain jenis cotton.

3. Stokin

Stokin biasanya dibeli mengikut warna kasut. Jika kasut anda berwarna hitam, maka stokin juga perlu berwarna hitam. Begitu juga sebaliknya. Stokin selain berfungsi menjadi alas pada kaki, mengelakkan kaki dari melecet, dan mengurangkan geseran semasa berjalan.

Ia juga sebenarnya menjadi penyelamat anda sekiranya terbeli saiz kasut yang sedikit besar. Stokin yang tebal boleh mengurangkan kelonggaran pada saiz kasut. Untuk lebih jimat, anda boleh membeli stokin yang sudah dijual dalam bundle per pack kerana harganya lebih murah.

4. Tudung / songkok

Anda disarankan untuk membeli tudung jenis 2 lapis kerana ia lebih tahan lasak dan tidak jarang macam tudung selapis. Tudung selapis sesuai jika anda beli untuk tudung sukan berwarna hitam. Jenis awning lembut tampak lebih kemas apabila dipakai kerana ia mudah dibentuk.

5. Anak tudung

Anak tudung merupakan satu aksesori yang wajib bagi wanita yang memakai tudung. Tanpa anak tudung, rambut akan mudah terlihat dengan jelas dari celah-celah tudung yang dipakai. Tapi anak-anak selalu merungut anak tudung yang dipakainya tidak selesa, dan panas. Dalam hal ini anda perlu titikberatkan soal material. Material yang breathable akan memastikan kulit kepala boleh bernafas, tidak mencengkam, dan elak dari terasa panas atau gatal-gatal.

6. Baju sukan

Dalam seminggu pasti akan ada sehari yang bertembung dengan pembelajaran jasmani di sekolah. Subjek ini boleh berlaku di dalam kelas (pembelajaran teori) dan di padang (praktikal). Anak-anak sudah semestinya akan lebih aktif jika berada di luar bilik darjah kerana di situ mereka bebas untuk bermain dan beriadah.

Anda perlu belikan sekurang-kurangnya 2 helai pakaian sukan yang sesuai untuk mereka, sama ada baju T-shirt atau baju sukan yang telah disediakan oleh pengurusan sekolah sendiri. Ciri-ciri fabrik yang sesuai untuk bersukan perlulah selesa (jenis kapas, micro fibre, dan spendex), material yang cepat kering, ringan, dan bersifat elastik.

7. Seluar tracksuit

Sama seperti baju sukan, anda juga perlu menyedikan 2 helai seluar tracksuit untuk kegunaan riadah anak-anak. Apa jua pakaian yang dipilih untuk bersukan perlulah selesa supaya ia boleh dipakai dalam tempoh masa yang panjang. Anda juga perlu pastikan pakaian tersebut tidak terlalu ketat dan juga tidak terlalu longgar yang mungkin akan mengganggu pergerakan semasa bersukan.

8. Kapur kasut putih / kiwi kasut

Kapur atau kiwi kasut membantu kasut sekolah yang dipakai bertambah menarik dan berkilau.

9. Beg sekolah

Jenis beg pvc akan menambah beban bila dimasukkan buku-buku dan peralatan lain di dalamnya. Jenis beg beroda pula akan menyukarkan anak-anak ketika ingin menaiki tangga kerana sudah tentu mereka terpaksa memikul beg tersebut. Dicadangkan anda untuk membeli beg jenis kain atau padding tali beg yang lebih tebal. Pemilihan beg sangat penting untuk memastikan anak-anak tidak sakit belakang, tahan lasak, dan lebih fleksibal bila digunakan.

10. Bekas makanan

Tips untuk menggalakkan anak membawa bekal di sekolah adalah dengan membelikan bekas makanan yang menarik dan sesuai. Jadi tidak pelik sekiranya banyak jenama terkenal dan karakter kartun di Malaysia atau luar negara menjual set bekas makanan dan minuman di pasaran.

11. Pembalut buku

Pembalut buku diperlukan untuk membalut buku teks, dan buku latihan. Dengan adanya pembalut ini, buku yang digunakan akan tampak lebih kemas dan mengelakkan juga dari kotor atau basah.

12. Alatan tulis

Kelengkapan alatan tulis seperti pensel 2B, pemadam, pembaris, pengasah pensel, gam, gunting, kotak pensel, dan mekanikal pensel perlu anda beli. Anda boleh membeli secara borong atau alatan yang sudah dijual dalam set untuk lebih penjimatan.

13. Jam tangan

Jam bukan menjadi perkara wajib untuk barang keperluan sekolah tetapi ia aksesori bagi semua orang. Namun begitu, jam sangat diperlukan kepada anak untuk mereka terdidik menjadi seorang yang menghargai masa. Mahal atau murah bukan soalnya tetapi sebaiknya anda beli yang berkualiti untuk tahan lebih lama terutamanya apabila jam tersebut dipakai oleh anak-anak.

14. Kalkulator

Lazimnya, kalkulator saintifik digunakan untuk pelajar sekolah menengah untuk subjek matematik dan matematik tambahan. Jenis kalkulator yang digunakan adalah Casio Scientific Calculator fx-350MS atau Casio Scientific Calculator fx-570MS.

15. Buku nota

Buku nota perlu untuk mencatit segala nota yang disampaikan guru-guru di sekolah. Berbeza dengan buku latihan, buku nota tidak akan dihantar untuk disemak oleh guru. Buku ini khusus untuk menambahkan lagi pemahaman anak-anak anda tentang sesuatu subjek. Anda boleh membelikan buku nota untuk anak-anak bagi setiap subjek bagi memudahkan mereka membuat catitan.

16. Hand sanitizer

Anak-anak lebih banyak bergerak dan aktif di sekolah. Dalam usia ini, mereka suka untuk meneroka banyak perkara. Mereka cuba menyentuh itu dan ini tanpa berfikir langsung tentang kebersihan diri. Oleh itu dengan adanya hand sanitizer, kebersihan diri anak-anak akan lebih terjaga. Lebih-lebih lagi hand sanitizer sudah sangat pratikal untuk digantung pada beg berbanding dari disimpan di kocek.

17. Face mask

Sudah semestinya barang ini wajib digunakan sejak norma baru berlaku. Face mask dapat memberikan perlindungan untuk anak anda dalam memerangi Covid-19.

18. Face mask extender

Ini khusus kepada anak-anak perempuan yang memakai tudung. Memang agak sukar untuk memakai face mask jika tiada extender. Anda boleh membeli pelbagai jenis extender di luar sana sama ada jenis material getah atau kain.

19. Alatan mewarna

Alatan mewarna seperti krayon, warna air, pensel warna, berus lukisan, dan kertas warna perlu anda beli. Walaupun begitu, anda tidak perlu membazir untuk membelikan barangan ini serentak. Lihat pada minat dan keperluan anak anda. Sekiranya dia lebih suka menggunakan pensel warna, maka lebih utama membelikannya pensel warna berbanding krayon atau warna air.

20. Kasut sekolah

Semasa membeli kasut sekolah, adalah lebih baik sekiranya anda membawa anak sekali untuk mencubanya sendiri. Selain anda boleh tahu saiz terkini kaki anak yang semakin membesar, anda juga boleh lihat sama ada kasut itu selesa dan sesuai atau tidak di sarungkan dikakinya. Untuk lebih tepat, minta anak-anak sarungkan sekali stokin sebelum memakai kasut itu di kakinya.

Dari perkongsian sederhana ini ada empat tips yang boleh anda pratikkan untuk kekal berjimat iaitu senaraikan barang yang mahu dibeli, tidak semua barang mesti baru, survey harga dari beberapa kedai atau pasaraya, dan tidak perlu membeli barang berjenama terkenal. Di harapkan artikel berkenaan barang keperluan sekolah ini dapat menjadikan anda seorang yang lebih bijak dalam membuat pembelian.

Artikel Berkaitan: Barang Keperluan Asrama yang Perlu Ada

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

one + 4 =