Apakah bacaan-bacaan selawat yang boleh dibaca dan diamalkan? Artikel ini menyenaraikan 10 bacaan selawat yang perlu kita tahu dan sebaiknya kita amalkan
Pengenalan
Dari segi bahasa, perkataan selawat berasal dari bahasa Arab yang mana ia diambil dari rangkai kata solat beerti doa atau pujian. Manakala dari istillah pula, selawat memberi makna mendoakan atau memohon berkat kepada Allah SWT dan melimpahkan rahmat-Nya untuk Nabi SAW dengan ucapan, kenyataan dan pengharapan, semoga baginda (Nabi) sentiasa sejahtera.
Betapa pentingnya selawat sehinggakan Allah SWT beritahu di dalam Al-Quran. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” (Surah Al-Ahzaab, ayat 56)
1. Selawat Ibrahimiyah
Selawat yang dibaca lazimnya ketika tahiyat awal dan tahiyat akhir. Selawat ini menggabungkan dua ucapan salam dan hormat ke atas kedua-dua Nabi Muhammad SAW dan Nabi Ibrahim AS.
Ibnu Taimiyyah berkata, “Selawat yang paling sempurna untuk Rasulullah adalah Selawat Ibrahimiyah.”
Maksudnya: “Ya Allah, berilah rahmat kepada Penghulu kami Nabi Muhammad dan keluarga Sayidina Muhammad. Sebagaimana Engkau merahmati Sayidina Nabi Ibrahim dan keluarga Sayidina Nabi Ibrahim. Berkatilah penghulu kami Sayidina Nabi Muhammad dan keluarga Penghulu kami Sayidina Muhammad. Sebagaimana Engkau memberkati Sayidinia Nabi Ibrahim dan keluarga Sayidina Nabi Ibrahim. Di alam semesta ini, Engkau sahajalah Yang Paling Terpuji dan Yang Paling Mulia.”
Dalil Kepada Selawat Ini:
Diceritakan apabila semua Nabi menginginkan untuk dirinya menjadi umat Rasulullah SAW apabila mereka menyedari ketinggian darjat baginda di sisi Allah SWT tetapi Allah SWT tidak memperkenankan sebaliknya hanya seorang Nabi yang diperkenankan permintaannya iaitu Nabi Ibrahim AS.
Secara dasarnya, Allah SWT tidak memperkenankan permohonan Nabi Ibrahim AS untuk menjadi umat Nabi Muhammad SAW, tetapi Allah SWT menjanjikan kepada Nabi Ibrahim AS, yang Nabi Muhammad SAW akan lahir daripada salasilah atau keturunan Nabi Ibrahim AS sendiri dan nama Nabi Ibrahim AS akan meniti di bibir-bibir umat Nabi Muhammad SAW.
Allah SWT berfirman yang bermaksud,”kami abadikan untuk Ibrahim itu (pujian yang baik) di kalangan orang-orang yang datang kemudian. (Surah As-saffat, ayat 108)
2. Selawat Tafrijiyah
Selawat Tafrijiyah disebut juga “Selawat Kamilah” atau “Selawat Nariyah” yang bermaksud sempurna atau terbuka sehingga menjadi lapang. Selawat ini jika diamalkan dapat menghilangkan kesempitan dengan izin Allah SWT.
Maksudnya: “Ya Allah, limpahkanlah salawat yang sempurna dan curahkanlah salam kesejahteraan yang penuh kepada junjungan kami Nabi Muhammad, yang dengan sebab beliau semua kesulitan dapat terpecahkan, semua kesusahan dapat dilenyapkan, semua keperluan dapat terpenuhi, dan semua yang didambakan serta husnul khatimah dapat diraih, dan berkat dirinya yang mulia hujanpun turun, dan semoga terlimpahkan kepada keluarganya serta para sahabatnya, di setiap detik dan hembusan nafas sebanyak bilangan semua yang diketahui oleh Engkau.”
Dalil Kepada Selawat Ini:
Selawat ini pada umumnya bukanlah selawat yang dikurniakan terus daripada Rasulullah SAW tetapi ini merupakan selawat yang dikarang oleh para alim ulama yang soleh dengan ilham dan kurniaan dari Allah SWT. Walaupun kedua-dua selawat ini bukan daripada Nabi SAW, para ulama membolehkan mengamalkannya kerana kandungannya memuji Nabi dan mengagungkan baginda SAW. Allah SWT menyuruh kita memuji dan mengagungkan baginda.
Abu Umamah meriwayatkan Nabi SAW bersabda: Berbahagialah orang yang melihatku dan beriman kepadaku dan berbahagialah tujuh kali bahagia orang yang tidak melihatku walhal ia beriman kepadaku. (Hadis Rwayat Ahmad)
3. Selawat Munjiyah
Selawat ini bermaksud penyelamat. Apabila seseorang mengamalkannya seperti sebuah zikir, maka ia akan menjadi penyelamat dari segala sesuatu perkara yang tidak diinginkan untuk berlaku.
Maksudnya: “Ya Allah, limpahkanlah rahmat kepada junjungan kami Nabi Muhammad SAW yang melaluinya Engkau akan menyelamatkan kami dari semua keadaan yang menakutkan dan membahayakan, dengan rahmat itu Engkau akan mendatangkan semua hajat kami dan membersihkan semua keburukan kami, mengangkat kami pada derajat tertinggi, menyampaikan kami pada puncak tujuan, dari semua kebaikan di waktu hidup dan sesudah mati.”
Dalil Kepada Selawat Ini:
Selawat munjiyat ini juga memiliki kronologi yang menakjubkan yang mana dalam kitab Nudhah Al-Majalis wa Muntakhab An-Nafais karya Syekh Abdurrahman bin Abdissalam Ash-Shafuri:
Sebagian orang arif berkata: ‘aku berada di kapal, kemudian badai berembus kencang, hampir saja menyebabkan kami tenggelam. Lalu aku (tertidur dan) melihat Rasulullah SAW dalam mimpi, Rasulullah bersabda:
“Katakan pada mereka, bacalah doa Allaahumma sholli ‘alaa sayyidinaa muhammadin sholaatan tunjiinaa bihaa min jamii ‘il ahwaali wal aafaati wataqdhi lanaa bihaa jamii ‘alhaajaati watu thohhirunaa bihaa min jamii ‘issayyi-aati, watar fa ‘unaa biha ‘indaka a’laddarojaati watuballighunaa bihaa aqshol ghooyaati minjamii ‘il khoirooti fil hayaati waba’dal mamaat. Lalu aku terbangun dan kami ucapkan bacaan selawat tersebut dan angina pun terdiam atas izin Allah SWT.”
4. Selawat Fatih
Selawat al- Fateh adalah berasal daripada al-Qutub Sayyid Muhammad Syamsuddin bin Abul Hasan al-Bakry RA yang mendapat ilham kurniaan setelah bermunajat pada Allah SWT selama 18 tahun di Mekah. Selawat ini juga di sebut penghulu segala selawat kerana mengandung rahsia segala selawat dan rahsia zikir dan nama nama Allah yang maha agung.
Maksudnya: “Ya Allah rahmati dan berkati penghulu kami Nabi Muhammad, pembuka apa yang tertutup, penamat bagi yang telah sudah, penolong bagi yang hak, penunjuk kejalan yang lurus. Selawat dan salam ke-atas nya juga keluarga dan sahabatnya..sebagaimana yang selayaknya..dengan darjat dan kedudukan yang tinggi dan mulia.”
Dalil Kepada Selawat Ini:
Rasulullah SAW bersabda bahawa ulama itu pewaris Nabi. Tidaklah menjadi kesalahan kalau hendak diamalkan kerana ia masih lagi ibadat dan tidak ada pula isi yang berunsurkan apa-apa yang menentang Al-Quran dan As-Sunnah.
Sedangkan ulama adalah pewaris ilmu yang unggul sebagaimana sabda Nabi SAW: “Sesungguhnya ulama adalah pewaris para Nabi.” (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Dawud, at-Tirmizi dan Ibn Majah)
5. Selawat Syifa
Syifa bermaksud penawar atau ubat. Segala sesuatu penyakit akan ada penawarnya. Selawat ini menjadikan keberkahan Nabi Muhammad SAW sebagai penawar atas kurniaan Allah SWT untuk penyembuhan sesuatu.
Maksudnya: “Ya Allah, berilah rahmat ke atas penghulu kami, Muhammad SAW yang menyembuhkan hati-hati, penawarnya dan kesejahteraan badan, kesembuhan juga cahaya penglihatan, dan berilah rahmat keberkatan dan kesejahteraan atas keluarga dan sahabatnya.”
Dalil Kepada Selawat Ini:
Selawat ini juga tiada dalil yang sahih untuk dikongsikan, tetapi berdasarkan hadis di bawah ini cukup memadai untuk selawat ini jelas boleh diamalkan kerana ia mempunyai unsur-unsur ucapan yang baik.
Abdullah bin Mas’ud berkata: Apabila kamu semua selawat kepada Rasulullah SAW, maka buatlah sesuatu yang bagus terhadap beliau, siapa tahu mungkin selawat kamu itu diberitahukan (disampaikan) kepada beliau. Lalu mereka bertanya: Ajarkanlah kami cara bersolawat yang bagus kepada beliau! Lalu beliau (Abdullah bin Mas’ud) menjawab: katakan, Ya Allah jadikanlah segala selawat, rahmat, berkahmu, kepada Sayyid para rasul, pemimpin orang-orang yang bertakwa, penutup para nabi, yaitu Muhammad Hamba dan Rasul-Mu, pemimpin dan pengarah kebaikan dan rasul yang membawa rahmat. Ya Allah anugerahilah beliau maqam terpuji yang menjadi harapan orang-orang terdahulu dan orang-orang yang terkemudian. (Hadis Riwayat Ibn Majah)
6. Selawat Badriyah
Selawat ini cukup sinonim dengan kisah dari peperangan badar yang berlaku buat pertama kali oleh umat Islam di Madinah. Ia merupakan isyarat kemenangan bukan sahaja pada peperangan tetapi juga pada kemuliaan umat Islam yang berpegang teguh pada tali agama Allah.
Maksudnya: “Selawat dan Salam dilimpahkan Tuhan Atas Nabi Muhammad Pesuruh Allah. Selawat dan Salam dilimpahkan Tuhan Atas Nabi Muhammad Kekasih Allah. Kami Bertawassul dengan Bismillah Dan Pembawa Petunjuk, Utusan Allah. Semua yang berjihad di jalan Allah Khususnya pejuang Badar, Ya Allah. Ya Allah selamatkanlah Umat Islam Dari malapetaka dan kemurkaan Mu. Dari segala kedukaan dan kesusahan Dengan berkat pejuang Badar, Ya Allah. Ya Allah lepas dan hilangkanlah Segala yang menyakiti dan balikkanlah. Perdaya musuh, kasihanilah kami Dengan berkat pejuang badar, Ya Allah. Ya Allah lepaskan kami dari kesusahan Dan kehancuran kerana maksiat. Segala macam ujian dan penyakit Dengan berkat pejuang badar, Ya Allah. Banyak rahmatMu sudah diterima Banyak kerendahan yang telah di singkir. Banyak nikmatMu yang telah dikecap Dengan berkat pejuang badar, Ya Allah 6. Cukup banyak kemampuan yang Engkau beri selama ini. Cukup banyak kenikmatan Engkau rasakan pada yang berhajat. Cukup banyak kesalahan Engkau maafkan pada yang berdosa. Dengan berkat pejuang badar, Ya Allah. Sesungguhnya bumi yang luas terasa sempit. Dalam dada orang yang tertimpa bala. Lepaskan kami dari cubaan yang menyusahkan. Dengan berkat pejuang badar, Ya Allah.”
Dalil Kepada Selawat Ini:
Selawat Badar berisi pujian-pujian kepada Rasulullah SAW dan Ahli Badar (para sahabat yang mati syahid dalam perang Badar). Berbentuk syair, dan dinyanyikan dengan lagu khas. Selawat ini digubah oleh Kiai Ali Mansur, salah seorang cucu dari KH. Muhammad Shiddiq Jember, pada tahun 1960.
7. Selawat Ummi
Selawat ummi jika diamalkan 80 kali pada hari Jumaat, boleh diampunkan dosa sebanyak 80 tahun dengan izin Allah SWT.
Bahasa Rumi: Allahumma solli ‘ala Sayyidina Muhammadin a’bdika warasulika nabiyya ummayya wa a’la alihi wasohbihi wasallam
Maksudnya: “Ya Allah, limpahkan rahmat ke atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW sebagai hamba-Mu, Nabi-Mu dan Rasul-Mu, Nabi yang ummi; Dan ke atas keluarga dan para sahabatnya kesejahteraan.”
Dalil Kepada Selawat Ini:
Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang berselawat ke atasku sebanyak 80 kali pada hari Jumaat, Allah SWT akan mengampunkan dosanya sebanyak 80 tahun Telah ditanya; Wahai Rasulullah SAW, bagaimanakah selawat itu?”
Baginda menjawab, “Allahumma solli ‘ala Sayyidina Muhammadin a’bdika warasulika nabiyya ummayya.”
Hadis ini diriwayatkan daripada hadis Anas bin Malik dan Abu Hurairah. Walaupun bagaimanapun ia dikategorikan sebagai hadis dhaif.
8. Selawat ke atas Nabi SAW
Selawat ini umum diucapkan pada bila-bila masa sahaja. Dan ini adalah selawat yang pertama diajarkan ketika anda baru ingin mengenal tentang selawat.
اَللَّهُمَّ صَلِّى عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ مُحَمَّدٍ
Bahasa Rumi: Allahumma solli’ala Muhammad wa’ala ali Muhammad.
Maksudnya: “Ya Allah, limpahkanlah kesejahteraan kepada Nabi Muhammad dan keluargannya,”
Dalil Kepada Selawat Ini:
Dari Abu Said Al-Khudri r.a beliau berkata:
“Kami bertanya Rasulullah SAW. Wahai Rasulullah, kami telah tahu mengucapkan salam kepada engkau, bagaimana pula berselawat ke atas engkau? Baginda bersabda katalah (ucaplah), Allahumma solli’ala Muhammad.”
9. Selawat Jalilah
Selawat ini sangat elok di baca selepas solat hajat.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيّدِنَا وَمَوْلَانَا مُحَمَّدٍ
صَلَاةً تُحِلُ بِهَا عُقْدَتِيْ وَتُفَرِّجُ بِهَا كُرْبَتِيْ
وتُنْقِذُنِيْ بِهَا مِنْ وَحْلَتِيْ وَتُقِيْلُ بِهَا عَثْرَتِيْ وَتَقْضِى بِهَا حَاجَتِيْ
Bahasa Rumi: Allahumma solli ‘wasallim a’la Sayyidina wamaulana muhammadin solata tuhilu biha uqdati watufarriju biha kurbati watunqizuni biha min wahlati watuqilu biha a’shroti watuqdho biha hajati
Maksudnya: “Ya Allah, limpahkanlah rahmat dan kesejahteraan ke atas junjungan dan penghulu kami Muhammad. Mudah-mudahan dengan limpahan rahmat ke atas baginda itu akan terhurailah segala simpulan (kekusutan), akan lenyaplah segala duka cita, akan terselamatlah daripada segala kecemaran(dosa), akan terkawallah segala penyelewengan dan akan terlaksanalah segala hajatku.”
10. Selawat Nur
Selawat ini juga dikenali sebagai Selawat Badawi. Apabila menjadi amalan harian, individu itu akan diluaskan pintu rezeki, ditunaikan hajat dan dijauhkan segala bala bencana.
اَللَّهُمَّ صّلِّ عَلَى نُورِ الأَنْوَارِ وَسِرِّ الأَسْرَارِ وَتِرْيَاقِ الأَغْيَارِ وَمِفْتَاحِ بَابِ الْيَسَارِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍالْمُخْتَارِ وَأَلِهِ الأَطْهَارِوَأَصْحَابِهِ الأَخْيَارِ عَدَدَ نِعَمَ اللهِ وَأَفْضَالِهِ
Bahasa Rumi: Allahumma solli a’la nuril anwar wasirril asrar watirya qi aghyar wamifta hiba bilyasar saidina muhamadilmukhtar waalihi athohar wa asha bihi akhyar a’dada ni a’millahi wa ifdholih.
Maksudnya: “Ya Allah, limpahkanlah selawat dan salam ke atas cahaya bagi segala cahaya, rahsia bagi segala rahsia, penawar bagi segala perkara yang lain, kunci bagi pintu kesenangan, (iaitu) penghulu kami, Nabi Muhammad yang terpilih, ahli keluarga Baginda yang suci, para sahabatnya yang baik, dengan sebanyak nikmat-nikmat Allah dan kelebihanNya.”
Dalil Kepada Selawat Ini:
Selawat ini diilhamkan kepada Sayid Ahmad al Badawi. Keturunan Nabi Muhammad (selawat ke atasnya) melalui Saidina Hussain, anak Fatimah binti Rasulullah. Lahir di bandar Fas, Maghribi pada tahun 596 hijrah. Hafal al Quran sejak kecil. Pakar ilmu Fekah dan Qira’at. Sejak kecil juga beliau cenderung kepada ilmu tasawuf. Beliau digelar al Badawi kerana tabiatnya sejak kecil yang suka menutup muka seperti kaum Arab Badawi padang pasir.
Kelebihan Berselawat
1. Diberikan ganjaran 10 kali pahala
Siapa yang mampu memberikan 10 kebaikan dari satu kebaikan yang anda buat kepadanya? Nescaya tiada satu pun manusia yang akan sanggup melakukannya dengan seikhlas dan sesempurna yang boleh. Tetapi janji Allah SWT kepada mereka yang berselawat walau sekali kepada Rasulullah SAW akan diberikan 10 kali pahala kepadanya.
Daripada Abu Hurairah R.A, Nabi S.A.W bersabda:
“Orang yang berselawat ke atas aku sekali, Allah berselawat ke atasnya sepuluh kali.” (Hadis Riwayat Imam Muslim)
2. Mendapatkan syafaat Rasullulah SAW
Syafaat beerti pertolongan. Sebagai umat Islam dan umat Nabi Muhammad SAW, untuk mendapatkan syafaat baginda adalah merupakan satu perjuangan kepada semua. Kelak dengan syafaat inilah yang akan membantu manusia untuk berhadapan dengan Allah SWT.
Daripada Sayyidina Abu ad-Darda’ r.a., Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud;
“Sesiapa yang berselawat ke atasku pada waktu pagi sebanyak 10 kali dan pada waktu petang sebanyak 10 kali, dia akan mendapat syafaatku pada hari kiamat.” (Riwayat ath-Thabrani)
Daripada Abu Aus bin Aus RA bahawa Rasulullah SAW bersabda : Sesungguhnya di antara hari yang paling mulia bagi kamu semua ialah hari Jumaat, oleh yang demikian hendaklah kamu semua memperbanyakkan membaca selawat kepadaku pada hari itu, kerana sesungguhnya ucapan selawat kamu semua akan ditunjukkan kepadaku (pada hari kiamat nanti). (Hadis Riwayat Abu Daud)
3. Mendekatkan diri dengan jalan ke syurga
Individu yang hatinya telah dilazimkan dengan amal baik akan mudah terdorong untuk melakukan perkara-perkara yang berbentuk kebaikan dan akan benci pula untuk melakukan dosa.
4. Menunjukkan kasih sayang dan cinta kepada Rasulullah SAW
Lidah melazimkan diri untuk memuji baginda, manakala tingkah laku terdorong untuk melaksanakan segala sunnah baginda. Inilah contoh perbuatan sebagai seorang umat Islam untuk menzahirkan rasa cinta dan sayang kepada Rasulullah SAW.
5. Melatih diri untuk membentuk akhlak-akhlak yang terpuji
Rasulullah SAW adalah contoh atau role model terbaik kepada semua umat Islam. Baginda mempunyai akhlak yang sangat terpuji diamalkan kepada semua tidak kira dia musuh, sahabat, orang lebih tua atau lebih muda, lelaki atau wanita, hamba atau pemimpin.
Penutup
Diharapkan artikel mengenai 10 jenis selawat ini memberikan anda pengetahuan baru dan kemudahan untuk lebih banyak berselawat. Syafaat yang dinanti diakhirat kelak adalah syafaat Rasulullah SAW. Jika di dunia tiada sedikit pun ingatan kepada baginda, bagaimana nanti baginda ingin membantu kita dalam jutaan manusia yang bersesak dan berpanas di padang mahsyar. Sollu ‘Alan Nabi.
Rujukan
- Dr. Mohammad Hasrul Shuhari. Nampak macam amalan biasa… Ini sebenarnya hukum berselawat kepada Rasulullah SAW. mstar
- Fazli Abdullah. 8 Kelebihan Amalan Berselawat. tzkrh
- Al-Kafi #1274: Maksud Selawat Dan Salam Kepada Rasulullah SAW. muftiwp