Apakah yang anda perlu bawa bila masuk asrama? Artikel ini akan menerangkan barang keperluan asrama yang wajib anda bawa ketika masuk asrama
Pelajar baru yang masuk mendaftar di sekolah berasrama, universiti atau pun kolej wajib tinggal di asrama. Ibu bapa juga pasti sibuk dengan persiapan anak-anak yang akan ke asrama. Nak beli barang-barang asrama ni semestinya memerlukan perbelanjaan yang lebih dari biasa.
Sudah pasti dalam fikiran masing-masing tertanya-tanya apakah barang-barang penting yang sepatutnya dibeli dan dimasukkan ke dalam beg bagasi supaya tiada barang penting yang tertinggal. Anda perlu rujuk senarai barang yang disediakan oleh pihak asrama yang berkenaan kerana lain tempat, lain peraturannya. Kena periksa apa yang boleh dan tidak boleh dibawa di asrama.
Barang Keperluan Asrama
Sebagai permulaan, berikut merupakan senarai barang keperluan umum yang perlu dibawa oleh pelajar :
1. Dokumen berkaitan yang telah disahkan
Untuk pendaftaran kali pertama, pelajar baru perlu membawa laporan pemeriksaan kesihatan seperti keputusan x-ray serta salinan kad pengenalan, gambar passport, sijil lahir, sijil SPM, sijil berhenti sekolah dan sijil akuan sekolah di dalam satu fail. Manakala untuk sijil-sijil asli yang penting, anda dikehendaki untuk membawanya sekali tetapi simpanlah sebaiknya dan tunjukkan kepada pihak pengurusan apabila diminta sahaja.
Ini merupakan barang keperluan asrama yang paling mustahak sebelum masuk ke dalam asrama. Jika tidak cukup, mungkin anda tidak akan dapat masuk ke dalam asrama pada ketika.
2. Senaskhah al-Quran, Surah Yassin dan al-Mathurat
Barang keperluan asrama yang juga penting bagi pelajar yang beragama Islam adalah mushaf al-Quran, surah Yassin dan al-Mathurat yang mempunyai terjemahan wajib dibawa bersama untuk dijadikan pelindung diri dan membacanya sebagai amalan seharian. Al-Quran adalah panduan, cahaya yang menerangi hati manusia. Membelek al-Quran pun sudah dapat pahala, apatah lagi membacanya walaupun hanya sepotong ayat. Kalau anda rajin dan selalu membaca al-Quran, In Shaa Allah anda memiliki ingatan yang tajam dan kuat. Apa-apa yang anda belajar, senang masuk dan mudah ingat.
Cadangan Al-Quran: Al-Quran An-Nur dengan Terjemahan dan Rumi
3. Pakaian
Bab pakaian ni jangan pandang ringan, kena ambil tahu ya. Kita hendaklah dalam keadaan bersih ketika menghadap Tuhan. Nakkan kejayaan dunia dan akhirat, solat lima waktu jangan sesekali ditinggalkan. Apabila Tuhan senang dengan kita, doa dimakbulkan dan segala urusan harian dipermudahkan olehNya. Pelajar lelaki bawalah pakaian solat seperti songkok hitam atau ketayap, kain pelikat, butang baju dan baju Melayu. Manakala untuk pelajar perempuan khususnya di Malaysia, pakaian solat adalah sepasang telekung. Jangan lupa bawa sejadah sendiri.
First impression tu penting. Kesemua pelajar dikehendaki berpakaian sopan, kemas dan menepati syariat. Tak salah ikut trend dan fesyen terkini tetapi haruslah berpada-pada dan jangan berlebih-lebihan. Lelaki boleh berpakaian seluar panjang “slack” berwarna hitam bersama baju kemeja digayakan bersama tali leher. Jika di universiti dan kolej, memakai baju t ketika menghadiri kuliah dibenarkan tetapi pastikan ia baju t berkolar.
Pelajar perempuan digalakkan memakai baju kurung, tudung yang sesuai yang menutupi bahagian dada dan hand sock. Barulah ayu dan manis seperti gadis Melayu, sejuk mata memandang. Tiada masalah jika nak berseluar panjang tetapi seluar itu jangan ketat. Baju batik biasanya dipakai setiap hari Khamis. Bagi pelajar perempuan, kain batik anda tu pakai je kat dalam bilik asrama, sama dengan baju tidur.
Pakaian dalam serta baju berlengan panjang dan pendek, kardigan juga hendaklah dibawa bersama. Tuala wanita amat penting sebagai persediaan bagi pelajar perempuan ketika datang bulan.
Bagi yang aktif seperti atlet dan gemar bersukan, pakaian untuk aktiviti riadah dan kokurikulum adalah baju sukan, sepasang kasut sukan dan seluar sukan “track bottom” berwarna hitam atau biru gelap. Ikut garis panduan pakaian yang telah ditetapkan bagi persatuan dan badan beruniform yang anda sertai.
Sediakan stokin berwarna putih dan hitam serta sarung kaki. Kalau hari sejuk, bolehlah pakai stokin masa nak tidur tu. Untuk lebih formal, sediakan kasut kulit hitam bertutup. Dua pasang selipar diperlukan; sepasang digunakan untuk ke tandas dan sepasang lagi di dalam bilik. Elakkan memakai selipar untuk menghadiri kuliah.
4. Bantal, sarung bantal dan cadar tilam
Seronok, kan, bila dengar kat asrama ada katil? Mesti anda sudah membayangkan tilam katil tu empuk macam di rumah sendiri. Katil “single” di asrama tidak disediakan lapik tilam dan bantal. Bawalah bantal, selimut, cadar dan sarung bantal yang bersih sekurang-kurangnya dua pasang. Nak lapik katil bercorak bunga ke, kartun ke, warna-warni ke, boleh, terpulang pada anda. Tetapi ada sesetengah sekolah berasrama membenarkan lapik katil dan sarung bantal berwarna putih. Jika cadar dan sarung bantal dibasuh, sekurang-kurangnya anda ada sepasang lagi cadar dan sarung bantal yang bersih.
Pastikan anda tidak membiarkan katil anda tidak berlapik kerana jangan terkejut jika pihak pengurusan asrama datang membuat pemeriksaan mengejut untuk memeriksa keadaan asrama dan bilik anda pada bila-bila masa sahaja.
Cadangan Produk:
5. Beg dan alat tulis
Apabila pelajar mahu ke kelas, mesti bawa beg sandang atau beg galas macam di sekolah. Tapi takdelah sampai nak sumbat beg dengan buku-buku berat, nanti sakit belakang pula. Patuhi jadual subjek yang telah ditetapkan. Macam-macam boleh diisi di dalam beg seperti buku nota, kertas A4, testpad, kotak pensel, USB pendrive/thumbdrive, kalkulator saintifik, dompet dan “landyard”. Barang yang ada di dalam beg perempuan tidak sama seperti beg lelaki. Bagi pelajar perempuan, sudah pasti lipbalm, pengetip kuku, tisu muka dan cermin kecil terselit di celah beg.
Pin tudung, jarum peniti dan pengikat rambut merupakan barang kecil yang amat penting bagi perempuan. Belilah 20 biji pin pun takkan cukup. Hilangnya bersilih ganti. Sebaik-baiknya simpan di dalam bekas atau kotak kecil yang mudah dibawa ke mana-mana supaya senang nak cari dan tidak mudah hilang kerana barang-barang kecil ini amat mudah tercicir.
Jika anda dibenarkan membawa telefon pintar, bawa sekali dengan powerbank dan pengecas telefon untuk mengecas telefon pintar.
Cadangan Produk:
6. Peralatan mandi / bilik air (toiletries)
Jagalah kebersihan diri anda dan jangan biarkan badan anda berbau walaupun anda kuat berpeluh. Mandi sekurang-kurangnya dua kali sehari dan sabun badan tu, bukan mandi koboi (mandi tanpa sabun). Jangan malas, nanti banyak tompok tahi lalat naik di badan. Sembur sebotol minyak wangi pun tiada gunanya jika tidak mandi. Raga mandi yang berlubang itu boleh diisi dengan peralatan mandi. Barang-barang kegunaan peribadi adalah seperti tuala, bedak, pencukur, pencuci muka, berus gigi, ubat gigi, span badan, sabun mandi dan shampu. Sikat dengan deodorant jangan dilupakan.
Kumpulkan pakaian kotor di dalam satu bekas khas untuk baju kotor. Jangan sepuk dan biarkan pakaian busuk di lantai dalam jangka masa yang lama kerana sang lipan sangat suka bersembunyi di dalam pakaian yang lembap. Ada asrama tidak menyediakan perkhidmatan dobi dan mesin basuh. Jadi anda perlu basuh baju secara manual menggunakan berus dan sabun basuh baju untuk mencuci pakaian. Berus sabut adalah berus yang terbaik untuk digunakan kerana cucian lebih bersih dan tidak merosakkan pakaian. Basuh baju dengan tangan mungkin memenatkan jika anda tidak biasa. Oleh itu, basuhlah pakaian setiap kali lepas anda pakai supaya taklah banyak nak basuh bila hujung minggu. Nak rendam pakaian di dalam satu baldi besar itu tiada masalah tetapi jangan rendam lama-lama kerana pakaian akan berbau busuk, hapak dan boleh mereput.
Cadangan produk:
7. Penyangkut dan penyepit baju
Penyangkut dan penyepit baju kena tanda dengan nama, tulis dengan pen marker supaya tidak diambil orang. Sidai pakaian di tempat yang telah disediakan oleh asrama. Jangan sidai merata-rata sebab pakaian yang basuh tangan tu, airnya akan menitik ke lantai. Nanti lantai tu bertakung dengan air basuhan baju tu. Kalau asrama yang bertingkat-tingkat tu, jangan sidai pakaian atau tindih atas pakaian orang lain. Bertolak-ansur dengan orang lain dan jangan pentingkan diri sendiri. Kesian mereka jika baju berbau busuk dan lambat kering. Air dari penyidai atas boleh kena pada pakaian yang disidai di penyidai bawah.
Kelengkapan menjahit seperti jarum dan benang mesti ada sebab senanglah nak menjahit jika seluar terkoyak. Loker atau almari kena sentiasa berkunci dengan mangga. Barang-barang berharga macam duit, kad bank, IC tu jangan letak merata-rata, takut ada yang panjang tangan.
Lepas tu, jangan ingat kat asrama tak blackout. Kalau blackout nanti, bergelaplah tidak nampak apa-apa. Lilin agak merbahaya untuk dipasang di dalam asrama kerana boleh mencetuskan kebakaran jika cuai. Lampu suluh bersaiz mini adalah pilihan yang tepat dan pastikan ia mempunyai bateri secukupnya untuk berfungsi.
Cadangan Produk:
8. Seterika
Ada sesetengah asrama yang tidak menyediakan seterika. Oleh itu, anda perlu bersedia membawa alat ini untuk menggosok baju anda supaya ia tidak berkedut dan nampak kemas.
Ada juga asrama yang menyediakan alat seterika ini. Akan tetapi disebabkan ramai yang menggunakannya menyebabkan para pelajar terpaksa beratur panjang untuk menggunakan alat ini. Jadi dinasihatkan lagi sekali, belilah satu agar anda dapat menggunakannya dan tidak berebut dengan orang lain. Ia menjadi salah satu barang keperluan asrama yang penting bagi mereka yang mementingkan pakaian yang kemas
Cadangan Produk:
9. Makanan dan bekas makanan
Pelajar dan makanan segera memang tidak dapat dipisahkan. Kafeteria di asrama tidak dibuka 24 jam. Lagi susah bila kedai runcit tiada ataupun tutup. Stok makanan kena sentiasa ada walaupun hanya gula-gula tetapi elakkan daripada dihurung semut. Kalau tiba-tiba lapar di tengah malam masa mengulangkaji pelajaran, adalah juga kudapan atau sesuatu untuk dikunyah, boleh cicah biskut dengan nescafe atau buat mi segera.
Jangan biarkan perut masuk angin. Nanti kalau gastrik, siapa nak tanggung? Diri sendiri juga yang susah. Antara contoh makanan segera adalah mi segera (maggi), milo, nestum dan biskut untuk alas perut. Sediakan botol air supaya anda boleh minum apabila haus. Kalau nak bawa kismis minda pun amat digalakkan kerana ia salah satu makanan sunnah yang berkhasiat dan bagus untuk minda.
Mangkuk, pinggan, mug, sudu dan garfu adalah antara peralatan yang diperlukan untuk membancuh air dan bubuh makanan. Selepas makan dan minum, mesti kita akan mencari sabun dan span. Kalau tak sabun, berbau hamislah mug macam bau ikan, nanti nak minum kemudian menggunakan mug yang sama sudah hilang selera. Jadi, kena ada pencuci pinggan mangkuk dan span.
10. Ubat-ubatan
Anda boleh sediakan satu kotak pertolongan cemas. Bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan. Kita tidak tahu bila kita akan jatuh sakit. Ubat adalah antara barang keperluan yang perlu ada ketika sakit atau kecemasan seperti demam, batuk, selesema, sakit perut, luka ringan, gigitan serangga dan sebagainya. Jika perut meragam, boleh disapu dengan minyak angin untuk memberi kelegaan.
Sama seperti penghidap asma yang membawa ubat dan penyedut asma. Antara ubat-ubatan yang boleh disediakan adalah vitamin C, plaster luka, iodine (mencegah kuman), ubat alahan, surat doktor jika menghidapi apa-apa penyakit, minyak angin, panadol, pil cirit-birit (contohnya pil Chi Kit Teck Aun), ubat batuk (contohnya cap Ibu dan Anak), Vaseline (merawat bibir pecah atau kulit kering) dan pengorek telinga.
Asrama telah menyediakan beberapa kemudahan asas untuk pelajar seperti katil, almari dan ruang belajar. Jika bernasib baik, anda dapat loker atau almari yang besar dan luas, tetapi sebaliknya jika loker kecil. Jangan bawa barang macam nak pindah rumah Tetapi jika barang yang dibawa itu banyak, anda kenalah pandai-pandai menyusunnya dalam keadaan baik supaya bilik asrama tidak kelihatan bersepah. Pilih dan bawa barang yang benar-benar diperlukan sahaja.
Diharapkan artikel barang keperluan asrama ini dapat membantu pelajar diluar sana bersedia sebelum masuk ke dalam asrama mahupun kolej di universiti.