zakat fitrah

Zakat Fitrah: Panduan dan Kadar Pembayaran

Apakah itu Zakat Fitrah dan berapakan yang perlu dibayar?

Artikel ini akan membincangkan berkenaan zakat fitrah dan pembayaran yang perlu dilakukan.


Sebagai seorang Muslim yang benar- benar beramal dengan agama Islam. Kita berpegang kepada rukun Iman dan rukun Islam yang lima iaitu mengucap dua kalimah syahadah, solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat dan yang terakhir ialah menunaikan haji bagi yang berkemampuan.

Pada penulisan kali ini, kita akan membincangkan salah satu daripada rukun Islam yang lima iaitu mengeluarkan zakat. Seperti yang kita ketahui, zakat umumnya bermaksud suci, rahmat, berkat, berkembang, subur, bertambah dan sedekah. Manakala, dari segi istilah zakat bermaksud penyerahan wajib sebahagian daripada harta milik seseorang Muslim yang berasal daripada sumber yang baik kepada saudara Muslim lain yang berhak menerimanya.

Kita tahu bahawa terdapat beberapa jenis zakat dimana setiap Muslim yang memenuhi syarat- syarat yang dinyatakan wajib untuk mengeluarkan nya sebagai tanda orang yang beriman kepada Allah. Jenis- jenis zakat tersebut termasuklah zakat fitrah, zakat pendapatan, zakat wang simpanan, zakat perniagaan, zakat binatang ternakan, zakat emas dan perak, zakat pertanian dan yang terakhir ialah zakat galian (emas dan perak).

Pada siri kali ini, penulis akan fokus dalam membincangkan mengenai zakat fitrah dan zakat pendapatan. Ini adalah kerana, majoriti Muslim khususnya di Malaysia mengeluarkan dua daripada jenis zakat ini berbanding jenis zakat yang lain.

PENGERTIAN ZAKAT FITRAH


Zakat fitrah juga dikenali sebagai zakat diri dimana ia difardukan keatas setiap Muslim lelaki dan perempuan kerana telah selesai menunaikan ibadah puasa pada bulan Ramadhan.

Ia juga boleh didefinisikan sebagai membayar zakat setahun sekali bagi seorang Muslim tidak kira lelaki, perempuan, tua, muda atau hamba yang merdeka yang mempunyai lebihan atau cukup perbelanjaan menuju kepada hari raya aidilfitri.

Dalil untuk membayar zakat ini dapat kita lihat pada surah Taubah ayat 103 yang bermaksud:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ إِنَّ صَلاَتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ وَاللّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: ‘Ambil lah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan mensucikan mereka dan berdoalah untuk mereka. Sesungguhnya doa kamu itu menjadi ketenteraman jiwa bagi mereka, dan Allah maha mengetahui lagi maha mendengar.’ (At-Taubah: 103)

SYARAT WAJIB ZAKAT FITRAH


Berikut merupakan syarat yang mewajibkan seseorang Individu Muslim untuk membayar zakat fitrah. Syarat- syaratnya adalah seperti yang berikut:

  1. Individu yang mempunyai lebihan harta atau makanan daripada keperluan tangunganya pada malam atau pagi hari raya Aidilfitri.
  2. Saudara baru yang memeluk agama Islam sebelum terbenam matahari akhir bulan Ramadan dan kekal beragama Islam sehingga pagi hari raya Aidilfitri.
  3. Bayi yang lahir sebelum matahari terbenam pada akhir bulan Ramadhan dan kekal hidup sehingga pagi hari raya aidilfitri.
  4. Muslim yang meninggal selepas terbenam matahari akhir bulan Ramadhan.

KAEDAH PEMBAYARAN


Kaedah pembayaran zakat fitrah adalah tertakluk kepada makanan ruji sesebuah negara itu. Seperti di Malaysia, makanan ruji bagi negara ini ialah beras. Maka kadarnya adalah mengikut harga beras yang ditetapkan oleh pemerintah.

Ada yang berpendapat bahawa kita perlu membayar zakat fitrah mengikut jenis beras yang dimakan tetapi tidak semestinya kita perlu berbuat sedemikian. Namun begitu, adalah lebih baik bagi individu yang mempunyai lebihan membayar lebih daripada kadar zakat fitrah yang umum.

Di Selangor khususnya, pembayar zakat fitrah dibahagikan kepada tiga kategori iaitu:

  1. Jenis beras: Special Tempatan 5%.
  2. Jenis beras: Beras Wangi, Beras Perang, Beras Ponni, Beras Import dan Beras Pulut.
  3. Jenis beras: Beras Basmathi, Beras Jepun Dan Beras Merah.

Akan tetapi, kadar zakat fitrah adalah tertakluk kepada Pihak Berkuasa Agama Negeri- negeri. Bagi individu yang menetap di negeri selain daripada negeri kelahirannya. Mereka disarankan agar mengeluarkan zakat ditempat mereka mencari makan.

Walaubagaimanapun, zakat sah untuk dibayar dimana- mana oleh pembayar zakat akan tetapi, adalah lebih baik sekiranya pembayar zakat membayarnya di tempat dimana mereka mencari rezeki iaitu dimana lokasi harta tersebut kerkembang.

Kini, untuk memudahkan urusan pembayaran zakat dan menjadikan ibadah ini lebih mesra pengguna, Majlis Agama Islam dan Pusat Pungutan Zakat setiap negeri telah mengambil satu inisiatif dimana mereka telah mewujudkan platform atas talian untuk pembayar zakat.

Pembayar zakat mempunyai pilihan untuk melaksanakan kewajipan mereka secara tradisional atau secara moden dan terbukti, masalah yang sering timbul seperti terlupa atau tidak mempunyai masa yang terluang dapat diatasi dengan adanya platform seperti ini.

Pembayar zakat hanya perlu melayari laman sesawang mengikut badan yang bertanggungjawab untuk mengutip zakat dinegeri masing- masing seperi Majlis Agama Islam atau Pusat Pungutan Zakat dan menjalankan transaksi kewajipan mereka dengan mudah dan menjimatkan masa.

KADAR PEMBAYARAN


Kadar zakat fitrah pada umumnya ialah satu gantang Baghdad seperti yang diamalkan iaitu bersamaan 2.70 kg beras atau yang senilai dengan nya.

Berikut merupakan kadar zakat fitrah bagi tahun 2020 mengikut negeri- negeri seluruh Malaysia.

NegeriKadar zakat fitrah (RM)
Perlis7.00
Kedah5.00, 7.00, 14.00, 21.00
Pulau Pinang7.00, 16.00
Perak7.00, 14.00, 21.00
Selangor7.00, 14.00, 21.00
WP KL, Putrajaya dan Labuan5.00, 7.00
Negeri Sembilan7.00
Melaka7.00, 14.00
Johor7.00, 10.00
Pahang7.00
Kelantan7.00
Terengganu7.00
Sabah6.00, 7.50
Sarawak7.00

Sumber Majlis Agama Islam setiap negeri.

LAFAZ NIAT ZAKAT FITRAH


Seperti kebiasaan, ketua keluarga akan bertanggungjawab untuk membayar zakat bagi seluruh tangungan nya. Akan tetapi sekiranya seseorang individu yang berada dibawah tangungan berhasrat untuk membayar sendiri zakat bagi dirinya adalah dibolehkan dan tidak menjadi masalah.

Berikut merupakan akad lafaz zakat fitrah bagi pembayar zakat.

‘Inilah zakat fitrah sebanyak (jumlah yang dibayar) yang wajib bagi diri saya pada tahun ini kerana Allah Taala’.

WAKTU MENUNAIKAN ZAKAT FITRAH


Waktu untuk menunaikan zakat fitrah terbahagi kepada lima waktu iaitu:

  1. Waktu wajib: Apabila terbenam matahari akhir Ramadhan sehingga terbit matahari satu syawal.
  2. Waktu afdal: Sebelum solat hari raya aidilfitri.
  3. Waktu sunat: Sepanjang bulan Ramadhan.
  4. Waktu makruh: Selepas solat raya sehingga terbenam matahari satu syawal.
  5. Waktu haram: Selepas terbenam matahari satu syawal. Pembayaran selepas waktu ini akan dikira sebagai sedekah biasa dan bukan zakat .

PENUTUP

Sebagai penutup, zakat merupakan kewajipan bagi setiap Muslim yang telah memenuhi syarat wajib zakat. Oleh itu, kita perlu menunaikan kewajipan kita sebagai seorang Muslim yang patuh dengan pencipta-nya.

Dengan kemudahan yang telah disediakan oleh Pusat Pungutan Zakat dan Majlis Agama Islam negeri- negeri, kita sebagai individu yang bertanggungjawab perlu untuk mengunakan sepenuhnya kemudahan ini bagi mengelakan masalah seperti terlupa dan mempunyai kekangan masa untuk mengeluarkan zakat.

Zakat merupakan salah satu kaedah penyucian jiwa dan harta yang disarankan oleh Islam kepada penganut agamanya. Oleh itu, untuk mendapatkan keberkatan dalam kehidupan, ayuhlah sama- sama kita memanfaatkan baki beberapa hari bulan Ramadhan ini untuk menunaikan zakat fitrah. Sekian daripada saya untuk pembaca pada siri kali ini. ‘Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin’.

Rujukan:

  1. Laman Web Zakat Selangor
  2. Laman Web Zakat MAIWP

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

three × 1 =

Scroll to Top