Skip to content

10 Tempat Menarik Di Port Dickson Yang Anda Perlu Tahu

tempat menarik port dickson

Dimanakah tempat menarik di Port Dickson? Artikel ini akan membincangkan tempat-tempat menarik yang anda perlu lawati ketika pergi bercuti di Port Dickson

Pengenalan

Port Dickson adalah sebuah bandar kecil di pantai barat Malaysia, selatan Kuala Lumpur. Port Dickson terletak di Negeri Sembilan. Pasti para pembaca membayangkan pesisiran pantai dengan pasirnya yang putih dan luas serta dapat menghirup udara laut yang menyegarkan.

Pantainya melintasi pantai selatan menuju ke Tanjung Tuan, tempat perlindungan hidupan liar dan rumah api abad ke-16. Di sebelah timur adalah Pengkalan Kempas dengan makam Muslim berusia 14 atau 15 tahun. Pengkalan Kempas merupakan sebuah pelabuhan kecil sebelum menjadi destinasi pelancongan yang terkenal.

Port Dickson menjadi antara tempat pilihan destinasi percutian.Kalau nak tahu, Port Dickson juga antara salah satu tempat bersejarah di Malaysia. Artikel akan berkongsi sepuluh tempat menarik di Port Dickson :

1. Muzium Tentera Port Dickson

Bila masuk je dalam muzium, pasti anda akan nampak pelbagai kenderaan tentera seperti jet pejuang, kereta kebal, kereta api dan pesawat milik Tentera Darat yang dipamerkan di Muzium Tentera Darat. Anda boleh melawat Muzium Tentera Port Dickson yang merupakan muzium tentera terbesar di Malaysia. Masuk adalah percuma.

Muzium yang mempunyai tiga galeri utama ini terletak tidak jauh dari Pusat Latihan Tentera Darat Malaysia. Koleksi yang disimpan di muzium merupakan tinggalan saki-baki peralatan, senjata dan kenderaan perang ketika dijajah oleh Portugis hinggalah Jepun semasa Perang Dunia Ke-2. Diorama yang diwujudkan menyimpan pelbagai kisah.

Anda takkan menyesal sebab dapat menghayati dan mengenal sejarah perjuangan angkatan tentera darat di samping peluang untuk menyentuh senjata-senjata perang lama tersebut serta mengambil gambar untuk dijadikan kenangan.

Sumber foto : Sarawakvoice

2. Pantai Teluk Kemang

Kalau tak ke pantai memang tak sah. Pantai Teluk Kemang bukan pantai yang terbersih tetapi sesak dan paling ramai orang kerana pantainya yang terbesar di dataran Port Dickson dan penuh dengan aktiviti atau sukan air seperti berkayak, jet ski, berenang, banana boat, parasailing, buggy ride dan sebagainya.

Kemudahan resort juga disediakan. Sangat sesuai untuk dijadikan tempat beristirahat setelah puas bermain air. Terdapat banyak gerai jualan yang menjual makanan, jadi, jika perut anda berkeroncong, anda boleh mencari banyak pilihan makanan yang dijual di gerai-gerai tersebut.

Sumber foto : jom jalan

3. Ladang Burung Unta Port Dickson

Ladang Burung Unta Port Dickson merupakan pengalaman semula jadi yang unik di Malaysia. Ia terletak kira-kira lima kilometer dari Hotel Lexis Hibiscus Port Dickson. Terdapat pelbagai jenis haiwan seperti kambing, lembu, keldai, ayam belanda, monyet dan banyak lagi. Ladang ini luas dan terdapat persembahan haiwan. Pembinaan ekosistem semula jadi di sini sangat baik dengan haiwan ternakan yang paling menarik iaitu burung unta.

Tahukah anda? Mata burung unta lebih besar dari otaknya. Burung unta adalah spesis burung terbesar di dunia dan boleh berlari 50 kilometer sejam. Laju, bukan? Kalah pelari pecut. Kaki burung unta sangat kuat.

Kanak-kanak pasti akan tertarik dan berseronok dengan tempat ini kerana pengunjung dibenarkan menyentuh, bermain dan memberi haiwan makan. Selain itu, ada Dinosaur Safari kalau nak merasa macam ala-ala dunia Jurassic. Anda boleh berkunjung ke Light Safari di waktu malam!

Tempat itu bagaikan dunia ajaib dengan pelbagai hiasan cahaya yang berbeza dan anda boleh mengambil banyak gambar sambil bermain dengan kambing dan burung unta. Telur burung unta bersaiz gergasi dan boleh dimakan. Ada yang kata sedap. Anda boleh membeli telur burung unta eksklusif di taman ini. 

Sumber foto : lexishibiscuspd

4. Pusat Ikan Hiasan Telok Kemang, Port Dickson

Pusat Ikan Hiasan terletak di Batu Tujuh, Telok Kemang yang dibuka setiap hari dan masuk adalah percuma. Ada lebih daripada 40 spesis ikan hiasan termasuklah 20 jenis batu karang yang dipamerkan dalam akuarium kepada pengunjung. Walaubagaimanapun, tiada ikan hiasan yang dijual kepada pengunjung.

Pusat Ikan Hiasan diuruskan oleh Jabatan Perikanan Malaysia. Penggemar ikan, pencinta haiwan dan pemancing pasti takkan lepaskan peluang untuk berkunjung ke tempat ini. Haiwan marin yang dipamerkan di pusat ini diternak dan dibiakkan oleh di pusat itu sendiri yang ditangkap dari perairan Tanjung Tuan. Penyu merupakan antara hidupan laut yang dipamerkan di Pusat Ikan Hiasan.

Sumber foto : libur

5. Hutan Lipur Pasir Panjang

Hutan Lipur Pasir Panjang menyimpan banyak flora dan fauna yang indah. Di sebaliknya terdapat kawasan pantai dengan pasirnya yang lembut. Sambil berjalan-jalan, anda boleh menikmati bayu laut yang mengasyikkan.

Tempat ini sesuai untuk perkelahan selain menikmati pemandangan dan udara yang menyegarkan. Ia terletak agak jauh dari tempat tarikan lain yang ada di Port Dickson tetapi anda boleh meneroka hutan lipur.

Sumber foto : vnethomes

6. Taman Tema Wild West Cowboy

Taman Tema Wild West Cowboy lebih dikenali sebagai pekan koboi. Ia menawarkan pelbagai aktiviti menarik seperti 5D Motion Cinema, Awake Escape, Awake Thrill, Skunk Interactive Show, Arcade Games dan macam-macam lagi.

Anda akan merasa puas dengan pelbagai aktiviti yang disediakan hingga terleka dan tidak sedar bahawa masa telah pun berlalu. Ada panggung wayang yang menceritakan kisah koboi, tempat makan dan pameran baju-baju serta peralatan koboi.

Sumber foto : listikel

7. Pulau Burung

Pulau yang cantik dan indah di Port Dickson ini mempunyai daya tarikan tersendiri. Terdapat jambatan kayu sepanjang 182 meter. Suasana persekitaran yang menakjubkan akan membuatkan anda merasa terpegun ketika melintasi jambatan. Bolehlah bergambar sebanyak-banyaknya di kawasan jambatan dengan pemandangan laut yang menenangkan minda.

Sumber foto : instagram.com/krvspf/

8. Alive 3D Art Gallery

Anda pasti akan menyukai tempat ini untuk kaki selfie dan suka posing. Terdapat 50 lukisan dalam bentuk 3D dengan tema aquatik, pengembaraan, animasi, astronomi dan eksotik yang pastinya akan membuatkan anda terpegun dan cuba untuk mencipta gaya posing tersendiri yang kreatif. Sempatkan sedikit waktu anda untuk mengunjungi tempat menarik yang satu ini ketika bercuti di Port Dickson.

Sumber foto : ticket2u

9. Extreme Park Port Dickson

Bagi yang sukakan permainan ekstrim, datanglah ke Extreme Park bersama keluarga dan kawan-kawan. Pelbagai permainan terdapat di sini seperti go-kart, ATV, memanah, Flying Fox dan paintball. Menarik, kan? Anda boleh bermain sepuas-puasnya dengan harga yang berlainan bagi pakej aktiviti yang ditawarkan. Untuk pelajar pun ada harga istimewa tau.

Sumber foto : Kalendar

10. Port Dickson Sunset Cruise 

Pastikan anda mengambil banyak gambar dan jangan lepaskan peluang keemasan ini kerana keadaan sekeliling sangat cantik apabila Cruise menyusuri kawasan pantai Port Dickson itu.

Pemandu kapal akan membawa pelancong melihat kawasan sekitar dan melihat matahari terbenam. Jika anda tidak mabuk laut, menaiki Cruise sambil melihat persekitaran sememangnya satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.    

Penutup

Terdapat banyak restoran di tepi pantai yang anda boleh bersantai serta berehat dan hotel yang selesa. Makanan tradisional Melayu yang lazat dengan tawaran harga yang murah juga boleh didapati di Port Dickson. Nak jalan-jalan tepi pantai pun boleh, terutamanya di awal pagi atau waktu petang ketika matahari hampir terbenam kerana waktu ini tidak panas.

Di pantai biasanya waktu petang, orang suka bakar barbeku sambil menikmati pemandangan yang cantik. Lokasi Port Dickson akan menjadi tempat yang paling sesak ketika hujung minggu. Anda boleh meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga tercinta walaupun tidak bermandi-manda di pantai.  

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

five × 2 =