Skip to content

15 Barang Hantaran Untuk Majlis Tunang

barang hantaran tunang

Apakah barang yang sesuai untuk dijadikan hantaran bagi majlis tunang? Artikel ini akan menyenaraikan 15 barang yang sesuai untuk dijadikan hantaran

Pengenalan

Bertunang memeterai perjanjian di antara dua buah keluarga di mana pihak perempuan telah mempunyai pilihan hatinya, begitu juga dengan pihak lelaki. Hantaran merupakan hadiah yang diberikan oleh pihak lelaki dan wanita kepada bakal pasangan mereka ketika majlis pertunangan menurut adat masyarakat Melayu.

Bilangan Dulang

Tentukan terlebih dahulu berapa banyak dulang untuk bagi lelaki dan berapa dulang untuk bagi perempuan. Barang hantaran diberi dalam jumlah yang ganjil seperti 5 berbalas 7, 7 berbalas 9 atau 9 berbalas 11. Barang daripada pihak perempuan lebih sikit daripada pihak lelaki. Sekiranya pihak lelaki memberi 5 dulang, maka pihak perempuan wajarlah membalas dengan 7 dulang.

Bilangan 5 bersama 7 dulang sudahpun mencukupi sekiranya anda memilih untuk menjalankan majlis pertunangan yang ringkas dan tidak memakan kos yang tinggi. Perkara ini cuma adat. Adat berbalas dulang atau hantaran tunang ini dianggap simbolik bagi mengukuhkan hubungan yang terjalin di antara pasangan yang bertunang. Tak kurang juga yang menjadikan hantaran tunang DIY sebagai trend masa kini sebab boleh jimat kos dan selalunya barang hantaran tu boleh digubah dengan penuh kreativiti, kemas dan indah.

Kalau nak tahu, barang hantaran yang selalu diberikan biasanya barang-barang yang kita selalu guna hari-hari seperti tuala, pencuci muka, set mandian dan sebagainya. Boleh bincang dengan bakal pasangan barang apa yang mereka nak sangat-sangat. Barang-barang hantaran tunang yang telah dibeli boleh ditukar suka sama suka untuk digubah cantik-cantik sebelum dijadikan hantaran. Jangan lupa letak hiasan reben dan bunga pada gubahan hantaran.

Barang Hantaran Tunang

Anda sedang memikirkan apa yang sesuai untuk dijadikan hantaran tunang? Ada juga yang nak buat ikut tema. Ini antara senarai 15 barang hantaran tunang umum yang anda boleh jadikan panduan :

1. Sirih junjung/tepak sirih

Anda boleh pilih sama ada sirih junjung atau tepak sirih. Kalau takde sirih junjung, boleh gantikan dengan tepak sireh. Sireh junjung termasuk dalam senarai hantaran untuk majlis pertunangan.

Sudah menjadi adat orang Melayu dari zaman dulu lagi dalam pertunangan melayu di mana sirih junjung diberikan dan diterima daripada kedua-dua pihak. Tepak sirih merupakan perhiasan untuk istiadat dan upacara rasmi. Daun sirih boleh dapat dekat pasar atau beli kat kedai online.

Cadangan:

  1. Sirih Junjung
  2. Tepak Sirih

2. Coklat

Siapa tak minat coklat? Coklat sesuatu yang manis dan bermakna. Tak payah beli coklat yang terlalu mahal. Pelbagai jenis coklat berperisa yang sedap berada di pasaran seperti Ferrero Rocher, Cadbury, Beryl, Daim dan Vochell. Coklat boleh diletakkan dalam bekas plastik kedap haba yang bertutup untuk mengelakkan cair. Kalau dihiasi dengan cara yang betul mesti nampak mewah dan lain dari yang lain.

Cadangan:

  1. Ferrero Rocher
  2. Cadbury
  3. Beryl
  4. Toblerone

3. Jam tangan

Bukan mudah untuk mendapatkan jam tangan yang sesuai dengan citarasa seseorang. Ada banyak pilihan jam tangan di luar sana, lebih-lebih lagi dalam kedai online, mesti rambang mata dibuatnya. Namun, setiap jam yang dibeli selalunya disertakan dengan kotak yang eksklusif.

Ada jenama yang menawarkan pakej “Couple Watch” dengan harga yang berpatutan. Berdasarkan trend terkini, jam tangan Casio G-Shock atau jam tangan yang talinya boleh berubah warna/mempunyai ukiran nama pasangan menjadi pilihan.

Cadangan: Jam Tangan Berpasangan

4. Kasut dan stoking

Perempuan boleh menghadiahkan sepasang kasut lelaki sebagai hantaran tunang. Kasut kulit sangat sesuai kerana mudah untuk digayakan bersama-sama set baju kemeja atau baju melayu yang diberikan kepada lelaki.

Lelaki pula boleh menghadiahkan kasut bertumit kepada perempuan. Pastikan saiz kasut betul dan muat dengan kaki masing-masing.

Cadangan:

  1. Kasut Wanita
  2. Kasut Lelaki

5. Al-Quran

Islam amat menggalakkan pemberian senaskhah al-Quran sebagai hadiah. Setiap pasangan yang berniat untuk bernikah harus memulakan dengan langkah-langkah yang mendatangkan keberkatan. Terdapat al-Quran yang disertakan dengan terjemahan boleh dipilih serta banyak dijual di kedai-kedai menjual barangan umrah dan di media sosial. Gubahan al-Quran boleh digandingkan bersama papan rehal yang berukiran premium.

Cadangan Al-quran: Alquran

6. Pakaian

Pihak lelaki dan perempuan boleh memilih baju tunang dan warna baju untuk kelihatan sedondon. Lelaki pakai baju Melayu, perempuan pula berbaju kurung.

Baju Melayu sering dipakai oleh lelaki beserta dengan songkok dan samping yang membuatkan lelaki kelihatan segak. Namun, anda boleh lakukan gubahan baju kemeja disertakan dengan tali leher dan seluar slack yang dilipat rapi dan kemas. Baju kemeja sering dipakai oleh lelaki di pejabat dan majlis-majlis rasmi.

Kain pelikat juga masih digunakan sebagai hantaran yang merupakan pakaian untuk lelaki.

Baju kurung atau baju kebaya adalah pakaian tradisional wanita Melayu. Ada macam-macam rekaan fesyen wanita contohnya baju kurung kedah, baju kurung Pahang dan baju kurung moden. Hantaran tunang berupa baju kurung boleh dilakukan supaya wanita itu kelihatan manis dan ayu.

7. Set alat solek

Perempuan dan makeup tak dapat dipisahkan. Ini adalah antara hantaran yang paling penting yang mesti ada, lelaki kena ingat ya. Contoh alat solek adalah lipstick, compact powder, blusher, foundation, brush dan sebagainya.

8. Set pakaian solat

Gubahan telekung biasa dibuat sebagai hantaran. Anda boleh dapatkan mana-mana jenama telekung premium dengan fabrik yang selesa.

Selain telekung, sejadah juga boleh dijadikan sebagai hadiah atau hantaran tunang dengan tasbih digital sebagai hiasan tambahan, baik untuk lelaki mahu pun wanita. Hadiah sebegini murah dan dapat digunakan setiap hari.

Cadangan: Telekung Siti Khadijah

9. Tuala

Tuala juga boleh dijadikan hantaran tunang. Teknik lipatan dan gulungan yang menarik dapat menyerlahkan lagi dulang hantaran. Ia menjimatkan kos dan menjadi salah satu barang kegunaan keperluan harian.

10. Set penjagaan wajah

Wanita sentiasa mementingkan penjagaan wajah, begitu juga dengan lelaki. Ini untuk memastikan kulit wajah sentiasa segar. Perempuan ni cerewet sikit bab penjagaan wajah, jadi lelaki perlu ambil tahu jenama dan produk kulit jenis apa yang pihak perempuan mahukan sebab produk yang digunakan harus sesuai dengan kulit. Lelaki pula biasanya tak banyak kerenah dan ada beberapa produk penjagaan wajah untuk lelaki seperti Nivea Men dan sebagainya.

11. Bunga rampai atau potpourri

Bunga rampai sangat sinonim dengan sesuatu majlis. Anda boleh membuat keputusan untuk memilih bunga rampai atau pun potpourri sebagai pengharum majlis pertunangan.

12. Minyak wangi

Tak kira apa jenama untuk minyak wangi contohnya Enchanteur, kasturi kijang atau miyak attar asalkan baunya disukai dan disenangi oleh pasangan. Banyak botol minyak wangi zaman sekarang mempunyai rupa yang menarik perhatian dan unik.

13. Kek/kuih tradisional/kuih moden/pulut kuning

Pelbagai aneka makanan dan manisan boleh digubah menjadi hantaran tunang seperti kek,kuih tradisional, kuih moden atau pulut kuning. Untuk menjimatkan kos, anda boleh buat sendiri bersama ahli keluarga.

Kek yang sedap dan ‘topping’ yang cantik berbentuk bunga-bungaan pelengkap hantaran tunang dan boleh ditempah khas menurut citarasa pasangan.

Antara kuih tradisional ialah bahulu, seri muka, ondeh-ondeh, karipap dan sebagainya. Kuih moden seperti semperit, macaron, cheese tart, brownies dan pavlova boleh menjadi pengganti kuih tradisional. Kuih-muih diletakkan di dalam bekas lutsinar dan tertutup supaya tidak tercemar.

Pulut kuning selalu dihidangkan dengan rendang atau gulai. Ada yang jadikan pulut kuning berbentuk seperti kek.

14. Buah-buahan

Buah-buahan segar sangat sesuai dijadikan hantaran sebab tak menelan belanja yang banyak. Buah epal, anggur, strawberi dan oren disatukan di dalam satu bakul atau bekas. Sapu sedikit minyak masak pada permukaan buah yang licin supaya efek kilauan pada permukaan buah-buahan lebih terserlah, macam dalam iklan komersial.

15. Beg tangan

Beg tangan penting bagi wanita. Dalam beg ini lah kaum wanita menyimpan pelbagai barangan peribadi mereka seperti alat solek, dompet, telefon bimbit, dan banyak lagi. Ini adalah antara aksesori yang wajib ada jika anda mencari barangan untuk dijadikan sebagai hantaran tunang kepada kaum wanita.

Cadangan: Beg Tangan Wanita

Penutup

Cincin tak wajib ketika tunang tetapi untuk pengetahuan anda, cincin belah rotan selalu dijadikan cincin tunang yang diberikan oleh lelaki terhadap wanita. Ianya sebagai simbolik untuk mengukuhkan ikatan pertunangan.

Tunang ni tak perlu berlebih-lebihan. Ikut budget dan kemampuan anda, barang hantaran tunang tak perlu bagi yang mahal. Jangan membazir untuk bertunang, buat seringkas yang boleh kerana peringkat pertunangan hanyalah proses “menanda” untuk menunjukkan bahawa seseorang itu telah “berpunya” dan awal-awal telah “dicop” terlebih dahulu.

Pedulikan kata-kata orang kerana pasangan bertunang bakal berkahwin dan akan menempuhi cabaran hidup di masa hadapan sebagai suami dan isteri yang sah. Apa yang penting adalah niat dan sentiasa berdoa kepada Allah S.W.T. agar urusan pertunangan berjalan dengan lancar sehingga dapat dilanjutkan ke alam perkahwinan.

Artikel Berkaitan: Barang Hantaran untuk Perkahwinan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

fifteen + thirteen =