Skip to content

Perang Qadisiyyah: Sejarah dan Kronologi

perang qadisiyyah

Artikel ini akan membincangkan Perang Qadisiyyah, salah satu peperangan yang memperlihatkan keberanian kaum muslimin dalam menyebarkan dakwah Islamiyyah.

Bilakah Perang Qadisiyyah Berlaku?

Perang Qadisiyyah berlaku pada tahun ke-14 Hijrah. Peperangan ini berlaku ketika zaman pemerintahan Khulafa’ al-Rasyidin yang kedua, iaitu Umar bin Khattab. Dalam peperangan ini, pasukan kaum muslimin di bawah pimpinan Sa’ad bin Abi Waqqas bertempur dengan tentera Parsi pimpinan Rustum bin Farrukhzad al-Armani di suatu dataran terbuka bernama Qadisiyyah.

Sebab Berlakunya Perang Qadisiyyah

Pada tahun ke-13 Hijrah, Kisra Parsi bernama Yazdgerd III telah memerintahkan Rustum bin Farrukhzad al-Armani untuk menyerang kerajaan Hirah, sebuah kerajaan di bawah taklukan kerajaan Islam. Keputusan itu dibuat kerana panglima Khalid al-Walid bersama sebahagian pasukannya telah meninggalkan Hirah untuk membantu pasukan Muslim yang sedang menakluki Syria. Kesempatan itu digunakan oleh Yazdgerd III untuk merebut wilayah Arab-Iraq yang penuh dengan tanah subur dari pihak Islam.

Bagi menghadapi peperangan dengan tentera Parsi, Khalifah Umar telah mengirim 4000 pasukan di bawah pimpinan Abu Ubaidah ibn Mas’ud al-Tsaqafi untuk bergabung dengan pasukan muslimin di benteng pertahanan Hirah. Namun, Abu Ubaidah wafat dalam pertempuran tersebut dan pasukan Islam mengalami kekalahan. Bagi membalas kekalahan tersebut dan sekaligus menakluk wilayah-wilayah Parsi, Khalifah Umar melantik Sa’ad bin Abi Waqqas untuk memimpin tentera Islam menyerang Parsi.

Pada masa yang sama, Khalifah Umar telah mengirim surat kepada Yazdgerd III untuk mengajak Kisra Parsi itu memeluk Islam dan memilih jalan damai. Namun, ajakan tersebut ditolak mentah-mentah oleh Yazdgerd III dan sebaliknya dia mengajak Khalifah Umar untuk berperang. Justeru, seramai 30 000 tentera Islam di bawah pimpinan Sa’ad bertolak dari Madinah menuju ke wilayah Parsi. Mendengar berita tersebut, pihak Parsi juga menyiapkan pasukan dalam jumlah yang amat besar, dianggarkan sekitar 120 000 orang. Tentera Islam telah memilih kawasan yang terbuka untuk menguasai peperangan, maka Qadisiyyah dipilih sebagai tempat pertempuran.

Peristiwa Sebelum Perang Qadisiyyah

Sebelum perang tercetus, Rustum telah meminta seorang bijak pandai dari kalangan tentera Islam untuk berdialog dengannya. Maka, Sa’ad telah menghantar al-Mughirah bin Syu’bah. Rustum cuba memujuk al-Mughirah untuk tidak berperang dengan jaminan mereka tidak akan melakukan kejahatan ke atas umat Islam dan tidak akan menghalang umat Islam masuk berniaga ke negara mereka. Maka, al-Mughirah menerangkan bahawa umat Islam tidak mengejar kesenangan dunia, tetapi ingin menyeru kepada Islam dan mentauhidkan Allah SWT.

Dakwah yang disampaikan oleh al-Mughirah menarik minat Rustum. Justeru, al-Mughirah menerangkan bahawa jika mereka tidak ingin menerima Islam, mereka perlu membayar jizyah kepada kerajaan Islam. Rustum kemudian mengadakan perbincangan bersama pembesar-pembesarnya. Namun, mereka menolak untuk memeluk Islam dan membayar jizyah. Keputusan tersebut tidak berubah walaupun selepas Sa’ad mengutus Rib’i bin ‘Amir, diikuti Huzaifah bin Mihsan dan sekali lagi al-Mughirah untuk berdialog dan berdakwah kepada Rustum dan pembesarnya. 

Oleh kerana jalan perdamaian menemui jalan buntu, maka kedua-dua pasukan memutuskan untuk memulakan peperangan. Sa’ad yang ketika itu sedang sakit, tidak menyertai tentera Islam di medan perang, tetapi mengawasi mereka daripada istana lama yang mana dia berehat di dalamnya.

Perang Qadisiyyah Tercetus

Perang Qadisiyyah berlangsung selama 4 hari. Pada hari pertama, berlaku pertempuran sengit antara tentera Islam dan tentera Parsi yang berlangsung sehingga Subuh. Kedua-dua pasukan bertahan dengan kuat dan tiada tanda-tanda peperangan akan tamat. Pada hari yang kedua, Abu Ubaidah al-Jarrah dengan arahan Khalifah Umar telah menghantar bantuan tentera dari Syria yang baru selesai menghadapi Perang Yarmuk untuk bergabung dengan tentera Islam. Tentera bantuan tersebut berjumlah seramai 1000 orang dan dipimpin oleh Al-Qa’da’ bin Amr al-Tamimi. 

Walaupun menerima bantuan ketenteraan, tentera Islam masih menghadapi kesukaran untuk mengalahkan tentera Parsi yang dibentengi dengan pasukan gajah di barisan hadapan. Maka, Al-Qa’da’ mencadangkan agar kuda-kuda dan unta-unta tentera Islam dihias dengan hiasan bagi menakutkan gajah-gajah tentera Parsi. Walaupun taktik tersebut berjaya, tentera Parsi masih belum dapat dikalahkan.

Pada hari yang ketiga, seramai 6000 pasukan bantuan yang dipimpin oleh Hasyim bin Utbah telah menyertai tentera Islam. Pasukan ini dikirim oleh Abu Ubaidah al-Jarrah selepas pasukan tersebut memperoleh kemenangan dalam pertempuran Fihl. Dalam pasukan tersebut, dua orang bangsa Parsi yang telah memeluk Islam telah memberitahu taktik untuk mengalahkan gajah tentera Parsi. Kemudian, Al-Qa’da’ dan Hasyim melaksanakan taktik tersebut. Al-Qa’da’ dan Hasyim memotong belalai dan membutakan gajah yang digunakan oleh tentera Parsi. Ketika gajah-gajah tersebut mengamuk, tentera Islam memanfaatkan keadaan tersebut untuk menyerang tentera Parsi.

Pertempuran Terakhir

Pertempuran berlangsung antara kedua-dua pasukan sehingga hari keempat. Keberhasilan tentera Islam mengalahkan tentera bergajah melemahkan pasukan Parsi. Tentera Islam juga berjaya mengalahkan dua panglima di sebelah kanan dan kiri pasukan Parsi, iaitu Fairuzan dan Hormuzan. Kemudian, berlaku ribut pasir yang kuat menerbangkan khemah-khemah tentera Parsi. Ribut pasir tersebut menyebabkan Rustum lari menyelamatkan diri. Keadaan tersebut dimanfaatkan oleh Hilal ibn Al-Qamah untuk membunuh panglima Parsi tersebut.

Kematian Rustum semakin melemahkan semangat juang tentera Parsi. Sementara itu, takbir dilaungkan dengan kuat oleh tentera Islam yang masih tidak berhenti menyerang musuh. Keadaan tersebut menyebabkan ramai tentera Parsi melarikan diri dari medan perang menyeberangi Sungai Euphrates. Kesannya, ramai tentera Parsi yang mati lemas kerana terjatuh di dalam sungai tersebut. Sebahagian tentera Parsi yang terselamat pula melarikan diri ke kota Babilon dan Ctesiphon (Mada’in), dua buah kota di bawah jajahan Parsi. Kemunduran tentera Parsi memberi kemenangan besar kepada tentera Islam. Kemenangan tersebut kemudiannya dikhabarkan kepada Khalifah Umar di Madinah melalui utusan Sa’ad.

Dalil Yang Berkaitan Dengan Perang Qadisiyyah

Ketika Perang Qadisiyyah berlangsung, Sa’ad bin Abi Waqqas sedang sakit. Namun, beliau tetap menjalankan amanah yang diberikan oleh Khalifah Umar sebagai pemimpin tentera Islam. Sebelum memulakan peperangan, Sa’ad memberi ucapan dan nasihat kepada tentera Islam untuk membakar semangat juang mereka. Dalam ucapan tersebut, beliau telah membaca firman Allah SWT yang berbunyi:

وَلَقَدْ كَتَبْنَا فِى ٱلزَّبُورِ مِنۢ بَعْدِ ٱلذِّكْرِ أَنَّ ٱلْأَرْضَ يَرِثُهَا عِبَادِىَ ٱلصَّٰلِحُونَ

Maksudnya: Dan sungguh telah Kami tulis didalam Zabur sesudah (Kami tulis dalam) Lauh Mahfuzh, bahawasanya bumi ini akan diwarisi oleh hamba-hambaKu yang soleh.(Surah Al-Anbiya’:105)

Ayat tersebut menerangkan tentang kekuasaan yang diberikan oleh Allah SWT kepada hambanya yang soleh, yakni orang yang mengerjakan suruhan dan menjauhi laranganNya. Ayat ini telah menetapkan keyakinan tentera Islam terhadap bantuan Allah SWT kepada mereka yang berjuang di jalanNya. Justeru, pada hari keempat Perang Qadisiyyah, pertolongan Allah SWT dapat dilihat melalui ribut pasir yang mengkucar-kacirkan tentera Parsi dan membawa kepada kemenangan tentera Islam. Malah, kemenangan umat Islam dalam perang tersebut menjadi titik tolak kepada kejatuhan empayar Parsi dan kekuasaan umat Islam terhadap wilayah-wilayah takluknya.

Rujukan

  1. Muhammad Husain Haekal. 1999. Sejarah Hidup Umar bin Al-Khattab. Singapura: Pustaka Nasional PTE LTD.
  2. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. 2019. Al-Kafi 1262: Iktibar & Pengajaran Daripada Peperangan Al-Qadisiyyah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

12 − one =