Skip to content

Cara Qada Solat: Huraian dan Panduan

cara qada solat

Apakah cara betul untuk menggantikan solat yang tertinggal atau qada solat? Artikel ini akan menerangkan tatacara, niat dan panduan lengkap untuk menggantikan solat yang tertinggal.

Isi Kandungan
  1. Pengenalan
  2. Hukum Qada solat yang tertinggal
  3. Cara Qada Solat
  4. Lafaz Niat Solat Qada
  5. Seputar Isu Berkaitan Qada Solat
  6. Kesimpulan

Pengenalan

Sebagai seorang manusia kita pasti akan berasa bersalah sekiranya kita terlupa atau tidak ingat untuk melakukan sesuatu arahan manusia lain. Maka sebagai seorang hamba kepada Sang Pencipta rasa bersalah itu adalah lebih perlu dan mendalam sekiranya kita tertinggal dalam setiap perintah-Nya.

Solat merupakan ibadah paling utama dalam kehidupan beragama seorang Muslim. Walaupun seseorang itu sudah sempurna pada aspek ibadah yang lain, namun sekiranya pelaksanaan solat fardu terdapat kecacatan dan tidak sempurna maka rosaklah segala amalan yang dilakukan sepanjang hidup. Telah berkata Aun bin Abdullah RH;

“Sesungguhnya seseorang jika telah memasuki alam kubur, maka yang akan ditanyakan adalah tentang solatnya dan itulah yang pertama sekali ditanyakan. Jika dia telah lulus maka akan dilihat pada amalnya yang lain. Namun jika solatnya tidak memenuhi syarat, maka amalnya yang lain tidak akan dilihatnya lagi.” [1]

Demikianlah betapa kedudukan solat sangat penting sehinggakan ia disebut sebagai tiang kepada agama. Hal ini memberikan ancaman kepada setiap Muslim untuk sentiasa berdisiplin dalam menjaga amalan solat mereka di samping ibadah-ibadah yang lain. Oleh itu, sekiranya seorang Muslim sedar bahawa solatnya tidak sempurna disebabkan pernah tertinggal atau terlupa, maka Islam telah membincangkan tentang kewajipan menggantikan solat ataupun disebut sebagai Qada Solat.

[adsense]

Hukum Qada Solat yang Tertinggal

Qada solat bermaksud mengerjakan solat fardu di luar waktu yang wajib melaksanakannya. Setiap solat fardu yang lima mempunyai ketetapan waktu yang khusus, dan solat yang dilakukan di luar waktu yang lima itulah disebut sebagai qada solat.

Dalam membincangkan tentang keadaan yang mengkehendaki perkara ini, para ulama telah memperincikan kepada dua keadaan;

Pertama: Tidak Sengaja Meninggalkan Solat Fardhu

Keadaan dengan tidak sengaja sehingga menyebabkan solat fardu luput dari waktunya seperti disebabkan oleh tertidur, terlupa, pengsan, atau perkara lain yang tidak disengajakan maka para ulama bersepakat bahawa wajib untuk menggantikan solat yang tertinggal.

Sabda Nabi SAW;

عَنْ قَتَادَةَ، عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ، قَالَ قَالَ نَبِيُّ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ “‏ مَنْ نَسِيَ صَلاَةً أَوْ نَامَ عَنْهَا فَكَفَّارَتُهَا أَنْ يُصَلِّيَهَا إِذَا ذَكَرَهَا ‏”

Daripada Qatadah, daripada Anas bin Malik, beliau berkata: Nabi SAW bersabda; “Barangsiapa yang terlupa solat atau tidur dan terlepas waktunya, kafarahnya bersolatlah sebaik sahaja dia ingat.” [2]

Berdasarkan maksud hadis ini, Rasulullah SAW menyatakan bahawa kafarah atau denda yang diwajibkan apabila seseorang terlupa solat fardu sehingga luput waktunya adalah dengan menggantikan apabila dia ingat ataupun setelah bangun daripada tidur sekiranya dia tertidur sehingga luput waktu solat fardu yang wajib.

Menurut Syeikh Soleh bin Fauzan, beliau menjelaskan:

“Orang yang hilang akalnya kerana tidur atau pengsan atau semisalnya, maka dia wajib menggantikan solatnya ketika dia sedar.” [3]

Alasan-alasan yang mewajibkan qada solat fardu yang tertinggal adalah mesti merupakan satu alasan yang boleh diterima syarie sebagaimana yang disebut di dalam hadis dan bukannya alasan yang direka untuk menampakkan seolah-olah ia berlaku tanpa disengajakan.

Kedua: Sengaja Meninggalkan Solat Fardhu

Terdapat khilaf dalam kalangan para ulama berhubung perbincangan mengenai sama ada wajib ataupun tidak menggantikan solat bagi mereka yang sengaja meninggalkan solat. Secara ringkasnya, antara pandangan tersebut;

Wajib Qada – Jumhur ulama dalam kalangan empat mazhab (Syafi’i, Hanafi, Maliki, Hanbali) menetapkan bahawa adanya hukum qada solat fardu yang luput dengan disengajakan. Keadaan ini diqiaskan kepada keadaan sekiranya solat yang luput dengan sebab tertidur atau terlupa juga diwajibkan qada, maka adalah lebih wajib lagi bagi mereka yang sengaja meninggalkan solat untuk turut menggantikan solat yang ditinggalkan itu.

Kata Imam Ibn Rusyd RH;

“Sesiapa yang meninggalkan solat sehingga keluar waktunya maka jumhur ulama menganggap sebagai berdosa serta wajib qada ke atas dirinya.” [4]

Pendapat ini juga turut disokong oleh Imam al-Qurthubi RH dalam Al-Jaami’ li Ahkam al-Quran dengan menyatakan;

“Sesiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja, maka jumhur fuqaha mewajibkan ke atasnya untuk melakukan qada sekalipun dia dianggap sebagai pelaku maksiat.” [5]

Imam an-Nawawi RH dalam menjelaskan pandangan beliau yang mewajibkan menggantikan solat ini, beliau menggunakan dalil daripada sebuah hadis yang mewajibkan menggantikan ibadah puasa yang ditinggalkan dengan sengaja kerana bersetubuh di siang hari. Kata beliau;

“Maka apabila diwajibkan qada ke atas mereka yang meninggalkan kerana terlupa maka bagi orang yang sengaja meninggalkannya adalah lebih utama diwajibkan.” [6]

Tiada Qada – Ulama semisal Ibn Qayyim RH, Ibn Taimiyyah RH, Ibn Hazm RH berpendapat tiada qada bagi mereka yang sengaja meninggalkan solat. Imam Ibn Hazm RH berpendapat bagi mereka yang sengaja meninggalkan solat sehingga luput waktunya maka orang itu tidak akan mampu untuk menggantikannya buat selamanya.

Hal ini kerana meninggalkan solat merupakan satu dosa besar dan membolehkan seseorang menjadi kufur. Mereka perlu memperbanyakkan amalan kebaikan dan solat-solat sunat agar dapat memberatkan timbangan mereka di hari akhirat. Tidak ada kafarah ke atas mereka bagi solat yang ditinggalkan melainkan bertaubat kepada Allah SWT dengan taubat nasuha. [7]

Berdasarkan perincian secara ringkas terhadap beberapa pendapat berhubung hukum qada bagi mereka yang sengaja meninggalkan solat, maka jika dilihat pendapat yang mengatakan wajib menggantikan solat adalah yang paling kuat kerana ia merupakan ijma’ para ulama daripada kalangan empat mazhab yang muktabar. Bahkan sudah menjadi kemestian di Malaysia untuk cenderung mengikut pandangan daripada sudut mazhab as-Syafi’i.

Walaupun begitu, kita tidak boleh menolak sepenuhnya pendapat yang lain kerana perselisihan dalam kalangan ulama berkaitan hukum akan mendatangkan kebaikan kepada umat Islam untuk mempunyai pelbagai pilihan kaedah dalam beribadah. Hal ini kerana setiap ulama mempunyai pengetahuan ilmu yang baik dan mereka berhujah di atas landasan ilmu yang selamat. Maka sebagai seorang Muslim beramallah dengan pilihan yang paling dirasakan sesuai dan selesa untuk diamalkan.

Tatacara Qada Solat

WAKTU PELAKSANAAN

Seorang Muslim yang sedar solatnya tertinggal disebabkan tertidur atau terlupa hendaklah menyegerakan melaksanakan solat tersebut apabila ingat. Pelaksanaan qada solat tidak terikat pada waktu yang tertentu.

Qada solat boleh dilakukan walaupun dalam waktu-waktu yang diharamkan solat, ini merupakan pandangan para ulama dalam kalangan Syafi’iyyah, Malikiyyah, dan Hanabilah yang mengharuskan solat digantikan dalam waktu-waktu yang dilarang dan waktu-waktu yang lain.

Pandangan ini juga disebut oleh Dr. Wahbah Zuhaili dengan menyatakan adalah harus menggantikan solat fardu yang tertinggal pada bila-bila masa, sama ada waktu itu dilarang daripada melakukan solat ataupun pada waktu biasa, maksudnya menggantikan solat boleh dilakukan bila-bila masa sahaja. [8]

LAFAZ NIAT SOLAT QADA

Tiada lafaz yang khusus untuk niat solat qada, seseorang boleh sahaja melafazkan apa-apa lafaz yang membawa maksud untuk menggantikan solatnya. Antara contoh lafaz niat qada solat yang boleh digunakan adalah seperti;


Niat Qada Solat Fardu Subuh

أصلى فرض الصبح ركعتين قضاء لله تعال

Usolli Fardhos Subhi Rak’ataini Qadaan Lillahi Ta’ala

Maksudnya: “Sahaja aku Solat Fardu Subuh dua rakaat qada kerana Allah Ta’ala”


Niat Qada Solat Fardu Zuhur

أصلى فرض الظهر أربع ركعات قضاء لله تعال

Usolli Fardhoz Zuhri Arba’a Raka’atin Qadaan Lillahi Ta’ala

Maksudnya: “Sahaja aku Solat Fardu Zuhur empat rakaat qada kerana Allah Ta’ala”


Niat Qada Solat Fardu Asar

أصلى فرض العصر أربع ركعات قضاء لله تعال

Usolli Fardhol ‘Asri Arba’a Raka’atin Qadaan Lillahi Ta’ala

Maksudnya: “Sahaja aku Solat Fardu Asar empat rakaat qada kerana Allah Ta’ala”


Niat Qada Solat Fardu Maghrib

أصلى فرض المغرب ثلاث ركعات قضاء لله تعال

Usolli Fardhol Maghribi Thalatha Raka’atin Qadaan Lillahi Ta’ala

Maksudnya: “Sahaja aku Solat Fardu Maghrib tiga rakaat qada kerana Allah Ta’ala”


Niat Qada Solat Fardu Isyak

أصلى فرض العشاء أربع ركعات قضاء لله تعال

Usolli Fardhol ‘Isya’i Arba’a Raka’atin Qadaan Lillahi Ta’ala

Maksudnya: “Sahaja aku Solat Fardu Isyak empat rakaat qada kerana Allah Ta’ala”

Pelaksanaan qada solat dari segi aspek rukun-rukun solat dan syarat-syarat sah solat adalah sama sahaja seperti melaksanakan solat-solat fardu kerana solat qada itu sendiri hakikatnya adalah solat fardu cuma ia tidak dilaksanakan di dalam ruang waktu yang ditetapkan sahaja.

Seputar Isu Berkaitan Qada Solat

1. Tidak Tahu Berapa Jumlah Solat Telah Ditinggalkan

Sekiranya seseorang itu sepanjang hidupnya dahulu tidak pernah menunaikan solat, namun kini telah menyesali segala perbuatan dan hendak menggantikan solat yang telah ditinggalkan tetapi tidak tahu jumlah yang betul, maka menurut ulama daripada kalangan mazhab Syafi’i adalah dengan menggantikan solat sehingga dia menyakini bahawa semua solatnya telah diganti.

Seandainya dalam keyakinan bahawa sejak baligh sehinggalah dia bertaubat, solat yang ditinggalkan adalah sebanyak 20 tahun, maka dia perlulah berusaha menggantikan kesemua solat-solat itu sedikit demi sedikit sehingga diyakini semuanya telah disempurnakan.

2. Qada Bagi Wanita Haid/Nifas

Tiada kewajipan qada bagi wanita yang mengalami tempoh haid/nifas. Ia tidak seperti ibadah Puasa Ramadan yang mempunyai penetapan hukum yang khusus dengan wajib menggantikan hari-hari puasa yang ditinggalkan sepanjang tempoh haid/nifas tersebut.

3. Qada Sekaligus atau Pada Waktu Solatnya

Pelaksanaan qada solat tidak perlu menunggu waktu solatnya untuk menggantikan solat tersebut, setiap Muslim yang ingin qada solat boleh sahaja melaksanakan pada bila-bila masa sahaja.

Sebagai contoh, dia tidak perlu menunggu waktu Zuhur untuk qada Solat Fardu Zuhur yang tertinggal sebaliknya boleh sahaja menggantikan solat tersebut pada bila-bila masa sahaja apabila dia ingat.

Kesimpulan

Daripada perbincangan di atas, jelaslah bahawa hukum qada bagi mereka yang tidak sengaja ataupun sengaja meninggalkan solat adalah wajib dari sisi para ulama mazhab yang empat. Menggantikan solat yang tertinggal itu adalah satu keadaan yang tidak boleh dipandang remeh oleh setiap Muslim kerana ia akan memberikan kesan yang berat di hari akhirat kelak.

Seorang Muslim seharusnya menekuni akan kewajipan menggantikan solat sebagai satu perintah yang menegaskan soal ibadah bukanlah soal yang boleh dibuat main dan hanya dilakukan apabila rasa bersemangat sahaja. Namun ia merupakan satu didikan membentuk peribadi Muslim yang berdisiplin walaupun dalam apa jua keadaan sekalipun, kerana soal ibadah wajib adalah soal yang tiada kompromi dalam agama dan mempunyai peraturan yang wajib dipatuhi.

Bagi mereka yang meninggalkan solat maka seharusnya bersegeralah menunaikan hutang-hutang waktu yang masih belum dilunaskan. Sekiranya kita berhutang dengan manusia juga mempunyai kiraan hukum dalam kehidupan beragama apatah lagi sekiranya kita berhutang pula dengan Allah SWT dalam soal ibadah yang diperintahkan-Nya. Maka hadis daripada Rasulullah SAW ini wajar direnung sedalamnya oleh setiap antara kita tentang perihal hutang dengan Allah SWT;

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ ـ رضى الله عنهما ـ قَالَ أَتَى رَجُلٌ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ لَهُ إِنَّ أُخْتِي نَذَرَتْ أَنْ تَحُجَّ وَإِنَّهَا مَاتَتْ‏.‏ فَقَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ لَوْ كَانَ عَلَيْهَا دَيْنٌ أَكُنْتَ قَاضِيَهُ ‏”‏‏.‏ قَالَ نَعَمْ‏.‏ قَالَ ‏”‏ فَاقْضِ اللَّهَ، فَهْوَ أَحَقُّ بِالْقَضَاءِ ‏”‏

Daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma berkata, ada seorang lelaki datang bertemu Rasulullah SAW dan berkata kepada baginda, kakakku bernazar untuk mengerjakan haji, tetapi dia meninggal sebelum sempat mengerjakannya. Rasulullah SAW bersabda: “Kalaulah atas saudara perempuan kamu berhutang, adakah kamu akan membayarnya? Jawab lelaki itu, Ya. Sabda Baginda SAW: Maka tunaikanlah hutang Allah kerana ia lebih berhak untuk dibayar.” [9]

Diharapkan artikel cara qada solat ini dapat memberikan gambaran dan juga cara-cara untuk para pembaca menggantikan solat yang telah ditinggalkan

RUJUKAN

[1] Imam al-Zahabi dalam Al-Kabair.

[2] Hadis riwayat Imam Muslim. Sahih Muslim, Kitab Masjid dan tempat-tempat solat, Bab Menggantikan solat dan saranan untuk menyegerakannya, hadis no. 684.

[3] Syeikh Soleh Fauzan al-Fauzan dalam Al-Mulakhash al-Fiqhi, 1/95.

[4] Ibn Rusyd dalam Bidayah al-Mujtahid, 1/192-193.

[5] Imam al-Qurthubi dalam Al-Jaami’ li Ahkam al-Quran, 11/119-120.

[6] Imam an-Nawawi dalam Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/71.

[7] Imam Ibn Hazm dalam Al-Muhalla bil Athar, 11/376.

[8] Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam Fiqh al-Islami, 2/144.

[9] Hadis riwayat Imam al-Bukhari. Sahih al-Bukhari, Kitab Al-Iman wal Nazar, Bab Sekiranya seseorang mati tanpa menunaikan nazar, hadis no. 6699.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

four × five =