10 Tips dan Cara Untuk Move On Dari Masalah

Kesihatan Mental · Motivasi Diri · Ketenangan Jiwa

Tips dan Cara untuk Move On dari Masalah

Apakah Tips dan Cara untuk Move On jika kita menghadapi sesuatu masalah? Artikel ini akan membincangkan beberapa tips dan cara move on yang kita boleh lakukan untuk bangkit semula dengan hati yang tenang.

Ketenangan Hati Kekuatan Emosi Panduan Rohani

Pengenalan

Makan tak kenyang, tidur tak lena, mandi tak basah… Dalam kehidupan seharian, manusia tidak akan dapat lari dari masalah. Ada yang mengalami masalah dari segi cinta, kewangan, keluarga, peribadi dan sebagainya. Perpisahan, kehilangan dan dikhianati mengundang kesedihan serta meremukkan hati kita. Ini menimbulkan tekanan emosi dan boleh membawa kepada kemudaratan seperti penyakit mental, rasa kecewa, murung dan sakit hati (contohnya perasaan benci) jika dibiarkan.

Apabila perkara sebegini terjadi, ada yang akan meminta pandangan orang lain yang boleh dipercayai atau mengambil keputusan untuk memendam perasaan tanpa diketahui oleh sesiapa. Setelah bersedih beberapa ketika, diri pasti akan memikirkan tentang “move on”. Bukan mudah untuk move on.

Anda sudah nekad untuk move on tetapi, bagaimana ingin lakukannya? Artikel ini akan berkongsi sepuluh tips atau cara untuk move on dari masalah:

Tips 01

1. Sibukkan diri dengan pelbagai aktiviti

Melakukan Aktiviti Fizikal dan Beriadah di Luar Melakukan aktiviti fizikal dan hobi membantu mengalihkan tumpuan daripada kesedihan.

Sebenarnya tak mudah untuk move on bila kita asyik teringat sesuatu perkara yang selalu bermain dalam fikiran. Namun, anda boleh lakukan perkara lain atau hobi yang anda suka seperti bersukan, main video game, yoga, menonton rancangan kegemaran, memasak, melancong, memancing dan banyak lagi. Apabila kita sibuk dengan kerja atau hal-hal lain, kita akan lupa terhadap masalah dan dapat move on sedikit demi sedikit. Anda bukan sahaja dapat melapangkan fikiran, bahkan tersenyum ceria yang dapat meransang pemikiran positif serta lebih bersemangat untuk meneruskan hidup.

Tips 02

2. Memaafkan diri sendiri dan orang lain

Ketenangan Jiwa Selepas Memaafkan Memaafkan melepaskan bebanan dendam dan memberikan ketenangan hati yang hakiki.

Bak kata orang putih, “Forgiven but not forgotten”. Mudah untuk memaafkan namun kesan parut di hati akan kekal buat selama-lamanya. Luka itu sebenarnya boleh sembuh tetapi akan memakan masa yang lama. Elakkan menyimpan dendam kerana ia boleh memakan diri dan membawa penyesalan di kemudian hari. Sifat memaafkan semua orang sebelum tidur di waktu malam walaupun orang itu telah menyakiti kita dan dia tidak mengetahui bahawa kita telah memaafkan perbuatannya adalah sangat mulia dan dapat membuatkan hati lebih tenang. Sedangkan nabi Muhammad S.A.W. sendiri memaafkan umatnya.

Tips 03

3. Tetapkan matlamat hidup

Menulis Perancangan dan Matlamat Hidup Baru Fokus kepada impian dan matlamat masa hadapan untuk kembali bersemangat.

Setiap orang pasti ada motto atau arah tujuan hidup masing-masing. Seseorang boleh menjadikan orang lain sebagai idola atau sumber inspirasi contohnya anak yang menjadikan ibu bapa sebagai “role model”. Apabila matlamat telah ditetapkan, maka seseorang akan berusaha untuk bangkit semula walaupun banyak kali menemui kegagalan kerana adanya sifat tidak mengalah dan tak menjadikan masalah itu satu penghalang. Setiap masalah pasti ada penyelesaiannya.

Tips 04

4. Tanamkan pemikiran positif

Dikelilingi Orang Positif dan Suasana Ceria Berada di samping sahabat yang positif memberi sokongan moral yang kuat.

Perjalanan hidup setiap orang adalah berbeza. Menjadi seorang yang positif tak bermakna anda mengabaikan masalah atau berlakon seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Oleh itu, kelilingi diri anda dengan orang-orang yang positif. Jauhi orang-orang yang cuba meracuni pemikiran kita dengan kata-kata dan perkara negatif. Jangan bersedih, lepaskan masa silam dan terus bergerak maju ke hadapan. Sayangi diri anda dan jalani hidup seperti biasa.

Tips 05

5. Banyakkan bersyukur dengan menyebut perkataan “Alhamdulillah”

Bersyukur Dengan Nikmat Kehidupan dan Alam Semulajadi Mengingati nikmat kurniaan Allah mengurangkan rasa cemas dan gelisah.

Tak semua perkara yang berlaku dalam hidup adalah tidak baik. Segala yang telah jadi pasti ada hikmah di sebaliknya. Cuba untuk tidak terlalu memikirkan tentang masalah dan bersyukur dengan apa yang telah anda kecapi dalam hidup. Lebih banyak anda bersyukur, minda akan menjadi lebih positif dan mengurangkan kerisauan yang melanda. Terlalu banyak anugerah dan nikmat yang Allah S.W.T. kurniakan kepada hambaNya di dunia. Bersyukurlah di atas kesihatan, anggota badan tanpa cacat cela, keluarga, tempat tinggal, kenangan indah dan masih diberi peluang untuk hidup.

Tips 06

6. Jangan terlalu melayan perasaan sedih

Bangkit Melangkah Ke Hadapan Menuju Sinar Baharu Terima hakikat dan jangan biarkan kesedihan melumpuhkan tanggungjawab hidup.

Terima hakikat walaupun penuh dengan air mata serta tidak terbawa-bawa hingga mengabaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan. Contohnya seperti seorang ibu yang kehilangan anaknya terlalu mengikut perasaan sehingga sanggup mengabaikan keluarga tercinta akibat membiarkan kesedihan yang melampau menguasai dirinya. Sesuatu yang berlaku adalah di luar jangkaan dan kita tidak berkuasa untuk mengawalnya. Apa sahaja boleh terjadi dengan izin Allah S.W.T.

Tips 07

7. Belajar dari kesilapan

Muhasabah Diri dan Mengambil Iktibar Kehidupan Muhasabah diri menjadikan kita insan yang lebih matang dan berhati-hati.

Buat cerminan atau muhasabah diri sendiri. Ambil masa untuk bersendirian buat seketika dan berfikir sedalam-dalamnya. Apa yang berlaku boleh dijadikan pengajaran supaya kita tidak mengulangi perbuatan yang sama. Mungkin juga ianya petunjuk dari Allah kerana Dia ingin menggantikan sesuatu dengan yang lain yang lebih baik.

Tips 08

8. Tidak merungut dengan ketentuan Allah S.W.T.

Keredhaan dan Kesabaran Menerima Takdir Yakinlah bahawa setiap takdir dan perancangan Allah mempunyai hikmah terbaik.

Hidup ini penuh dengan misteri dan teka-teki. Kita tak tahu apa akan jadi esok, lusa dan hari yang seterusnya. Qada’ dan qadar merupakan ketentuan Allah. Kita pasti akan merungut apabila ditimpa sesuatu masalah. Jangan salahkan takdir. Sabar dan jangan terburu-buru. Terima apa yang berlaku dengan hati yang terbuka. Harapan masih ada walaupun kabur. Yakinlah dan redha dengan ketentuan Allah. Sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui apa yang terbuku di sanubari.

Tips 09

9. Kawal diri

Ketenangan dan Kawalan Emosi Diri Satu-satunya perkara yang berada dalam kawalan mutlak kita adalah diri kita sendiri.

Sebenarnya, nak move on ni terpulang pada diri kita dan hanya diri sendiri sahaja yang mampu melakukannya. Melepaskan masa silam tidak bermaksud anda tidak pedulikan orang lain tetapi anda memiliki kesedaran bahawa satu-satunya perkara yang anda boleh kawal adalah diri anda, bukan orang lain. Bertindak dengan tenang dan matang serta fikir masak-masak sebelum mengambil sesuatu keputusan. Anda akan menemui kekuatan anda.

Tips 10

10. Dekatkan diri pada Allah S.W.T.

Membaca Al-Quran dan Berdoa Memohon Ketenangan Hati Mendekatkan diri kepada Allah melalui al-Quran, solat dan zikir membawa ketenangan jiwa yang hakiki.

Ketika diri kita tengah tak stabil, macam-macam perkara negatif bermain dalam kepala. Ada yang merasakan diri dah tak diperlukan lagi di dunia ini, tiada siapa peduli dan keinginan untuk membunuh diri membuak-buak kerana merasakan ia jalan penyelesaian terakhir paling mudah untuk keluar dan tamatkan segala masalah tanpa memikirkan dosa yang bakal ditanggung kelak.

Bagi yang beragama Islam, kita ada Allah S.W.T. Pertama sekali, kita kena sentiasa ingat Tuhan tak kiralah waktu senang atau pun susah. Jangan anggap setiap musibah yang terjadi sebagai hukuman tetapi ambil peluang untuk mendekatkan diri dengan Allah. Tunaikan solat lima waktu. Seboleh-bolehnya, solat di awal waktu, tak rugi pun, banyak fadhilatnya.

Kalau rasa susah hati, gusar, banyakkan beristighfar dan selawat ke atas nabi Muhammad S.A.W. serta lakukan solat-solat sunat di waktu malam seperti solat sunat taubat, solat sunat hajat dan lain-lain. Berdoa bersungguh-sungguh memohon kepada Allah agar dikurniakan ketenangan jiwa dan petunjuk serta baca dan hayati ayat-ayat al-Quran. In Shaa Allah hati dan jiwa akan menjadi lebih tenang berbanding sebelumnya. Hati yang kuat dan tabah akan dapat menghadapi apa jua cabaran yang mendatang.

Penutup

Semua orang mempunyai masalah tersendiri dan tiada siapa yang terkecuali. Kita inginkan hidup yang gembira, sempurna dan bahagia buat selama-lamanya seperti penamat atau kesudahan kisah-kisah dongeng. Realitinya, kita tidak bebas dari masalah yang menimpa. Ini mencetuskan kebimbangan dan ketakutan untuk berhadapan dengan masalah serta membuatkan kita rasa “down”.

Move on adalah satu cara untuk terus melangkah ke hadapan tanpa menoleh ke belakang setelah banyak melalui peristiwa atau kenangan pahit dan semestinya, kita mahu melupakannya serta buang jauh-jauh sebab tak mahu mengganggu fikiran, nanti bertambah serabut. Buka halaman baharu dan tutup yang lama. Diharapkan semoga tips dan cara yang dikongsi dalam artikel ini dapat sedikit sebanyak membantu anda move on dari masalah serta diberikan kekuatan dalam meneruskan kehidupan.

Soalan Lazim Mengenai Cara Move On (FAQ)

1. Berapa lamakah masa yang biasanya diperlukan untuk seseorang benar-benar move on?

Tempoh masa untuk pulih berbeza bagi setiap individu bergantung pada tahap impak emosi. Tiada garis masa yang tetap, namun memberi ruang pada diri untuk merasai proses pemulihan secara berperingkat tanpa terburu-buru adalah langkah paling sihat.

2. Adakah menangis tanda kita lemah dan gagal untuk move on?

Tidak sama sekali. Menangis merupakan proses pelepasan emosi (katarsis) yang sangat semula jadi dan menyihatkan untuk melegakan tekanan jiwa sebelum bangkit membina kekuatan baharu.

3. Apakah amalan rohani terbaik dalam Islam apabila hati berasa sempit dan sedih?

Memperbanyakkan istighfar, membaca al-Quran, menunaikan solat sunat di sepertiga malam (seperti solat taubat dan tahajjud), serta berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

five × one =