Skip to content

Hukum Memberi Salam. Sunat atau wajib?

hukum memberi salam

Apakah hukum memberi salam kepada muslim yang lain? Artikel ini akan membincangkan dengan lengkap hukum memberi salam.

Pengenalan

Hubungan yang baik dengan kasih sayang itu amat penting dalam Islam. Ucapan salam merupakan ucapan yang biasa dalam kalangan orang Arab dan khususnya orang Islam di seluruh dunia. Orang yang beragama Kristian di Timur Tengah juga menggunakan ucapan salam – assalamualaikum (salam sejahtera ke atas kamu). Salam bermaksud damai atau sejahtera. Sangat penting untuk kita sesama manusia berdamai dan menyebarkan kedamaian itu kepada orang lain. Salam itu juga merupakan salah satu daripada sifat Allah. Allah berfirman dalam Surah al-Hasyr ayat 23:

Dialah Allah, tidak ada ilaah (sembahan) yang layak kecuali Dia, Maha Raja, yang Maha Suci, Maha Sejahtera, Maha Mengurniakan rasa aman, Maha Memelihara, Maha Perkasa, Maha Kuasa, Maha Memiliki Segala Keagungan. Maha Suci Allah dari segala yang mereka persekutukan.

Allah juga Maha Sejahtera atau as-salaam. Kita sebagai orang Islam sepatutnya mempunyai sifat mensejahterakan dalam kalangan kita manusia. Allah berfirman dalam Surah an-Nisa’ ayat 86:

Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu.

Hak Islam Kepada Islam yang Lain

Dalam al-Sa’di, dikatakan ucapan salam dalam ayat ini merupakan ucapan memuliakan dan mendoakan kebaikan seseorang. Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

Hak muslim pada muslim yang lain ada enam. Lalu ada yang menanyakan, apa saja keenam hak itu ya Rasulullah? Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Apabila engkau bertemu, ucapkanlah salam padanya, apabila engkau diundang, penuhilah undangannya, apabila engkau dimintai nasihat, berilah nasihat padanya, apabila dia bersin lalu dia memuji Allah (mengucapkan Alhamdulillah), doakanlah dia (dengan mengucapkan yarhamukaallah), apabila dia sakit, lawatlah ia, dan apabila dia meninggal dunia, iringilah jenazahnya (sampai ke tanah kuburan).” (Riwayat Muslim)

Salah satu hak orang Islam terhadap orang Islam yang lain ialah adalah memberi salam. Jadi, bentuk salam yang bagaimana?

Assalamualaikum (selamat sejahtera ke atas kamu semua).

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh (selamat sejahtera ke atas berserta rahmat Allah dan keberkatanNya).

Nak guna yang mana? Semua lafaz-lafaz ini boleh digunakan. Sebab, matlamatnya adalah untuk menyebarkan kedamaian dan bermesra dengan orang lain, bukannya menyebarkan kebencian dan mencari permusuhan.

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

Mereka tidak akan masuk syurga sehingga mereka beriman dan tidak beriman mereka itu sehingga mereka berkasih sayang. Adakah kalian mahu aku tunjukkan sesuatu yang mana apabila kalian mengerjakannya nescaya kalian akan saling menyayangi sesama kalian? Sebarkanlah salam sesama kalian.” (Riwayat Muslim)

Menyebarkan salam itu kata Rasulullah adalah kunci kepada saling berkasih sayang. Sudah semestinya kita mahu saling berkasih sayang sesama kita. Rasulullah SAW bersabda:

Barangsiapa yang tidak menyayangi, maka dia tidak akan disayangi.” (Riwayat Muslim)

Antara kita, sebarkanlah salam. Ucapkanlah salam. Doakan orang yang kita bertegur sapa.

Hukum beri salam dan jawab salam

Rasulullah SAW bersabda:

Hak muslim pada muslim yang lain ada enam. Lalu ada yang menanyakan, apa saja keenam hak itu ya Rasulullah? Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Apabila engkau bertemu, ucapkanlah salam padanya, apabila engkau diundang, penuhilah undangannya, apabila engkau dimintai nasihat, berilah nasihat padanya, apabila dia bersin lalu dia memuji Allah (mengucapkan Alhamdulillah), doakanlah dia (dengan mengucapkan yarhamukaallah), apabila dia sakit, lawatlah ia, dan apabila dia meninggal dunia, iringilah jenazahnya (sampai ke tanah kuburan).” (Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis ini, hukum memberi salam itu sunat manakala menjawab salam itu pula wajib. Sesiapa saja, yang kita kenal mahupun tidak kenal. Berikan salam. Bertegur sapalah. Rasulullah SAW bersabda:

Sesungguhnya seutama-utama manusia bagi Allah ialah sesiapa yang memulakan memberi salam.” (Riwayat Abu Daud)

Bolehkah jawab salam dalam hati?

Imam an-Nawawi menerangkan hal ini dalam kitab al-Azkar:

Sedikitnya yang boleh menggugurkan kewajiban menjawab salam ialah dengan mengangkat suaranya sekiranya terdengar oleh orang mengucapkan salam. Jika tidak terdengar oleh orang yang mengucapkan salam, maka kewajiban menjawab salam tidak gugur.

Jawab salam itu mestilah terdengar. Kalau tak terdengar, makanya tidak dikira menjawab salam lagi. Dalam kitab Majmu’ Syarah al-Muhazzab, Imam an-Nawawi berkata:

Hukum memulakan salam itu adalah sunat muakkad… Adapun hukum menjawab salam adalah fardu atau wajib secara ijma’. Sekiranya seseorang memberi salam kepada seseorang yang lain maka yang kedua itu wajib menjawabnya sebagai fardu ain. Manakala sekiranya diberi salam kepada sekelompok manusia, maka menjawabnya menjadi fardu kifayah. Jika salah seorang menjawabnya, maka sudah cukup dan gugur kewajipan menjawabnya bagi yang lain. Dan kalau semua menjawabnya, semuanya dikira sebagai menunaikan yang fardu, sama ada mereka menjawabnya secara serentak ataupun tidak. Jika tiada seorang pun dalam kalangan mereka yang menjawabnya, maka mereka semua berdosa.

Menurut kenyataan ini kita faham bahawa hukum beri salam itu sunat muakkad, manakala menjawab salam pula ialah wajib. Kalau seorang beri salam kepada sekolompok manusia, cukuplah seorang sahaja yang jawab, yang lain itu jadi fardhu kifayah.

Hukum jawab salam orang bukan Islam

Dalam mazhab Syafie, hukum beri salam kepada orang bukan Islam itu haram kerana Rasulullah bersabda:

Janganlah kalian memulakan ucapan salam kepada orang Yahudi dan juga Nasrani.” (Riwayat at-Tirmidzi)

Sekiranya orang bukan Islam yang beri salam, bagaimana?

Daripada Anas Bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda:

Apabila Ahli Kitab memberi salam kepada kamu, maka kamu jawablah dengan: “Wa‘alaikum”.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kita perlu menjawab dengan “A’laikum” atau “Wa’alaikum” sahaja sekiranya orang bukan Islam memberi salam kepada kita.

Kesimpulan

Hukum memberi salam ialah sunat dan menjawab salam pula ialah wajib.

Rujukan

  1. Hukum Memberi Salam dan Menjawabnya Kepada orang yang sedang makan – Mufti WP
  2. Hukum Menjawb Salam yang bertulis – Mufti WP
  3. Hukum Memberi dan menjawa Salam orang Bukan Islam – Media Permata
  4. Memberi Salam Kepada yang Dikenali – Mufti WP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

two × 3 =